saya nak baca ..

AGROBIZ


ARKIB : 18/08/2014

Pasar Nelayan

Seorang peniaga pasar nelayan di Penarak Langkawi, sedang melayan pengunjung yang membeli ikan segar digerainya.

Nelayan merupakan golongan yang penting dalam masyarakat tetapi mereka seringkali dikaitkan dengan kemiskinan dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

Rata-rata mereka membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki namun keuntungan dikaut oleh orang tengah berlipat kali ganda.

Keadaan tersebut sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan menerusi pelbagai agensi dan jabatan yang bertanggungjawab di bawahnya.

Pelbagai program telah dan akan terus dilaksanakan kerajaan menerusi agensi serta jabatan di bawahnya bagi membantu golongan tersebut untuk merubah nasib mereka.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, masyarakat nelayan hari ini perlu berubah secara keseluruhannya.

Ujarnya, golongan tersebut perlu keluar daripada kepompong kebiasaan dengan mula menceburi bidang perusahaan dan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

“Kita (nelayan) jangan lagi terus bergantung harap kepada orang tengah untuk memasarkan hasil laut yang ditangkap, sebaliknya mula menjual dan memasarkannya sendiri.

“Pastikan ahli keluarga dan masyarakat nelayan terlibat dalam membentuk satu jaringan pemasaran, contohnya jika suami menangkap ikan, isteri pula menjadi penjual di pasar sambil dibantu anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

“Usaha ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan segenap lapisan golongan nelayan dengan lebih baik," katanya pada majlis lawatan kerja dan turun padang ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak pernah berhenti membantu golongan nelayan dan akan terus memberikan perhatian sepenuhnya kepada golongan tersebut.

Antara usaha untuk membantu golongan nelayan adalah dengan menyelesaikan masalah manipulasi harga hasil laut oleh orang tengah terhadap nelayan.

Kerajaan menerusi LKIM telah mewujudkan program Pasar Nelayan bagi membantu golongan itu.

Program tersebut selari dengan kempen kementerian iaitu Berjihad Memerangi Orang Tengah menerusi idea menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

LKIM memiliki 27 buah Kompleks Pendaratan Ikan di seluruh negara yang berfungsi sebagai lokasi pendaratan ikan, pemunggahan dan memborong ikan.

Selain itu, kompleks tersebut juga merupakan tempat untuk nelayan mendapatkan pelbagai kemudahan seperti bekalan bahan api (diesel), air bersih, air batu, slip way, bilik sejuk, ruang membaiki pukat dan pelbagai lagi.

Menerusi kemudahan tersebut, pengenalan Pasar Nelayan dilihat dapat memakmurkan lagi kompleks terutamanya aspek sosioekonomi bagi nelayan dan keluarga mereka, masyarakat setempat dan pengguna.

Berbanding amalan biasa, hasil laut yang telah diperoleh nelayan akan dijual terus kepada peraih dengan kebiasaannya kadar harga ditentukan oleh peraih.

Namun, menerusi kewujudan Pasar Nelayan, kini mereka boleh menjual hasil laut secara terus kepada pengguna.

Bagi menguruskan pasar tersebut, LKIM menyerahkannya kepada pihak kompleks atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) mengikut kesesuaian sesuatu kompleks tersebut.

Bagaimanapun, pembukaan pasar nelayan akan ditumpukan di sekitar kompleks pendaratan ikan LKIM dan pembukaan di luar kawasan kompleks akan dipertimbangkan mengikut keperluan semasa.

Pasar Nelayan beroperasi bergantung kepada kekerapan sama ada pada waktu pagi atau petang mengikut kesesuaian di kompleks tersebut dan sebarang penetapan waktu akan mengambil kira semua faktor yang berkaitan.

Pasar itu juga tidak terhad kepada nelayan semata-mata, malah untuk memeriahkan lagi pasar, produk selain hasil laut juga turut digalakkan dijual menerusi penglibatan usahawan-usahawan luar sektor perikanan seperti sayuran, daging dan pelbagai lagi.

Untuk berniaga di Pasar Nelayan, peserta tidak dikenakan sebarang bayaran.

Namun pada masa akan datang, sedikit caj akan dikenakan bagi menampung pembayaran kerja-kerja pembersihan tapak pasar, bekalan air dan yang berkaitan.

Kesemua peralatan disediakan oleh LKIM dan bagi mengurangkan beban peserta dalam penyediaan peralatan jualan yang menekankan konsep keseragaman, kebersihan dan menerapkan ciri-ciri GMP yang diperkenalkan.

Konsep Pasar Nelayan yang diperkenalkan oleh LKIM itu terus mendapat sambutan daripada golongan nelayan terutamanya kaum keluarga mereka.

Sementara itu menurut Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim, konsep Pasar Nelayan itu diterima dengan baik oleh orang ramai dan terdapat permintaan dari seluruh negara.

Katanya, penambahan pasar nelayan akan dilakukan dan perkara tersebut akan dimuatkan dalam Bajet 2015.

Bagi peniaga Pasar Nelayan Penarak, Langkawi, Kedah, Mohd. Redzuan Bahari, 30 yang baru memulakan perniagaan selama tiga bulan di pasar yang disediakan tersebut.

Jelasnya, apa yang menarik di pasar nelayan tersebut, pengguna boleh mendapatkan ikan yang segar pada kadar harga yang amat berpatutan.

“Perbezaan harga antara di sini (Pasar Nelayan) adalah sekitar RM4 hingga RM5 berbanding di pasar besar.

“Di sini rata-rata nelayan menggunakan pukat hanyut dan antara ikan yang dijual adalah gerepoh, haruan tasik, tongkol dan pelbagai lagi," katanya.

Perkara tersebut turut dikongsi Sharifah Mohd. Salim, 46 yang telah berniaga hasil laut sejak 20 tahun lalu.

Katanya, pada peringkat awal, pelanggan agak kurang namun, setelah tiga bulan beroperasi terdapat peningkatan.

“Ikan di sini adalah segar yang diambil terus setelah didaratkan.

“Kebiasaannya di sini, ikan didaratkan pada waktu pagi dan terus dijual kepada pengguna, dan jika terdapat ikan yang masih berbaki ia akan ditolak kepada peniaga lain pada sebelah petangnya," katanya.

Selain hasil laut yang ditangkap oleh nelayan, terdapat juga usahawan yang menjual ikan hidup yang diternak dalam sangkar.

Pengusahanya Azman Dan, 40 yang menjual kerapu hibrid dan bawal emas hidup di pasar tersebut berkata, permintaan terhadap ikan hidup juga semakin meningkat dalam kalangan pembeli.

Mengusahakan hampir 150 buah sangkar, antara ikan yang diternak selain kerapu hibrid dan bawal emas adalah kerapu.

Ujarnya, pemilihan spesies tersebut adalah berdasarkan permintaan masa kini selain kadar harga tinggi bagi spesies tersebut.

“Perusahaan ikan sangkar terutamanya ikan hidup amat berpotensi dikembangkan.

Pasar nelayan Penarak, Langkawi, Kedah merupakan antara contoh konsep pasar yang sedang dikembangkan oleh LKIM dan sedang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat. - LAUPA JUNUS dan ASHRIQ FAHMY AHMAD

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.