saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 08/02/2013

Projek Iqra empat sekawan

Tanggungjawab yang dilakukan oleh Mohd. Solleh Mahfuz (kiri), Sharifah Sharina Syed Aswad (tengah) dan Suhaimi Abdul Manan wajar dicontohi generasi muda bagi membantu anak-anak yatim dan golongan kurang kemampuan.

ABU Hurairah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada perkara dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada pelbagai kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa memudahkan kesempitan, Allah akan memudahkannya dunia dan akhirat."

Membantu sesama manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa, pangkat mahupun agama sangat dituntut di sisi agama Islam. Lebih-lebih menghulurkan bantuan kepada individu yang benar-benar memerlukan pertolongan di saat mereka menghadapi kesulitan.

Demikian indahnya ajaran Islam yang mengajak umat berkasih-sayang dengan saling membantu antara satu sama lain walaupun individu itu tidak beriman kepada Allah. Hal ini dijelaskan oleh sebuah kisah Rasulullah membantu jiran yang bukan beragama Islam walaupun individu tersebut sering meletakkan najis dan sampah di rumah baginda. Namun baginda menghulurkan bantuan tatkala jiran dalam kesusahan.

Atas semangat tersebut, empat anak muda mengambil inisiatif mewujudkan sebuah projek yang dinamakan Iqra setelah mereka mendengar, menyelami dan melihat sendiri kesempitan yang dialami oleh anak-anak yatim terutamanya ketika untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Yang menarik berkenaan Projek Iqra, kaedah meminta sumbangan tidak menggunakan saluran publisiti meluas di media massa, tetapi mereka hanya menggunakan medium laman sosial seperti facebook dan twitter. Selain itu, sumbangan tidak terbatas kepada wang ringgit tetapi buah fikiran dan tenaga juga diperlukan untuk tujuan seumpama itu.

Bermula pada 2008, penglibatan dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan sejak menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), telah menyebabkan Suhaimi Abdul Manan, Muhammad Solleh Mahfoz, Sharifah Sharina Syed Aswad dan Noor Suhaila Wahid untuk mengasaskan projek Iqra.

Menurut Sharifah Sharina ketika ditemui baru-baru ini, selain halangan dana kewangan, kekurangan pengetahuan serta pengalaman bagaimana untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi merupakan antara punca kekangan yang dihadapi oleh anak-anak yatim dan miskin.

Oleh demikian, jelas Sharifah Sharina pihaknya bertanggungjawab untuk membantu mereka walaupun ia sekecil-kecil perkara.

Menurut Sharifah Sharina, cara yang dilakukan oleh pihaknya adalah memperkenalkan konsep seorang anak yatim, seorang penyumbang selain menggunakan saluran media sosial berkenaan sumbangan yang benar-benar diperlukan oleh anak-anak yatim tersebut.

"Contohnya, ketika bulan Ramadan tahun lalu, kami menganjurkan program membeli-belah kelengkapan raya bersama penghuni Rumah Baitul Ehsan yang terletak di Taman Maluri, Cheras Kuala Lumpur dengan menjemput setiap keluarga angkat membawa salah seorang penghuni rumah yang dipilih untuk pergi membeli-belah.

"Alhamdulillah kami menerima respons positif apabila tidak sampai dua minggu program itu dihebahkan melalui laman sosial, kutipan sumbangan mencecah RM12,000. Bahkan selepas program berlangsung, ramai yang berhasrat untuk menyumbang," jelas wanita itu.

Sharifah Sharina turut berkata, kesempitan kewangan yang dialami oleh anak-anak yatim telah menyukarkan mereka untuk menyertai program kecemerlangan dan motivasi yang dianjurkan oleh beberapa pihak.

Maka timbul inisiatif daripada pihak beliau sendiri dengan meminta individu yang bermurah hati untuk memjelaskan yuran anak-anak yatim yang tidak berkemampuan seperti mana yang dijalankan oleh pihaknya ketika penganjuran salah sebuah program motivasi pada tahun lalu.

"Sebanyak 19 orang penaja telah tampil menaja 20 orang penghuni Rumah Baitul Ehsan dan 6 orang anak ibu tunggal. Sumbangan dikumpul melalui hebahan di lamak sosial Facebook Projek Iqra.

"Walaupun dalam soal sumbangan, kami amat menitikberatkan soal kejujuran. Apabila sesebuah rumah anak yatim memerlukan wang tunai RM10,000 jumlah itu sahaja diperlukan. Jika ada individu hendak hendak menderma selebihnya atau jumlah itu telah mencukupi, kami minta mereka sumbangkan untuk projek masa akan datang," ujar beliau.

Sharifah Sharina berkata, pihak turut meletakkan penyata kewangan dalam blog Projek Iqra sebagai tanda akauntabiliti dan integriti terhadap dana yang disumbangkan oleh para penyumbang.

Galak generasi muda

Ketika diajukan soalan mengapa mereka sebagai anak muda memilih projek berbentuk sukarela dan kebajikan berbanding bidang berbentuk keuntungan, Suhaimi menjelaskan golongan belia sewajarnya terlibat dalam program berbentuk turun padang dalam mendidik mereka untuk menjiwa masyarakat.

Suhaimi memberitahu, jika anak generasi muda ditempelak tohmahan budaya hendonisme, sudah tiba masanya mereka menukar persepsi itu dengan terjun ke dalam bidang kebajikan seperti mana yang dilakukan oleh beliau dan tiga rakan lain.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata selain bantuan berbentuk dana kewangan, pihaknya juga menyediakan latihan kemahiran seperti membuat kek dan roti yang dilihat bertujuan mendidik anak-anak yatim berkenaan berdikari dan menambah kewangan tanpa mengharapkan sumbangan derma.

Oleh demikian, pihaknya telah merancang pada tahun 2013 untuk memperbanyakkan program kemahiran seperti pertukangan, multimedia dan banyak lagi. Bagi rancangan itu, Projek Iqra memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan kemahiran kepada mana-mana rumah anak yatim.

"Saya menyeru ramai lagi di luar sana untuk tampil ke hadapan dengan melibatkan program kebajikan seperti ini. Banyak insan di lapangan masih memerlukan bantuan yang dimana tangan-tangan kita boleh meringankan beban ditanggung mereka selama ini.

"Apabila kami turun padang, anak-anak yatim sebenarnya mempunyai potensi untuk berjaya dalam segala bidang jika mereka diberikan peluang. Tetapi jika tiada tangan-tangan untuk memberi bantuan, agak sukarlah untuk mereka maju ke hadapan," jelas Suhaimi.

Orang ramai berminat untuk mengetahui lebih berkenaan Projek Iqra boleh layari laman web, www.projekiqra.com atau laman sosial, www.facebook.com/ProjekIqra. Selain itu, anda boleh terus menghubungi Pengerusi Projek Iqra, Mohd. Solleh Mahfuz menerusi nombor talian 0176702033 atau bendahari, Sharifah Sharina Syed Aswad, 0172748904.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zuhur 1:13
Asar 4:36
Maghrib 7:20
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.