saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 26/07/2013

Pengurusan ekonomi umat Islam lemah?

hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja waris yang dikehendaki tanpa terikat dengan kategori dan nisbah penerima wasiat. - Gambar hiasan

PERBUATAN khianat, perebutan harta dan pergaduhan merupakan antara krisis yang sering dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ia dikatakan bukan sahaja membabitkan golongan bukan Islam, tetapi malangnya siasatan daripada agensi-agensi kewangan mendapati kebanyakannya adalah dalam kalangan umat Islam.

Professor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, inilah kesan berpunca daripada kegagalan umat Islam dalam menguruskan kewangan peribadi.

Beliau yang juga Panel Penasihat Syariah Permodalan Nasional Berhad. (PNB) berkata, krisis tersebut adalah salah satu daripada dua kelemahan yang ketara dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Perkara tersebut katanya adalah kurangnya kesedaran terhadap pemilikan perlindungan insurans dan juga amanah iaitu pengurusan kewangan dan pembahagian harta selepas mati.

Ia tambahnya, berbeza dengan masyarakat bukan Islam yang dilihat menggunakan peluang memanfaatkan perlindungan insurans dan pengurusan harta dengan lebih teratur.

"Terdapat dua kelemahan yang ketara dalam pengurusan ekonomi umat Islam iaitu kesedaran terhadap perlindungan insurans dan amanah yang membabitkan pengurusan kewangan dan pembahagian harta pusaka.

"Kesannya menyebabkan waris yang memerlukan dan sepatutnya berhak menerima pembahagian harta tidak dapat sebarang pemilikan.

"Sebaliknya dilaporkan, siasatan mendapati banyak harta pusaka yang terbengkalai dibawa dan diuruskan oleh Majlis Amanah Raya sehingga mencecah berbilion ringgit," katanya dalam sesi temu bual bersama pemberita, baru-baru ini.

Justeru, Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC) itu berkata, masyarakat terutama umat Islam harus menyedari kepentingan pengurusan kewangan dengan mengambil langkah melaburkan harta kepada badan harta yang diwujudkan untuk menguruskan pembahagian harta tersebut kepada ahli keluarga yang dikehendaki.

Ia katanya bertepatan dengan ajaran Islam yang menggalakkan pemilikan harta pusaka diutamakan kepada ahli keluarga dan waris.

"Kekeliruan dan permasalahan akan timbul sesudah pemilik harta meninggal dunia. Oleh itu, sistem amanah telah diwujudkan hasil perbincangan ahli kewangan Islam untuk menguruskan harta keluarga secara bijak dengan berlandaskan syariah.

"Selain wakaf, wasiat dan harta sepencarian, hibah merupakan salah satu daripada kaedah mewariskan atau memindah milik harta sebelum pemilik meninggal dunia dengan dibolehkan kepada sesiapa yang dikehendaki," katanya.

Kelebihan hibah

Berbeza dengan wasiat, Mahmood berkata hibah memberi peluang kepada pemberi hibah untuk memilih siapa yang dikehendaki untuk diberikan harta tanpa terikat dengan kategori dan nisbah penerima wasiat.

Ia juga katanya, membolehkan ahli keluarga yang lebih layak untuk menerima harta dengan lebih berbanding kadar yang telah ditetapkan menerusi wasiat.

"Islam membuka peluang pemilikan harta boleh dibahagi dengan cara lain selain menerusi sistem faraid iaitu selepas pemilik harta meninggal dunia. Sebagai contoh anak angkat, ahli keluarga dalam kalangan golongan orang kurang upaya (OKU), wanita yang harus mendapat pembahagian harta yang lebih.

"Sistem hibah membenarkan pemilik harta memberi harta tersebut kepada golongan yang dirasakan perlu bagi memastikan kebajikan hidup mereka lebih terjamin berbanding ahli keluarga lain yang menjalani hidup sempurna," katanya.

Selain itu tambahnya, harta yang dihibahkan juga boleh berkuatkuasa dalam tempoh persetujuan semua walaupun sebelum pemilik harta meninggal dunia.

"Mengikut perjanjian yang ditetapkan, harta yang dihibahkan boleh dipindah milik kepada penerima berkuat kuasa serta merta atau dalam tempoh yang dipersetujui sebelum kematian pemberi lagi.

"Namun, bagi menjaga kebaikan atau mengelakkan sebarang penganiayaan berlaku seperti penerima meminggirkan pemberi sebelum meninggal dunia, sistem hibah boleh ditarik balik oleh pemilik juga pada bila-bila masa," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin melaksanakan pelaburan pengurusan kewangan agar mengambil badan perkhidmatan berlandaskan syariah.

"Mungkin kaedah konvensional menjanjikan tawaran lebih baik dan sebagainya tetapi menerusi pentadbiran Islam harta akan diurus berlandaskan syariah di samping mendapat pahala kerana mengamalkan dasar Islam," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.