saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 09/10/2014

Cabaran membanteras kejahilan

inilah diantara kejayaan dakwah Mohd. Fadli di Kampung Padang Sepulut yang terpaksa merentas jambatan gantung sepanjang 400 meter. - Foto ehsan Perkim Kebangsaan

DUNIA dakwah bukan semata-mata permainan kata-kata, tetapi sebenarnya ia penuh dengan dugaan dan rintangan.

Ini kerana misi utama pendakwah tidak hanya berusaha untuk mengubah iman tetapi memastikan ia kekal berkiblat kepada Allah SWT hingga akhir hayat.

Sudah tentu, misi itu menuntut pengorbanan yang tidak ada penghujungnya. Golongan pendakwah perlu sentiasa istiqamah dan tidak boleh merasa jemu.

Begitu pun, misi itu perlulah selaras dengan firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Pendakwah bebas, Mohd. Fadli Yusof menegaskan bahawa berjuang untuk menegakkan agama Islam memang tidak pernah terlepas menempuh kepayahan dan kesukaran yang berpanjangan.

Ini kerana, perjuangan itu satu usaha yang berterusan. Seperti menanam pokok yang perlu disiram, dibaja dan dibelai dengan penuh kasih sayang pada setiap masa.

“Berjuang dalam agama segelintir pihak mengatakan kita menempah kesusahan, tetapi saya reda walau dalam situasi apa pun. Kerana bagi saya berdakwah sudah sebati dalam diri dan kehidupan, malah tanpanya pula saya rasa seperti serba tidak kena. Itulah asam garam kerja ini dan cabaran itu memang tidak dapat lari daripadanya.

“Bukan mudah hendak mengubah seseorang itu daripada jahil kepada mengetahui, apatah lagi untuk mengubah keseluruhan komuniti kampung itu," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditambah pula dengan pendirian tegas Mohd. Fadli yang tidak suka meminta-minta daripada mana-mana pihak, termasuk jabatan agama Islam atau agensi kerajaan yang berkaitan dalam aktiviti dakwahnya.

Baginya, kekangan duit atau dana bukanlah faktor penolak atau akan menjadi penghalang utama kepada gerakan dakwahnya, selain percaya bahawa kebergantungan seperti itu akan hanya menjejaskan imej Islam di mata bukan Islam.

“Saya hanya berkongsi cerita tentang program dakwah saya melalui Facebook atau disampaikan menerusi ceramah-ceramah di mana saya dijemput oleh pihak tertentu.

“Tetapi untuk meminta, saya tidak akan buat. Sebaliknya, saya berdoa dan berserah kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Berkuasa.

“Lagipun, saya percaya orang Islam yang dermawan di luar sana mahu melihat bukti dan bukannya kertas kerja atau memohon derma di kaki-kaki jalan," katanya.

Ranjau dakwah

Dalam pertemuan secara santai itu, pendakwah berumur 47 tahun itu telah memulakan dakwahnya di Pensiangan, Sabah pada Julai 2011 bersama isterinya, Siti Aisyah Mohd. Nordin, 46.

Selama beberapa bulan, mereka berdua melakukan ziarah ke setiap rumah dan berjumpa setiap penduduk kampung, sama ada kenal ataupun tidak kerana majoritinya masih belum Islam.

Bukan itu sahaja, pasangan pendakwah tersebut perlu menempuh perjalanan selama empat setengah jam dari Kota Kinabalu menuju ke Kampung Padang Sepulut dan perlu melalui Kampung Salong dengan menempuhi jalan lori balak, bukit bukau dan tanah merah.

Suami isteri ini juga perlu merentasi sungai menggunakan perahu selama empat setengah jam untuk tiba di Pensiangan yang terletak berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia.

Perjalanan itu akan memakan masa yang lebih panjang ketika air sungai surut pada musim kemarau, iaitu kira-kira sembilan jam untuk tiba ke Pensiangan kerana penumpang kadang kala perlu turun bagi membetulkan posisi perahu dilaluannya dan kadang kala ia perlu ditolak.

Berkat usaha gigih yang berterusan, sehingga Mac 2014, seramai 312 orang telah memeluk Islam. Beliau difahamkan masih ramai penduduk sekitar daerah itu yang menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.

“Kami menziarahi mereka berkali-kali sambil menyampaikan mesej Islam melalui sentuhan kasih sayang, kemesraan dan menghilangkan segala kecurigaan sehingga seorang demi seorang menerima Islam," katanya.

Namun, apa yang amat mengembirakan Mohd. Fadli adalah apabila sekumpulan penduduk yang diislamkannya itu mahu membina sebuah masjid dan sekolah agama.

Lebih mengembirakannya adalah masjid dan sekolah agama itu dibina oleh penduduk sendiri tanpa mengharapkan bantuan dana dari badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan.

“Saya tidak pernah memberatkan pembinaan masjid sejak mula memasuki kawasan itu untuk berdakwah. Aktiviti solat dan lain-lain dibuat di rumah mereka atau kawasan lapang yang dibersihkan.

“Sebab saya tahu untuk bina masjid, ia bukan satu kerja yang mudah kerana melibatkan kos, tenaga dan masa. Tetapi apabila mereka ingin teruskan hasrat tersebut, jadi saya tidak menghalang.

“Saya percaya apa sahaja yang ingin kita buat, jika ia datang dari diri sendiri, sudah pasti kita akan hargai dan menjaganya dengan sebaik mungkin. Itulah terjadi pada masjid yang mereka bina itu," kata anak jati Perak itu.

Sokongan isteri

Begitu pun, Mohd. Fadli mengakui sumbangan isterinya, Siti Aisyah turut memberi kesan yang ketara terhadap kejayaan gerakan dakwahnya di kawasan itu.

Apa tidaknya, kata Siti Aisyah, aktiviti pengislaman bukan Islam di kawasan itu tidak hanya membabitkan kaum lelaki tetapi juga kaum wanita, sama ada kanak-kanak, remaja atau yang bergelar ibu.

“Lagipun, jarang sekali pendakwah lelaki membawa isteri dan bila tidak bawa akan menimbulkan fitnah," katanya.

Kesediaan Siti Aisyah untuk mengikut suaminya berdakwah itu bukan satu keputusan yang mudah kerana kawasan yang dituju adalah jauh di pedalaman dan boleh dikatakan penduduk di situ tidak begitu mengenali Islam.

Malah, kesediaan itu turut memaksanya meninggalkan anak-anak mereka yang masih kecil dan memerlukan perhatian serta kasih sayangnya.

“Walaupun saya mula berdakwah sebelum kahwin tetapi bila mempunyai anak, ia satu keputusan yang sukar. Lebih-lebih lagi, mereka masih kecil.

“Cuma apa yang buat saya bersyukur kerana setakat ini, anak-anak memahaminya," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut bersyukur kerana keputusannya itu telah membolehkan lebih ramai kaum wanita di kawasan terbabit memeluk Islam.

Ini kerana, tidak semua kaum wanita yang berani bertanya kepada pendakwah lelaki tentang perkara yang khusus berkaitan permasalahan kaum wanita.

“Ada yang cakap, inilah yang pertama kali ada ustazah dan memudahkan mereka bertanya perkara berkaitan dengan wanita," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:21
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.