saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 09/10/2014

Cacat bukan penghalang

RAMAI orang sering menjadikan kelemahan diri sebagai pembatas usaha. Namun, tidak bagi pasangan ini. Mereka sebaliknya membuktikan, keadaan diri yang dibatasi kekurangan bukanlah penghalang. Onak dan duri mereka rentasi bersama, sehingga mereka bisa disebut pasangan yang kental jiwanya. Di kesempatan ini, mari penulis temukan para pembaca setia Jejak Asnaf dengan Mohd. Izhar Abdul Alias Saidon, 52, dan pasangannya Salmah Amran, 46.

“Sebelum ditimpa kemalangan, saya bekerja di sektor swasta malah pernah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Sesungguhnya kejadian malang yang menimpa saya pada 1987, merubah segalanya. Sukar untuk menggambarkannya, ia berlaku amat tiba-tiba, tanpa sempat saya berkutik dan berbuat apa-apa," ceitanya memula bicara.

Kisahnya begini. Tepat 25 Ogos 1987, Izhar mengunjungi perniagaan yang baharu diusahakannya di Kedah. Dia keluar awal pagi untuk menikmati secangkir kopi. Dia melintasi kawasan landasan keretapi, sayangnya hari masih sangat pagi dan kedai kopi itu masih belum dibuka.

“Jadi, sementara menunggu ia dibuka, saya mengambil masa berjalan-jalan di sebuah landasan keretapi di situ. Saya mengenakan jaket tebal, dan dengan berjalan berulang alik saya cuba memanaskan badan. Suasana sunyi. Tiba-tiba sahaja, ya, sangat tiba-tiba sebenarnya, telinga dan mata saya menangkap sesuatu. Daripada ekor mata saya terlihat kelibat kepala keretapi dan selepas itu, segala-galanya sudah terlambat. Ia terlalu hampir dengan saya," sambung Izhar.

Izhar yang kaget, cuba melompat keluar daripada landasan. Namun, salah satu kakinya tersadung ke besi landasan lalu dia terjatuh tergeletak.

Sebahagian besar badannya di luar landasan manakala bahagian paha dan kakinya di sebelah dalam. Ketika itu, dengan sangat jelas Izhar mampu melihat bahagian bawah perut keretapi yang melintasi di atas mukanya.

“Saya malah sempat berfikir, jika saya bangun maka kepala saya pasti akan hancur dilanggar keretapi. Saya terus terbaring sehinggalah keseluruhan gerabak meninggalkan saya. Kemudian, saya cuba bangun dan ketika itu dengan jelas saya dapat melihat apa yang telah berlaku kepada kedua belah kaki saya," katanya.

Kata Izhar, kaki kirinya hilang malah hancur diseret sama oleh tayar keretapi, manakala kaki kanannya pula masih di dalam seluarnya, namun sudah terputus dua.

“Darah bersemburan mencucur keluar. Dengan segala kekuatan saya menjerit. Penglihatan saya juga terus menjadi gelap. Namun, daripada telinga yang masih berfungsi, saya mendengar orang ramai mulai mendatangi dan riuh sekali. Mereka juga kaget. Dalam keadaan ‘buta’ saya meminta mereka memanggilkan ambulans," katanya.

Begitulah kejadian paling tragis yang pernah melanda hidup Izhar. Jika diikutkan, ia bukanlah satu catatan ringkas. Namun, dalam ruangan yang amat terbatas ini, pastinya saya tidak mampu untuk mencatatkannya secara terperinci.

“Bukan mudah melalui hidup sebagai orang yang kehilangan kedua kakinya. Jujurnya, saya bagaikan sudah tidak mahu meneruskan kehidupan lagi. Saya pernah memakan ubat yang diberikan doktor melebihi dosnya dengan harapan, mungkin saya akan mati. Namun, Allah SWT masih sayangkan saya. Dua tiga kali saya cuba bertindak bodoh, namun setiap kali itu juga saya masih dilindungi Allah. Hinggalah kini, saya mengakui bahawa ada sesuatu yang perlu saya perjuangkan," ujarnya.

Pasca kemalangan ngeri itu, Izhar kemudiannya terlantar selama beberapa tahun, sebahagiannya di hospital dan selebihnya dia mengabdikan diri di Bengkel Daya, Klang milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya menghabiskan masa selama 10 tahun di situ, dilatih membuat alat-alat bantuan untuk orang-orang kelainan upaya seperti saya sehinggalah saya mendapat sekeping diploma. Di situ, dapatlah saya tempat berteduh dan sedikit imbuhan. Sehinggalah pusat itu ditutup dan berpindah ke Bangi, maka saya terpaksa menarik diri," katanya.

Menurut Izhar, semasa di pusat itulah dia bertemu jodohnya. Dia mengimpikan seorang gadis yang tidak jauh bezanya dengan dirinya sendiri. Namun, dia berharap biarlah gadis itu mampu menceriakan hari-harinya dengan kelembutan sejati wanita solehah. Doanya ternyata dimakbulkan Allah.

“Satu hari ketika saya mahu ke bilik air, saya melalui sebuah kelas dan terdengar seorang perempuan mengaji al-Quran. Suaranya menancap indera dan dengan berkerusi roda saya menghampiri tingkap kaca lalu mengintai siapakah pemilik suara. Ternyata, pemilik suara itu adalah seorang gadis, persis seperti saya, kami OKU. Tidak lama, kami kemudiannya melanjutkan perhubungan secara sah dengan bergelar suami isteri," kata Izhar.

Isteri Izhar, Salmah juga mengalami nasib yang sama seperti Izhar. Ketika kecil dia mengalami demam panas sehingga kedua kakinya lumpuh. Kiranya, mereka pasangan secocok yang pastinya saling memahami antara satu sama lain.

Selepas keluar dari pusat itu, Izhar menganggur selama setahun. Keadaan diri dan pengangguran adalah ramuan yang sangat menyakitkan diri. Ditambah mereka dikurniakan anak pertama berupa kembar dua, ia lebih menekan dirinya sebagai ketua keluarga.

“Sebagai jalan keluar, saya pun menggagahkan diri mencari besi-besi buruk. Mujurlah ketika itu persaingan masih sangat kurang. Malah, ramai yang sudi membantu apabila melihat saya seorang ‘OKU.’ Alhamdulillah, dengan besi buruk itulah saya dapat menyara keluarga dan menyingkirkan kelaparan," ceritanya.

Tidak lama selepas itu, seorang jirannya mempelawa Izhar untuk menjual air soya. Izhar menerima tawaran itu dan setahun pulalah dia menjual air soya dengan motosikal di Andalas, Klang.

“Mungkin jiran saya itu melihat kesungguhan saya, lalu dia menawarkan untuk mengajarkan saya cara-cara membuat air soya daripada A ke Z. Sudah pasti saya tidak menolaknya," akuinya.

Kesusahan yang melanda Izhar akhirnya disantuni oleh LZS. Mulai tahun 2004, dia dan keluarganya mulai menerima bantuan demi bantuan.

“Kisahnya panjang, namun saya ringkaskan sahaja. Kenalan saya telah memberitahu kepada salah seorang kakitangan LZS ketika itu, Ustaz Uda Kasim bahawa ada seorang OKU yang memerlukan bantuan. Tidak lama kemudian, saya didatangi oleh beberapa orang pegawai LZS. Mereka membuat penilaian dan ternyata, saya memang sangat layak," katanya.

PENULIS ialah Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:36
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.