saya nak baca ..

BICARA AGAMA


ARKIB : 10/10/2014

Kutip, bayar luar sempadan

MUTAKHIR ini, ada pihak yang melakukan operasi mengutip zakat di luar kawasan atau sempadan. Mereka mendakwa bahawa mereka mewakili sesebuah organisasi atau negara tertentu dan membuat kutipan di negeri lain atau di negara kita. Soalan saya, apakah hukumnya tindakan tersebut? Mohon ustaz perjelaskan, terima kasih.

Jawapan:

Syukur alhamdulillah, nampaknya kesedaran menunaikan zakat harta kian berkembang saat ini. Buktinya, persoalan zakat juga saban hari kian berkembang, tidak lagi sekadar berkisar isu zakat emas dan fitrah sahaja. Semoga Allah SWT memberkati kita semua di atas kesungguhan kita untuk menunaikan kewajipan harta ini, Amin.

Baiklah, berkaitan persoalan yang telah diberikan di atas, adalah diakui bahawa memang wujud kegiatan daripada pihak tertentu yang menjalankan usaha mengutip zakat di luar daripada batas sempadan negeri atau negara mereka. Maka, sudah pastilah hal ini akan mencetuskan beberapa persoalan.

Misalnya, apakah hukumnya bagi mereka yang menjalan usaha mengutip zakat di luar daripada batas sempadan mereka? Kedua, apakah hukumnya pula bagi orang yang menunaikan zakat kepada mereka? Ketiga, adakah hal ini bercanggah dengan ketetapan syarak dan apakah ketetapan fatwa mengenainya? Adakah ia juga sah atau tidak?

Sayugia diingatkan di sini, bahawa isu mengutip zakat di luar batas sempadan bukanlah bermaksud menafikan hak seseorang pembayar, namun perbincangan ini cuba melihat daripada aspek hukum fikah dan juga keutamaannya. Harus diingat, melaksanakan sesuatu ibadah, apatah lagi amalan fundamental seperti zakat, biarlah ia bertepatan dengan kehendak syarak dan ia wajiblah dipatuhi. Mari kita telusuri satu persatu.

Pertama, apakah hukumnya bagi pihak yang menjalankan usaha mengutip zakat di luar batas sempadan mereka? Tatkala Nabi Muhammad SAW mengutuskan Saiyidina Muadz bin Jabal r.a ke negara Yaman, sebagai gabenor merangkap amil sekali gus, maka telah berlaku suatu dialog yang agak panjang antara Nabi dan Muadz.

Nabi SAW antara lain telah berpesan dengan bersungguh-sungguh kepada Muadz, iaitu apabila beliau sampai di Yaman, perkara pertama yang wajib dilakukan ialah mengislamkan mereka, kedua memerintahkan mereka mendirikan solat dan ketiga, melaksanakan zakat dalam kalangan mereka.

Sabda Rasulullah SAW: Kamu ambil harta daripada kalangan orang-orang kaya mereka dan kamu agihkan kembali (harta itu) kepada orang-orang fakir dalam kalangan mereka (penduduk Yaman). (Hadis sahih Muslim)

Hadis di atas sangat jelas menerangkan kepada kita, bahawa zakat itu hendaklah dikutip dari tempat di mana harta itu berada dan diagihkan kembali kepada orang-orang di tempat harta itu berada.

Diagihkan

Di samping itu, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, telah menukilkan bahawa memang wujud khilaf, sama ada perlu melihat tempat harta itu berada atau tempat tuannya berada dalam mengeluarkan zakat.

Namun, fuqaha bersetuju, bahawa zakat itu apabila dikutip di sesuatu tempat itu, maka di situlah juga ia diagihkan. Ini bermakna, zakat diagihkan di mana tempat harta itu berada, bukan mengikut di mana tuan atau pemiliknya berada. Jika saudara berada di negeri A tetapi harta saudara di negeri B, maka hendaklah zakat dikeluarkan di negeri B, kerana di situlah ia berada (Hukum Zakat, hal. 799).

Dalil-dalil lain yang boleh disandarkan, antaranya Abu Juhaifah berkata: “Telah datang kepada kami pertugas zakat Rasulullah SAW, kemudian mereka mengambil sedekah (zakat) daripada orang-orang kaya kami dan diberikan kepada orang-orang fakir kami. Aku adalah seorang anak yatim (yang fakir) dan petugas zakat itu memberikanku seekor unta." (riwayat Imam Termizi)

Abu Ubaid di dalam kitabnya al-Amwal turut menukilkan wasiat Umar al-Khattab r.a: “Hendaklah dia (amil) mengambil (zakat harta) di sekitar harta mereka, untuk kemudian dibahagikan kepada orang-orang fakirnya." (Ibid, hal. 799)

Berdasarkan ketetapan di atas, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpandangan: “Pemindahan zakat dari satu daerah ke satu daerah lain, dalam keadaan penduduknya (negeri asal) memerlukan, adalah menodai hikmah zakat yang diwajibkan.’ (Ibid, hal. 800). Ertinya, adalah salah bagi orang dari negeri A mengutip zakat di negeri B, kerana ia telah berusaha memindahkan zakat dari negeri B ke negerinya sendiri.

Kedua, apakah pula hukumnya bagi orang yang menunaikan zakatnya kepada pihak yang berada di luar kawasannya? Maka, hal ini sebenarnya mempunyai asas dan premis yang sama dengan perkara yang telah dibahaskan di atas. Jika memungut di luar kawasan di anggap satu kesalahan, maka samalah hukumnya jika kita sengaja mengeluarkan zakat kepada pihak di luar kawasan, maka konsekuensi atau natijah hukumnya adalah sama, ia ditegah.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi memetik pandangan yang dinukilkan di dalam kitab al-Mughni: “Tujuan zakat adalah memberi kecukupan kepada orang-orang fakir, maka apabila kita memperbolehkan memindahkan zakat (ke luar sempadan atau kawasan asal harta), bererti kita membiarkan golongan fakir di daerah (asal) itu tetap berada dalam keadaan memerlukan (tidak berkecukupan.’ (Ibid)

Malah pernah berlaku pada zaman silam, ada orang kaya yang membawa hartanya keluar dari negerinya untuk ditunaikan di negeri lain, namun pihak pemerintah di negeri berkenaan enggan menerimanya dan mengarahkannya mengeluarkannya di negerinya sendiri.

Farqad as-Sabkhi berkata: “Aku membawa zakat hartaku untuk kubahagikan di Mekah, kemudian aku bertemu dengan Said bin Zubair, lalu dia (Said) berkata, bawa kembali hartamu itu, bahagikanlah ia di negerimu." Sufyan at-Tsauri pula menukilkan kisah: “Bahawa zakat dibawa dari Ray (sebuah negeri) ke Kufah (di Iraq), kemudian Umar bin Abdul Aziz r.a mengembalikannya ke Ray." (Ibid, hal. 799)

Maka, adalah salah bagi seseorang pembayar zakat dengan sengaja menyalurkan hartanya kepada negeri lain.

Bercanggah

Seterusnya, bagaimanakah status hukumnya, adakah ia sesuatu yang berdosa atau tidak dan adakah ia sah atau tidak?

Abu Ubaid di dalam al-Amwal ada menyatakan: ‘Ulama-ulama masa sekarang telah sepakat terhadap semua atsar ini (perakuan dan perlakuan para sahabat), bahawa penduduk setiap negara dari negara-negara yang ada atau mata air daripada air-air yang ada (lembah atau sumber keluarnya harta), lebih berhak terhadap sedekahnya, selama ada orang yang memerlukannya, satu orang atau lebih, daripada kalangan mereka sendiri, walaupun dengan itu menghabiskan semua sedekah (zakat), sehingga petugas (amil) kembali tanpa membawa sesuatu apa pun.’ (Ibid, hal. 801)

Atas dasar inilah, adalah ditegah mengeluarkan zakat sehingga melampaui sempadan dan begitu jugalah, ditegah bagi sesuatu golongan mengutip zakat sehingga melampaui sempadan negerinya. Ini kerana, sesungguhnya perbuatan ini bercanggah dengan amalan Nabi Muhammad SAW dan ia juga bercanggah dengan amalan para sahabat dan mencanggahi kesepakatan para ulama, malah mencanggahi konsep zakat sebagai ibadah untuk keadilan sosial ummah (al-adalah wa al-ijtimaiyyah).

Bayangkan, jika kerana tindakannya itu menyebabkan ada orang-orang miskin di negeri asal yang tidak mendapat haknya malah menderita ketidakcukupan, sehingga melarat dan mampu pula menjebakkan mereka ke lembah dosa seperti mencuri dan sebagainya, bukankah ia satu kezaliman?

Maka kesimpulannya, bolehlah dihukumkan jika ia masih dilakukan, maka ia jatuh kepada hukum makruh, kerana jelas ia mencanggahi ajaran nabi dan para sahabat. Manakala, jika diteliti daripada sudut lain, jika benar sekalipun harta itu sampai kepada asnaf, ia sah tetapi berdosa. Ini kerana, pertama ia mengingkari kehendak Nabi, kedua mengingkari perintah ulil amri (pemerintah Islam), ketiganya menzalimi asnaf di tempat asal dan menganiayai mereka. Maka wajarlah ia menjadi haram dan berdosa. Wallahua’lam.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan sila emelkan kepada [email protected] dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:13
Asar 4:31
Maghrib 7:20
Isyak 8:31



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.