saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 25/02/2013

Lagi kawasan hutan Kedah ditarah

MOHD. Johari Baharom dan seorang penduduk, Abu Bakar Salleh (kanan) meneliti saiz balak yang ditebang semasa meninjau kesan pembalakan di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin, Changlun, Kedah semalam. - UTUSAN/ Halim Khalid

KUBANG PASU 24 Feb. - Ketika isu penerokaan hutan di Gunung Inas di Baling dan di Tasik Pedu terus diperkatakan, rakyat negeri ini dikejutkan pula dengan kegiatan pembalakan yang didakwa dijalankan secara rakus di Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin di sini.

Operasi mengeluarkan balak di kawasan seluas 145 hektar itu diluluskan oleh kerajaan Pas Kedah sejak lebih sebulan lalu yang dipercayai bagi projek pembangunan tanah dan dianugerahkan kepada pegawai tertinggi dalam Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS).

Meskipun aktiviti berkenaan mendapat kelulusan tetapi ia didakwa dijalankan secara rakus sehingga mengakibatkan kawasan hutan terbabit yang dahulu dilitupi dengan rimbunan menghijau pelbagai jenis pokok dan tumbuhan ditarah sehingga gondol.

Malah, kerajaan Pas Kedah dikatakan turut meluluskan sejumlah 780 hektar lagi di kawasan tersebut bagi tujuan serupa menyebabkan ribuan penduduk sekitar bimbang terhadap impak alam sekitar dan kesan buruk bakal dihadapi mereka terutama dalam jangka masa panjang.

Lebih membimbangkan, aktiviti pembalakan berkenaan didakwa tidak dirujuk kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Kegiatan berkenaan dibongkar oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom yang melakukan tinjauan dan siasatan selama dua hari di kawasan tersebut selepas mendapat aduan daripada penduduk sekitar.

Katanya, beliau terkejut melihat keadaan hutan simpan tersebut menjadi gondol kerana aktiviti pembalakan dijalankan secara keterlaluan sehingga air di Sungai Kechik, Sungai Badak dan Sungai Wang Perah yang menjadi sumber kepada penduduk tempatan tercemar serta semakin cetek.

Menurut beliau, air dari sungai tersebut yang mengalir masuk ke Sungai Temin menjadi sumber kepada Loji Air Mukin Temim dan Loji Air Jeragan.

"Keadaan itu turut menjejaskan para petani yang mengusahakan ribuan hektar sawah di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dari lima mukim iaitu Kubang Pasu, Temin, Hosba, Binjai dan Malau," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan pembalakan itu di sini hari ini.

Mohd. Johari berkata, kegiatan pembalakan berkenaan juga dikhuatiri akan mencemarkan alam sekitar, menjejaskan dusun penduduk sekitar dan risiko dilanda bencana banjir yang lebih buruk jika tidak dihentikan segera.

"Saya difahamkan pembalakan yang dijalankan sekarang tidak langsung dirujuk untuk EIA, kalau dirujuk saya rasa laporan itu tidak betul. Kerajaan Pas Kedah perlu bertanggungjawab dalam perkara-perkara seperti ini dan mereka mesti lebih teliti dalam mengeluarkan balak.

"Ini mungkin kawasan yang dibenarkan tetapi cara pembalakan dijalankan secara melampau. Walaupun kawasan ini bukan kawasan tadahan air, tetapi mereka mesti mengambil kira kepentingan pemuliharaan ekosistem alam sekitar," tegas beliau.

Mohd. Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menambah, tidak salah jika kerajaan Pas Kedah ingin memajukan tanah dan memberikannya kepada sesiapa pun kerana itu hak mereka tetapi aktiviti berkenaan perlu dijalankan secara bertanggungjawab serta di tempat yang sesuai.

Katanya, mungkin kerajaan Pas Kedah sengaja menggunakan alasan untuk menganugerahkan kawasan hutan yang diterokai itu kepada KCS bagi mewajarkan balak pelbagai saiz dapat dikeluarkan sebagai jalan singkat untuk menambah pendapatan kerajaan negeri.

"Saya tidak mempertikaikan jika hendak diberi kepada KCS yang banyak menyumbang kepada pembangunan Kedah tetapi biarlah tempat itu bersesuaian.

"Saya berpendapat tempat ini tidak sesuai untuk diteroka apatah lagi secara rakus. Saya pun tidak faham bagaimana kerajaan Pas Kedah boleh memilih kawasan ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menghantar surat bantahan rasmi kepada kerajaan Pas Kedah supaya menghentikan pembalakan di situ selain berurusan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk meminta laporan kedudukan semasa pembalakan di negeri ini kerana peraturan EIA seolah-olah tidak lagi efisien.

"Jika kerajaan Pas Kedah tetap berdegil, kami akan membawa penduduk melihat sendiri kerakusan pembalakan di kawasan ini," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.