saya nak baca ..

DALAM NEGERI


ARKIB : 06/05/2013

Analisis PRU-13: Tsunami politik perkauman perlu dirawat

BURUK benarkah layanan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap masyarakat Cina di negara ini? Jika buruk, apa bukti-buktinya?

Terus terang bahawa penulis tidak pernah melihat mana-mana kaum Cina di negara ini yang hidup gelandangan atau merempat. Sebaliknya mereka dapat menikmati kehidupan normal sama seperti kaum lain.

Ada kalanya, kehidupan masyarakat Cina adalah jauh lebih baik seperti mampu membeli kereta mewah, kediaman mewah, kehidupan bandar serba mewah dan macam-macam lagi.

Itu membuktikan bahawa mereka juga menikmati kemajuan dan kemakmuran negara dengan sama rata seperti mana kaum lain di bawah pemerintahan kerajaan BN selama lebih 50 tahun menerajui negara ini.

Jika kaum Cina tidak mendapat layanan yang setaraf daripada kerajaan, tidak mungkin wujud sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah-sekolah vernakular yang terbuka untuk anak-anak Cina.

Peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga tidak mungkin berlaku dan malah mereka turut diberi peluang bekerja dalam sektor kerajaan.

Malah, kerajaan turut membenarkan banyak IPTA yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh kaum Cina, bagi memberi peluang pendidikan tinggi alternatif kepada golongan muda mereka.

Dalam bidang perniagaan pula, majalah perniagaan Forbes pada Februari lalu telah menyenaraikan 14 ‘bilionar’ di Malaysia, 11 daripadanya sudah tentu merupakan taikun berbangsa Cina.

Lihatlah kekayaan Robert Kuok (AS$12.5 bilion), Lim Kok Thay (AS$6.6 bilion), Teh Hong Piow (AS$5.6 bilion), Quek Leng Chan (AS$4.8 bilion), Lee Shin Cheng (AS$4.5 bilion), Yeoh Tiong Lay, (AS$2.8 bilion), Tiong Hiew King (AS$1.8 bilion), Vincent Tan (AS$1.3 bilion), Tan Heng Chew (AS$1.2 bilion), Chen Lip Keong (AS$1.01 bilion) dan Lee Oi Hian & Lee Hau Hian (AS$1 bilion).

Ini belum lagi mengambil kira mereka yang bergelar jutawan dan orang kaya berpendapatan tinggi yang lain. Sudah tentu, golongan kaya Cina ini telah membentuk koloni terbesar di negara ini berbanding golongan kaya daripada kaum-kaum lain.

Bagaimana mereka ini boleh muncul sebagai bilionar, jutawan atau korporat terbilang kalau bukan kerana kebijaksanaan dan keadilan BN dalam pengurusan ekonomi negara.

Kebebasan beragama yang dipraktikkan di negara ini turut membuktikan bahawa hak masyarakat Cina di negara ini tidak pernah disekat.

Jadi apa yang masih kurangnya kaum Cina di negara ini? Tiada masyarakat kelas pertama, kedua atau ketiga diperkenalkan di negara ini kerana semua rakyat telah diberi layanan sama rata, sama rasa.

Bagi yang rajin berusaha, mereka akan maju dan berada di hadapan. Begitu juga sebaliknya.

Bekas Pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong berkata, dari segi patriotik, masyarakat Cina sebenarnya masih sayangkan negara kerana ini merupakan tanah tumpah negara mereka juga.

Namun, masyarakat Cina di negara ini telah diracuni dengan impak perubahan pemerintahan yang kononnya lebih telus di bawah perjuangan DAP yang mendapat sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau yakin, selepas tempoh lima tahun akan datang, kaum Cina menyedari kesilapan mereka dan akan kembali kepada BN setelah mendapati DAP dan pakatan pembangkang hanya cakap kosong.

"Sebaliknya, BN perlu menganalisis strategi dan kekuatan parti komponennya seperti MCA dan Gerakan yang kurang menyengat berbanding DAP," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, masyarakat Cina di Malaysia sebenarnya telah diperangkap dengan persepsi kurang tepat oleh parti pembangkang, DAP.

DAP telah menyemai perasaan negatif terhadap masyarakat Cina dan mencipta polemik bahawa MCA dalam BN telah gagal membela masyarakat Cina di negara ini.

Malah, katanya, DAP juga berjaya mewujudkan persepsi seolah-olah masyarakat Cina di Malaysia merupakan warganegara yang tidak dilayan dengan baik oleh BN berbanding masyarakat Melayu dan Bumiputera.

“DAP secara tidak langsung telah menyemai prejudis tinggi terhadap BN seolah-olah memihak kepada kaum Melayu dan mengabaikan masyarakat Cina.

“DAP berjaya membentuk persepsi buruk dalam masyarakat Cina iaitu apa sahaja keadilan yang wujud selama ini dan diamalkan oleh kerajaan kepada kaum Cina, akan dihapuskan oleh BN," katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Mohamed Mustafa, masyarakat Cina turut meyakini DAP yang cuba memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dan mahu mengubah kerajaan, dasar serta perlembagaan Malaysia yang konon-kononnya memberi hak sama rata.

Paling malang, tambah beliau, konsep Malaysian Malaysia juga disokong oleh orang Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Menurut beliau, politik polarisasi kaum seperti itu perlu dirawat segera kerana tidak sihat kepada amalan politik berbilang kaum di negara ini.

Bagi penulis, kaum Cina di negara ini tidak akan dapat sesekali mengubah kerajaan jika dilakukan secara bersendirian dan tidak mendapat sokongan daripada kaum-kaum lain seperti masyarakat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum India.

Malah, tidak semua kaum lain bersetuju dan menyokong agenda pakatan pembangkang dan DAP yang hanya membentuk jurang perkauman.

Kadang kala, prejudis yang wujud di kalangan masyarakat Cina di negara ini amat keterlaluan dan hanya membentuk polarisasi kaum yang menebal.

Mereka tidak boleh hidup dalam ketakutan dalaman sendiri dan menganggap bahawa diri mereka terancam dan diancam oleh parti pemerintah sampai bila-bila.

Malah, Malaysia telah merdeka hampir 56 tahun dan sepanjang tempoh itu, parti pemerintah tidak pernah mempunyai rekod melakukan penindasan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

Semoga masyarakat Cina di negara ini sentiasa menilai kembali apa yang telah dikecapi mereka selama ini dan membuat pilihan yang terbaik untuk negara pada Pilihan Raya Umum ke -14. - UTUSAN ONLINE

[Penulis adalah wartawan Utusan Online]

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zuhur 1:19
Asar 4:44
Maghrib 7:28
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.