saya nak baca ..

FEMININ


ARKIB : 25/04/2012

Amirah Filzah pesona busana muslimah

MAHU cemerlang dalam dunia perundangan dan peragaan.

AMBILLAH gambar dari mana sudut sekali pun, pasti tidak mengecewakan lantaran wajah jelita yang dimilikinya. Sedikit gerakan sahaja boleh menghasilkan satu masterpiece yang pasti mengundang pesona pada tiap mata yang memandang.

Itulah kurnia serta bakat yang dianugerah Ilahi kepada pemilik nama, Nur Amirah Filzah Badioezaman.

Berbicara dengan si jelita yang selesa dengan panggilan Amirah ini, pendapat dan pandangan yang diberi nyata melangkaui usia yang baru mencecah 19 tahun.

Susun atur katanya tenang, setenang wajahnya. Malah Amirah juga tetap cool walau sesi fotografi memakan masa yang agak panjang lantaran berselisih dengan begitu banyak sesi fotografi lain di studio.

Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam bidang peragaan, Amirah berkata semuanya bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan tidak mahu bermula pada usia yang lebih muda, tapi baginya pelajaran adalah yang paling utama.

Jangan sangka Amirah hanya pandai bergaya, gadis kelahiran Ipoh, Perak ini juga merupakan pelajar yang cemerlang, malah keputusan peperiksaannya konsisten sejak di tahun enam lagi.

Amirah juga pernah bersekolah di Marlborough Road Primary School, Manchester, England selama dua tahun kerana mengikut bapanya yang menyambung pelajaran di peringkat sarjana di sana.

Dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 5A, Penilaian Menengah Rendah (PMR) 7A dan SPM 8A nyata Amirah layak penulis gelar 'beauty with brain'.

"Daripada sekolah menengah lagi saya minat fesyen. Saya sukakan gaya model beraksi dalam majalah atau televisyen dan dari situ saya akan belajar tiru gaya serta fesyen mereka. Walaupun minat, tapi saya tidaklah sampai taksub dan tidak juga seorang yang terlalu up-to-date.

"Saya sebenarnya jenis yang sukakan gaya ringkas dan sesuai dengan majlis yang dihadiri.

"Penglibatan saya dalam dunia peragaan juga mendapat sokongan daripada abah dan mak. Sebelum ada lesen memandu dulu mereka yang akan hantar dan ambil saya untuk sesi fotografi.

"Mereka memang sanggup bersusah payah untuk saya. Pernah sekali, saya terlibat dengan pertunjukan fesyen di Shah Alam, masa itu raptai sampai pukul 12 tengah malam. Abah dari pejabat sanggup tunggu sampai habis dan tidak pulang ke rumah langsung di antara waktu menunggu itu. Walaupun abah dan mak sibuk dengan tugasan tapi mereka tidak pernah menolak dan merungut untuk menghantar saya ke mana pun," ujar anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya perempuan.

Pada awal penglibatannya dalam bidang peragaan, Amirah belum bertudung dan keputusan bertudung sebenarnya dibuat gadis ini ketika empat hari sebelum memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM). Niatnya tidak lain tidak bukan untuk berubah menjadi yang lebih baik.

Kesabaran

"Saya rasa pada saat itu adalah paling sesuai untuk berubah. Bertemu kawan-kawan baru, di tempat baru dan segalanya serba baru mempermudahkan penghijrahan. Mak dan abah pun banyak beri sokongan pada saya, mereka suka dengan perubahan tersebut.

"Pernah juga terdetik di hati saya kalau bertudung, masih adakah peluang untuk peragaan atau fotografi? Namun kata hati untuk berubah lebih kuat dan niat saya amat ikhlas.

"Sangkaan saya tentang peluang salah sama sekali. Selepas bertudung, lebih banyak tawaran yang saya dapat. Amat murah rezeki saya dalam bidang ini. Alhamdulillah," katanya yang pernah menghiasi ruangan akhbar, majalah dan juga program televisyen tempatan.

Disebabkan minat yang tinggi dalam dunia peragaan, Amirah memang tidak pernah kenal erti penat.

Walaupun masih baru, gadis ini mengakui terlalu banyak yang perlu dipelajarinya dan berkongsi pengalaman dengan senior adalah salah satu medium yang digunakan. Satu kunci yang dipegang ialah kesabaran.

"Saya pernah menjalani satu sesi fotografi membabitkan antara 30 hingga 40 tudung bersama Online Hijab Boutique (OHB) yang mana saya menjadi wajah rasmi mereka.

"Waktu itu dengan kasut tinggi yang dipakai selama berjam-jam sudah tentu ia menuntut kesabaran yang tinggi. Tiada siapa tahu pipi saya naik kebas sebab asyik senyum saja.

"Tetapi saya tidak kisah. Saya tahu saya juga perlu komited dalam apa jua tugasan yang diberikan dan juga memastikan klien berpuas hati.

"Kalau mereka puas hati, saya lagi puas hati dan amat gembira," kata penuntut Kursus Asasi Undang-Undang, di UiTM, Shah Alam, Selangor.

Bergelar pelajar, model dan duta untuk OHB, Amirah bijak menentukan keutamaannya bagi memastikan semua mengikut masa dan jadual yang ditetapkan.

Untuk itu dia hanya menerima tugasan pada masa cuti sahaja.

"Seboleh mungkin saya mahu puaskan hati semua pihak terutama abah dan mak. Jurusan undang-undang ini pun saya pilih kerana mahu memenuhi permintaan mak, bagi saya apa saja bidang pun tak kisah sebab saya memang suka belajar dan mudah mengadaptasikan diri dalam apa jua cabaran.

"Apa yang penting ialah saya harus tahu keutamaan. Contoh macam sekarang ini saya sudah menghabiskan tempoh Asasi. Cuti pun agak lama hingga bulan September, jadi tumpuan boleh diberikan kepada bidang peragaan pula," ujar puteri kepada Faizatul Akmar Hisan dan Badioezaman Ab. Khalik ini.

Berbakat dalam tarian

Bagi Amirah, setiap apa yang dimahukan bukan sekadar angan sebaliknya mesti disertakan dengan usaha dan kerja keras.

Sebelum masuk ke UiTM, Amirah pernah bercita-cita untuk berlakon dalam iklan komersial di televisyen. Salah satu kenangan yang tidak akan dilupakan si gadis penggemar manisan ini ialah ketika menjayakan iklan promosi untuk rancangan Mari Menari terbitan Astro.

"Amirah kena menari? Ini memang satu tawaran yang saya tidak boleh tolak, kebetulan masa itu saya belum bertudung pula dan memang saya sangat suka menari.

"Dan untuk promosi tersebut saya perlu belajar tarian Salsa untuk 20 minit di tengah-tengah Bukit Bintang. Saya ada asas menari, jadi tak ada masalah untuk menghafal langkah. Apa pun, itu adalah pengalaman manis saya sepanjang terlibat dalam dunia tarian.

"Saya memang suka sangat menari. Paling aktif menari masa sekolah menengah dulu. Setiap kali ada majlis atau apa-apa majlis di sekolah, saya mesti buat persembahan.

"Saya suka tarian tradisional, cakaplah apa saja seperti Inang, zapin, joget semua saya boleh. Tapi jangan sangka saya masuk kelas tarian, saya tidak pernah masuk mana-mana kelas tarian pun, mungkin semuanya sebab minat dan bakat.

"Selalunya saya belajar tarian baru daripada youtube. Kali terakhir saya buat persembahan tarian adalah pada Februari lalu. Kalau nak tengok saya menari boleh buka blog saya di mirarafilzah. blogspot.com," ujar gadis ini penuh ceria.

Melihatkan minatnya yang menjurus kepada bidang seni pasti ramai yang menyangka Amirah juga suka berlibur. sangkaan penulis meleset kerana Amirah sebenarnya seorang gadis yang lebih gemar menghadap komputer riba daripada keluar melepak dengan kawan-kawan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.