saya nak baca ..

FORUM


ARKIB : 03/09/2014

Kecewa dengan perkhidmatan HKL

SAYA berasa amat kecewa dan terkilan dengan perkhidmatan yang layanan yang diberikan oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Baru-baru ini, isteri saya telah dimasukkan ke Wad 21 Obstetrik & Ginekologi (O&G) akibat air ketuban pecah awal pada usia kandungan mencecah 20 minggu.

Isteri saya telah menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin tetapi polisi hospital yang hanya membenarkan ibu mengandung dengan usia kandungan 22 minggu ke atas barulah ditempatkan di Wad Bersalin.

Hairan juga mengapakah isteri saya tidak ditempatkan di wad bersalin sedangkan beliau telah jelas menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin.

Pada pendapat saya, boleh jika mahu menempatkan isteri saya di wad O&G tersebut (Wad 21), perlulah mempunyai kakitangan yang cukup dan mahir dalam mengendalikan ibu bersalin.

Mengapa saya berkata begitu? Ini kerana sewaktu isteri saya telah mula berasa sakit untuk bersalin lebih kurang pada pukul 5 petang, beliau telah memberitahu jururawat yang bertugas tetapi dimaklumkan yang doktor tiada di wad pada masa itu.

Doktor yang bertugas hanya seorang sahaja dan doktor tersebut sedang mengendalikan pesakit yang lain.

Hairan juga mengapakah hanya seorang doktor sahaja yang bertugas.

Pada pukul 8 malam, isteri saya merasakan dia yang lebih kuat lagi dan beliau telah memanggil jururawat supaya memberitahu doktor.

Malangnya doktor masih tiada dan hanya didatangi oleh doktor pelatih (houseman) sahaja.

Doktor pelatih tersebut memeriksa laluan bersalin sebanyak dua kali tetapi dia tidak dapat memberikan jawapan sama ada pintu rahim sudah terbuka atau tidak.

Saya tidak menyalahkan doktor pelatih, kerana mungkin dia kurang pengalaman.

Di sinilah perlunya ada seorang doktor (Medical Officer) yang mahir bagi memantau pesakit.

Kemudian isteri saya telah diberikan suntikan penahan sakit oleh doktor pelatih tersebut dan dia memaklumkan akan melihat isteri saya semula pada jam 2 pagi.

Menurut isteri saya, pada pukul 10 malam dia telah berasa sakit dan seakan ingin bersalin pada waktu itu kerana kaki bayi hampir keluar, namun terpaksa menahannya daripada keluar kerana tiada seorang pun doktor dan jururawat di samping dia pada waktu itu.

Isteri juga tiada pengalaman bersalin kerana ini adalah kandungan yang pertama.

Mujur ada adik saya yang kebetulan datang melawat dan dia telah berlari mendapatkan jururawat untuk memaklumkan perkara tersebut.

Malangnya doktor masih tiada lagi. Yang datang hanya jururawat dan doktor pelatih.

Mungkin doktor pelatih kurang berpengalaman, hendak ditariknya bayi keluar daripada vagina, mujur jururawat melarang.

Setelah beberapa ketika barulah doktor yang bertugas datang untuk menyambut bayi.

Datang pun dengan menunjukkan muka yang masam dan moody.

Kedengaran suara merungut memarahi doktor pelatih dan jururawat.

Setelah bayi keluar, sebahagian uri pula masih tertinggal.

Doktor memaklumkan isteri akan dibawa ke bilik dewan Bedah (OT) bagi menjalani prosedur

Suction & Curettage.

Isteri telah bersalin lebih kurang pukul 10.30 malam.

Pada pukul 1.30 pagi baru isteri dihantar ke bilik OT.

Selama 3 jam lagi dia menahan sakit akibat rahim tidak mengecut disebabkan uri yang masih tertinggal.

Bila ditanya kenapa lambat sangat? Jururawat memberitahu hanya seorang doktor sahaja yang bertugas dan doktor tersebut mengendalikan kes yang lain, oleh itu terpaksa menunggu doktor itu selesai mengendalikan kes tersebut barulah dia boleh mengendalikan kes isteri saya.

Keesokannya beberapa doktor pelatih ada datang memberitahu isteri pada malam tersebut keadaan dia adalah kritikal dengan tekanan darah 50/20.

HB pula jatuh kepada 6, isteri mengalami tumpah darah dan telah dimasukkan dengan 2 beg darah.

Jururawat juga ada memberitahu isteri bahawa mereka tidak biasa mengendalikan ibu bersalin di wad mereka (O&G).

Jika begitu, mengapakah ditempatkan di wad O&G?

Saya berasa amat terkilan sekali dengan polisi di wad bersalin yang hanya menerima ibu mengandung pada usia kandungan 22 minggu ke atas sahaja yang dibenarkan untuk ditempatkan di wad mereka.

Jika isteri saya ditempatkan di wad bersalin, sekurang-kurangnya jururawat di situ telah biasa dan mahir untuk mengendalikan ibu bersalin jika tiada doktor sekali pun.

Saya memang berasa sangat serik dan terkilan dengan kejadian yang menimpa isteri.

Mungkin jika isteri bersalin lagi saya akan berfikir banyak kali sebelum menghantar isteri ke HKL.

Patutlah ramai rakan tidak mencadangkan bersalin di HKL, tetapi saya masih percaya pada HKL.

Sekarang, bila dah kena pada batang hidung sendiri baru saya percaya.

SUAMI KECEWA

Kuala Lumpur

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.