saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/04/2012

Isma Alif mengacara majlis PIBG sekolah

BERSAMA artis-artis seangkatannya sewaktu menjayakan sebuah rancangan televisyen pada penghujung tahun 1980-an, antaranya Liza Abdullah, Datuk Shah Rezza dan Abby Saiful.

DUAN puluh enam tahun lalu, nama Isma Alif mekar dalam dunia hiburan tanah air sebagai seorang anak seni yang mempunyai pelbagai kebolehan.Dia bukan sahaja dikenali sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak, malah turut sering dijemput sebagai pengacara dalam pelbagai majlis dan persembahan pentas di merata-rata tempat seluruh negara.

Anak seni berusia 47 tahun ini pernah menghasilkan empat buah album berjudul Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada.

Itu tidak termasuk membintangi banyak filem seperti Marah-Marah Sayang, Kembar Siam dan Sayang Ibu. Sementara itu, sejak bergelar anak seni pada 1986, Isma juga telah membintangi puluhan drama televisyen.

Sayangnya, drama berjudul Romeo arahan Aziz M. Osman yang dilakonkannya pada tahun 2000 itu adalah kemunculan terakhirnya dalam bidang seni.

Menurut Isma, sejak saat itu dia tidak muncul dengan sebarang album, filem mahupun drama dan namanya sebagai penyanyi, pelakon dan pelawak seakan-akan tenggelam daripada pandangan para peminatnya.

Namun bapa kepada Norismalina, 22, dan Mohd. Aliff, 13, ini tidak putus asa walaupun peluang menyanyi, berlakon dan berlawak yang diterimanya kini tidak sebanyak dulu.

Sebaliknya kata Isma, dia yakin dengan bakat seninya dan sanggup menerima apa juga tawaran termasuklah sebagai pengacara pada majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah rendah.

“Sejak usia saya 21 tahun lagi dan sehinggalah kini, pekerjaan tetap saya adalah sebagai penyanyi, pelakon, pelawak dan pengacara majlis. Pada usia sekarang, populariti saya tidak seperti dahulu dan tawaran mengadakan persembahan pentas ataupun berlakon tidak menentu. Jadi, saya terima apa sahaja tawaran termasuklah menjadi pengacara dalam majlis-majlis anjuran PIBG sekolah.

“Saya tidak boleh terlalu memilih tawaran mengadakan persembahan kerana saya mempunyai keluarga yang harus ditanggung. Apatah lagi, anak bongsu saya masih bersekolah dan menghidap penyakit kanser pula.

“Saya memerlukan duit yang banyak dan sebab itulah saya tidak malu walaupun sekadar menjadi pengacara di majlis seperti itu,” katanya kepada S3 baru-baru ini.

Pada satu majlis anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan St. John (1) Kuala Lumpur itu, S3 sempat merakamkan pelbagai gelagat Isma mengacara pelbagai acara sewaktu ia berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Dia bijak berceloteh, sambil menyanyi dan berlawak pada Karnival Amal Antarabangsa anjuran PIBG sekolah itu yang bertujuan mengutip derma untuk tabung mereka.

Jelas Isma, dia bukan sahaja tidak memilih tawaran berlakon, menyanyi, berlawak atau mengacara tetapi turut enggan menyalahkan takdir yang menentukan tahap popularitinya pada hari ini.

Anak seni yang suka merendah diri ini akur bahawa rezeki dan nasibnya dalam bidang seni tidak sama seperti rakan-rakan yang seangkatan dengannya seperti Os, Liza Abdullah dan Salih Yaacob yang terus popular hingga kini.

“Masih ramai kawan-kawan artis yang sezaman dengan saya masih berlakon atau berlawak dari dahulu sampai sekarang. Contohnya, dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega anjuran Astro baru-baru ini, ramai artis lama seperti Os, Imuda dan Jalil Hamid mengetengahkan bakat masing-masing.

“Selepas kumpulan Osborn menjuarai pertandingan itu, saya yakin Os tetap popular seperti dahulu. Saya juga dapati pelakon seperti Liza Abdullah masih ditawarkan berlakon dalam drama di televisyen.

“Nampaknya, ramai penganjur persembahan pentas, penerbit mahupun pengarah terlepas pandang artis lama seperti saya.

“Saya masih sihat dan aktif dalam bidang seni, cuma rezeki saya tidak semewah dahulu. Saya harap selepas ini pihak-pihak yang terbabit tidak melupakan bakat dalam bidang seni yang Allah telah kurniakan kepada saya selama ini,” pintanya penuh harapan.

nostalgia

Mengimbas tentang nostalgianya selama hampir tiga dekad dalam bidang seni, Isma tidak menafikan dia pernah menempa popularitinya yang tersendiri sebagai artis. Sebagai anak seni yang dianggap versatil, dia berjaya menyerlahkan kesemua bidang seni yang diceburinya. Dalam erti kata lain, Isma diterima oleh para peminat dalam apa juga genre yang diketengahkan.

Tambahnya, sebagai pelawak dia dikenali menerusi lakonan dalam filem seperti berjudul Kembar Siam, manakala sebagai penyanyi pop pula dalam album Kembara Duka yang sarat dengan lagu-lagu serius dan bertemakan tentang percintaan.Semua gaya nyanyian dan lakonannya itu berjaya diserlahkan menerusi bakat serta penghayatannya yang cukup tersendiri.

“Nama sebenar saya ialah Mohd. Latiff Ismail. Nama Isma Alif itu diberikan oleh komposer Manan Ngah yang popular ketika awal tahun 1980-an. Ketika di awal kemunculan saya sebagai anak seni, saya mencuba nasib sebagai penyanyi. Manan yang memberikan nama Isma Alif itu kepada saya kerana ia lebih komersial bunyinya. Selain menyanyikan lagu-lagu cinta, saya juga menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan komedi.

“Sebab itu, dalam bidang lakonan atau nyanyian, elemen serius dan komedi yang saya ketengahkan adalah seiring. Cuma secara peribadi, saya lebih suka kepada persembahan pentas yang membabitkan sketsa lawak jenaka dan nyanyian,” ujarnya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.