saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 01/07/2012

Akhirnya Osman pergi jua

NAMANYA pernah duduk sebaris dengan para pelawak negara yang cukup dikagumi. Apa sahaja biji butir yang keluar daripada mulut Osman Kering ia mampu mencuit hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Nama Osman yang mula aktif dalam bidang lakonan sejak akhir 1970-an mungkin kurang menyerlah sejak kebelakangan ini. Tetapi itu tidak bermakna dia terus dilupakan. Peranan yang dimainkan oleh Osman dalam menghidupkan filem dan drama komedi lakonannya masih tetap menyengat.

Kini kelibatnya sudah tiada. Tiada lagi gelak tawa Osman Kering atau nama sebenarnya Osman Kassim,59, yang pernah menghiburkan kita dengan lawak-lawak jenakanya.

Jumaat lalu, kira-kira pukul 3.45 petang, pelawak yang pernah membuat penonton tidak kering gusi dengan lawak dan gelagatnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan isteri, Che Norhayati,48, dan anak-anaknya.

Perginya allahyarham Osman menghadap Ilahi buat selama-lamanya setelah lebih dua minggu di masukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Jenazah Osman dibawa ke Masjid Al-Najihin, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras selepas solat Maghrib dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Tandang pada hari yang sama.

Sakit yang ditanggung oleh pelawak ini bukan baru. Mungkin pada sebilangan besar peminat mereka tidak tahu yang Osman menderita sakit batuk kering sejak sekian lama. Penyakit yang menjadi 'rahsia' keluarga itu akhirnya membawa bencana pada dirinya.

Hanya baru-baru ini sahaja kesihatan pelakon itu benar-benar merosot sehingga menyebabkan dia terlantar dan koma di HUKM.

Masih segar dalam ingatan pada petang 13 Jun lalu, heboh di laman-laman sosial kononnya pelawak itu sudahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berita yang cukup memeranjatkan itu berpunca daripada kesilapan kenyataan yang diberikan anaknya sendiri kerana yang nyata sejak hari itu, doktor mengesahkan jantung Osman masih berdenyut lagi.

Bagaimana ketika Osman tiba di HUKM, doktor mengesahkan otak, jantung dan buah pinggangnya sudah tidak berfungsi manakala paru-parunya pula dijangkiti kuman.

Malah doktor memaklumkan penyakit batuk kering yang dihidapi sejak sekian lama menyerang kembali dan bertambah teruk sebelum dia terlantar di hospital.

Paling mengejutkan apabila paru-parunya juga sudah rosak sebelah dan hanya sebelah sahaja yang masih berfungsi sejak sekian lama. Apa yang tinggal hanyalah harapan untuk dia kembali pulih walaupun sukar.

Penyayang

Walaupun Osman dikenali sebagai pelawak, namun dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya Osman adalah seorang ayah yang amat penyayang dan suami yang cukup baik kepada Che Norhayati.

Menurut Che Norhayati, apa sahaja permintaan anak-anak pasti akan ditunaikan oleh Osman yang cukup kasih kepada sang permata hati yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya selama ini.

Osman meninggalkan tujuh orang anak terdiri daripada Mohd Al Anas, 28, Mohd. Amin, 26, Nor Ain, 25, Nor Hidayah, 23, Habriyah, 16, Mohd. Al Adnin, 13, dan Mohd. Al Ajmim, 10.

Mengimbas kembali kerjaya seni Osman, dia pernah menganggotai kumpulan Asam Pedas sekitar tahun 1979 bersama dengan Mek Habsah dan Datuk Yahaya Sulong.

Mungkin ramai yang tidak tahu nama 'Osman Kering ' itu sebenarnya secara tidak sengaja terkeluar daripada mulut Mek Habsah ketika sama-sama berlakon dalam drama komedi terbitan RTM pada tahun 1980-an.

Walaupun pada mulanya nama itu agak pelik, tetapi sebenarnya nama itulah yang membawa tuah bagi Osman Kassim sebagai pelakon dan pelawak yang dikenali dan diminati.

Terus menggunakan nama itu hingga akhir hayat, tidak ramai yang tahu Osman merupakan antara pelakon yang paling komited terhadap dunia seni.

Sikap tidak berkira mengenai bayaran menjadi punca Osman kerap diberi peluang berlakon dalam pelbagai genre filem..

Sepanjang hayat Osman, dia sudah membintangi lebih 30 buah filem termasuklah XX-Ray, Ringgit Kassorga, Lagi-Lagi Senario dan pelbagai lagi filem lain yang akhirnya mempopularkan Osman pelawak yang cukup disenangi.

Keletah anak kelahiran Bachok, Kelantan ini juga cukup mencuri perhatian. Ada kalanya dia akan bercakap dengan dialek Kelantan untuk mencuri perhatian peminat setiap kali diundang membuat persembahan.

Kini tiada lagi derai tawa dan senyum manis Osman dapat kita lihat. Hanya yang tinggal kenangan melalui lakonan Osman yang akan dikenang sampai akhir hayat. Pergimu tiada ganti, kau tetap satu dalam seribu. Al-fatihah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zuhur 1:02
Asar 4:25
Maghrib 6:59
Isyak 8:13



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.