saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/09/2012

Penangan retro

Persembahan Alleycats bukan sahaja berjaya mengembali nostalgia penonton malah David Arumugam turut menggamatkan dewan dengan gayanya yang bersahaja.

SEKALIPUN masih dalam suasana raya dan sambutan bulan kemerdekaan, ternyata konsert retro yang menggandingkan tiga nama popular Jay Jay, Fredo dan kumpulan Alleycats tetap mendapat sambutan memberangsangkan.

Buktinya sewaktu malam MPO Goes Retro di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 1 September lalu, kira-kira 800 penonton hadir memberi sokongan.

Pada malam itu ketiga-tiga artis retro yang popular dengan lagu malar segar sekitar 80-an mengadakan persembahan dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS.

Ini adalah kali kedua Ramli memimpin orkestra tersebut selepas menerajui konsert Tan Sri SM Salim pada tahun 2001.

Persembahan dimulakan dengan barisan lagu daripada Jay Jay yang mempersembahkan lagu-lagu Dendangan Laguku, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Mak Enon.

Lagu-lagu popular kumpulan Carefree itu diberi gubahan baru oleh Jenny Chin, Ramli MS dan Ruslan Imam. Boleh dikatakan tidak banyak perubahan pada gubahan baru yang disesuaikan dengan iringan orkestra itu.

Kita masih dapat mengenali identiti asal lagu tersebut dan gubahan baru hanya dilakukan pada bahagian tertentu sahaja.

Melihat kepada persembahan bertenaga Jay Jay dapat dirangkum yang penyanyi itu begitu teruja kerana dapat menghibur penonton di dewan berprestij itu.

"Malam ini bakal menjadi sejarah dalam perjalanan seni saya. Terima kasih kepada DFP kerana memberi peluang kepada penyanyi seperti saya menyanyi di sini.

"Tidak mudah menyanyi dengan iringan orkestra yang ramai begini tapi apa pun ia merupakan satu pengalaman baru. Saya harap akan lebih ramai lagi penyanyi tempatan diberi peluang mengadakan persembahan di sini," katanya.

Oleh kerana penonton sudah mesra dengan lagu-lagu dendangannya, tidak hairanlah setiap kali Jay Jay berdendang ada sahaja peminat yang turut sama menyanyi.

Malam retro itu semakin panas dengan kemunculan Fredo, vokalis kumpulan Flybaits. Sambil memberi salam kepada penonton, Fredo memulakan persembahan dengan Kasih Berubah, gubahan baru oleh Jenny Chin.

Selepas membuai perasaan penonton dengan lagu mendayu, penyanyi berusia 62 tahun itu cuba mengalih perhatian mereka dengan lagu rancak Gurisan Terakhir yang digubah semula Ruslan Imam.

Sewaktu mendendangkan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, gubahan semula oleh Ramli MS, Fredo mengaku yang dia sukar untuk menyanyikan lagu tersebut.

"Walaupun sudah biasa menyanyikan lagu-lagu ini tapi bila dibuat gubahan semula, terasa seperti menyanyikan lagu baru. Ditambah pula susunannya dibuat mengikut persembahan orkestra.

"Apa pun saya mahu anda semua bayangkan iramanya yang indah ini sambil menikmati persembahan saya. Saya perlu beri perhatian sebab lagu ini sukar," katanya terus terang.

Lagu-lagu lain dendangannya adalah Andai Kata Serai Berbunga gubahan Jari dan Kenangan Lalu yang mendapat sentuhan Sze Wan.

Senda gurau

Pada set kedua persembahan, penonton lebih kerap ketawa berbanding sewaktu penampilan Jay Jay dan Fredo. Di atas pentas tidak ada pelawak cuma ada dua penyanyi Alleycats, Datuk David Arumugam dan Glenville Charles Salay (Glen).

Mana taknya, sebaik sahaja tampil, David yang berpakaian serba merah itu terus melaungkan ungkapan terima kasih yang kita sedia maklum itu menjadi trademarknya.

Penyanyi berusia 62 tahun itu hanya serius ketika mendendangkan lagu dan tidak dinafikan vokal David tetap mantap.

Penampilan David dan Glen pada malam itu turut diiringi anggota Alleycats yang lain seperti David John (dram) Nazaruddin Abdullah (gitar), Prawing Aroonratana (keyboards) dan Loh Kum Swee (bes).

David memulakan persembahan dengan lagu Sampaikan Salam sebelum meneruskan dendangan dengan lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang digubah semula oleh Muriz.

Untuk lagu ketiga, Glen mengambil alih pentas dengan memperdengarkan lagu Jika Kau Bercinta Lagi gubahan semula oleh Genervie Kam sebelum mempersembahkan lagu Kerana Kau yang disusun semula oleh Lilian Loo dan berjaya membuat penonton diam seketika dan hanyut dalam alunan muzik orkestra berkenaan.

Gabungan vokal yang tidak berubah dan kreativiti gubahan muzik membuatkan lagu-lagu popular Alleycats kedengaran baru.

"Terima kasih pada DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia yang sudi memberi ruang kepada Alleycats untuk mengadakan persembahan di sini.

"Sesekali menyanyi dengan orkestra memang seronok tetapi kami di sini berdebar. Sebelum anda semua melihat persembahan kami, tahu tak ini sifu (merujuk kepada Ramli) banyak memberi kerja rumah pada kami," cerita David dengan gaya tersendiri.

Sebenarnya penampilan David yang bersahaja bila berkomunikasi membuatkan penonton tidak kering gusi tambahan pula Glen juga tahu bila waktu sesuai untuk menyampuk percakapan rakannya itu.

Biarpun Alleycats mendendangkan sembilan buah lagu tapi terasa seperti sebentar sahaja. Tidak puas menonton persembahan mereka.

Pada persembahan tersebut, Alleycats turut mendendangkan lagu Andainya Aku Pergi Dulu mengikut versi asal sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu Kuala Lumpur, gubahan Lilian Loo.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.