saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/10/2012

Badan mana kutip royalti?

Tan Lian Hoe

LAGU-lagu yang disiarkan di radio, televisyen dan tempat-tempat awam boleh diibaratkan lombong emas. Sebab itu, banyak pihak yang menawarkan diri untuk melombong galian ini. Pendapatannya diperoleh daripada kutipan royalti selepas sesebuah lagu itu disiarkan di tiga saluran itu.

Public Performance (Malaysia) Sdn. Bhd., Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan Persembahan dan Hak Artis (Prism Malaysia Sdn. Bhd.) adalah tiga syarikat pengutip royalti tempatan yang mengagih-agihkan pendapatan itu kepada ahli-ahlinya sejak lebih 10 tahun lalu.

Ahli-ahlinya pula terdiri daripada penggubah lagu, penulis lirik, penyanyi serta pemuzik tempatan dan antarabangsa. Selama ini, timbul pertikaian berhubung kutipan royalti kerana membabitkan tiga syarikat yang berbeza dan ahli-ahlinya juga daripada cabang seni yang tidak sama.

Masalah itu telah menarik perhatian pihak kerajaan terutama di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Pelbagai cadangan telah dikemukakan kepada kementerian itu sehingga satu kata sepakat dicapai pada 27 September lalu.

Pada tarikh itu, pihak yang terbabit dalam industri muzik seperti persatuan-persatuan artis dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang terletak di bawah KPDNKK bersetuju memberi kuasa kepada sebuah badan pengutip royalti sahaja untuk para karyawan muzik tempatan selepas ini.

Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Tan Lian Hoe berkata, persetujuan itu dicapai dalam dialog tahunan baru-baru ini bersama pihak-pihak terbabit bagi mengelakkan aduan berkaitan royalti. Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila langkah itu akan dilaksanakan.

Langkah itu bagi memastikan kutipan royalti dapat dilakukan secara lebih telus dan teratur. Namun, persoalannya sehingga kini badan pengutip royalti yang dimaksudkan itu masih belum diputuskan KPDNKK. Keadaan itu mencetuskan banyak tanda tanya di kalangan pihak yang terbabit.

Setiap hari stesen-stesen radio, televisyen, pusat-pusat karaoke atau tempat-tempat umum yang lain terus menyiarkan lagu-lagu para karyawan tempatan. Keadaan itu boleh menyebabkan royalti tidak dapat dikutip selagi belum ada badan yang dimaksudkan itu.

Isu itu seharusnya mendapat perhatian segera kerana jumlah kutipan royalti semakin bertambah pada setiap tahun. Faktor itu berdasarkan penggunaan dan penyiaran lagu-lagu di tempat-tempat awam yang semakin meningkat sejak lapan tahun kebelakangan ini.

Contohnya pada tahun 2004, tiga syarikat pengutip royalti itu hanya mengutip RM34.81 juta dan jumlahnya semakin meningkat pada 2005 (RM39.78 juta), 2006 (RM41.77 juta), 2007 (RM48.5 juta), 2008 (RM57.44 juta), 2009 (RM65.79 juta) dan 2010 pula (RM70 juta).

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh KPDNKK itu, kutipan royalti berkaitan lagu, lirik, video dan persembahan di tempat-tempat awam mampu menjana yang lumayan buat penerima royalti. Malah, kutipan royalti muzik juga dijangka akan semakin meningkat pada setiap tahun.

Isu kutipan royalti itu bukan setakat mendapat perhatian daripada pihak kerajaan tetapi turut ditimbulkan oleh parti pembangkang melalui wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Indera Mahkota, Azan Ismail pada sesi perbahasan mengenai isu tersebut di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Selain menubuhkan sebuah badan pengutip royalti khusus yang dipantau oleh MyIPO mahupun KPDNKK, mekanisme kutipan dan agihan kepada para karyawan muzik terbabit juga perlu diperhalusi agar ia tidak berat sebelah kepada segelintir pihak sahaja seperti syarikat rakaman.

Pelaksanaan itu akan mengambil masa kerana membabitkan persetujuan antara pemegang hakcipta dan para karyawan sesebuah karya. Namun ia boleh diselesaikan dengan merujuk kepada Akta Hakcipta 1987 ataupun Artikel 15 yang dikemukakan oleh Prism baru-baru ini.

Isu hak mengutip dan mengagih-agihkan royalti amat penting demi kesinambungan industri muzik tempatan. Paling penting isu itu juga membabitkan punca pendapatan para karyawan muzik sama ada mereka mampu hidup senang melalui bidang ini ataupun sebaliknya pada masa depan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.