saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/12/2012

Mudah yang dirumitkan

THE Hobbit menjadi antara filem prekuel yang ditunggu-tunggu kaki wayang.

PENGARAH Peter Jackson pernah mengagumkan dunia apabila berjaya memadatkan hampir ke semua perincian dari naskhah asal tulisan J.R.R Tolkien, The Lord of the Rings (LOTR) menjadi filem trilogi (2001-2003).

Kerana kehebatan itulah, filem ketiganya, The Return of the King diangkat sebagai Filem Terbaik Oscar - sesuatu yang jarang berlaku kerana karya genre pengembaraan fantasi lazimnya tidak berpeluang menang trofi utama. Jackson juga menang anugerah Pengarah Terbaik selain sembilan kategori lain.

Sembilan tahun selepas trilogi itu berakhir, Jackson kembali membawakan prekuelnya, The Hobbit. Juga dihasilkan dalam tiga bahagian, filem pertamanya, An Unexpected Journey memulakan kisah yang berlaku kira-kira 60 tahun sebelum kronologi dalam LOTR berlangsung.

Bagaimanapun, untuk The Hobbit, Jackson mendepani cabaran berbeza apabila harus 'memanjangkan' novel yang hanya setebal 300 halaman menjadi tiga bahagian filem. Dan di sinilah berlakunya sedikit 'masalah' apabila yang mudah harus dirumitkan bagi mengisi masa atau atas alasan agar segalanya lebih jelas.

Jika LOTR mengisahkan perantauan orang-orang kerdil untuk menyelamatkan dunia, The Hobbit menceritakan bagaimana golongan ini berperang untuk mengambil semula jajahan mereka yang dirampas seekor naga bernama Smaug.

Bilbo Baggins (lakonan Martin Freeman) 'dipaksa' oleh ahli sihir yang disegani, Gandalf (Ian McKellen) untuk menyertai pengembaraan mereka ke tempat jajahan itu yang dipanggil Erebor. Selain Bilbo, misi itu disertai 13 orang kerdil lain yang diketuai bekas rajanya, Thorin Oakenshield (Richard Armitage).

Sebelum sampai ke Lonely Mountain dan seterusnya ke Erebor, mereka harus merentasi hutan belantara dan gunung-ganang. Mereka juga harus bertarung dengan penjaga setiap lembah dan daerah yang memusuhi mereka seperti Goblins, Orcs, Wargs, Shapeshifters juga labah-labah gergasi.

Dalam perjalanan inilah, di bawah terowong Goblin yang gelap dan basah, Bilbo bertemu dengan Gollum (lakonan Andy Serkis menggunakan teknik motion capture). Secara tidak sengaja, dia menjumpai cincin emas milik makhluk itu yang bakal mengubah nasib golongan Hobbit selamanya.

Jika trilogi LOTR bergerak dalam nada yang sesuai untuk mengisi setiap peristiwa, The Hobbit dirasakan seperti meleweh, meletakkan banyak babak yang tidak penting tetapi perlu demi elemen dramatik dan untuk menjadikannya 'epik'. Jackson harus patuh dengan durasi lebih dua setengah jam yang diberi.

The Hobbit sepatutnya mampu berdiri sendiri sebagai sebuah filem baru tetapi penonton tidak dapat menolak untuk membandingkannya dengan filem pertama LOTR: The Fellowship of the Ring. Ini kerana struktur penceritaannya dibina seakan-akan sama, iaitu seorang insan kerdil yang biasa terpilih menjadi wira.

Menyentuh tentang struktur, Jackson juga membuat keputusan dengan meletakkan karakter-karakter penting daripada LOTR dalam beberapa babak.

Jika diikutkan, penampilan mereka belum lagi membawa signifikan yang besar untuk filem pertama ini. Dia seakan sengaja memunculkan Frodo (Elijah Wood), Saruman (Christopher Lee) dan Galadriel (Cate Blanchett) sebagai 'bonus' untuk peminat setia sedangkan dari aspek naratif, ia tidak membantu penceritaan.

Seperti James Cameron yang menghasilkan keupayaan baru dalam Avatar (2010), Jackson juga mahu mencipta keajaiban menerusi teknologi terkini. Dia menggunakan teknik High Frame Rate (HFR) dengan setiap saat menggunakan 48 bingkai imej pegun berbanding teknik filem biasa iaitu 24 bingkai sesaat.

Tidak dinafikan, visual tiga dimensi yang terhasil dari teknik itu sangat terang, tajam dan menakjubkan - ibarat menyaksikan orang-orang sebenar di depan mata, berbanding menonton filem. Begitupun, saya mengesyaki kerana Jackson taksub dengan ketelitian visual, penceritaan The Hobbit jadi sedikit tersasar.

Filem ini bermula dengan memperkenalkan setiap ahli 'rombongan', mereka bergurau dan menyanyi, sebelum perjalanan mereka diuji. Ini mengingatkan saya kepada rentak perjalanan sebuah lagi filem arahan Jackson, King Kong (2005) yang momentumnya berjalan pantas hanya selepas hampir sejam.

Babak kejar-mengejar di terowong Goblin mengingatkan saya kepada pelarian golongan Hobbit di lombong Moria dalam filem kedua LOTR, The Two Towers. Aksi-aksi dalam filem ini seumpama versi sambungan kepada filem terdahulu tetapi dilebih-lebihkan kerana ingin memanipulasi teknik baru 48 bingkai sesaat.

Tidak seperti LOTR: The Fellowship of the Ring yang agak beremosi, penonton tidak dapat merasai apa-apa hubungan dengan watak-watak yang dipersembahkan. Benar, beberapa adegan berjaya menggeletek hati penonton kerana kelucuannya tetapi perasaannya sekadar itu.

Namun saya menyukai babak-babak yang melibatkan Gollum terutamanya ketika dia dan Bilbo bermain teka-teki demi muslihat masing-masing. Serkis sekali lagi membuktikan dialah 'raja motion capture' selepas menggunakan teknik sama sebagai Caesar dalam Rise of the Planet of the Apes (2011).

Freeman juga menyerlah dan disenangi sebagai Bilbo, meletakkan persembahannya setara dengan hero dari trilogi LOTR iaitu Frodo. Cuma solekan Gandalf dirasakan agak 'malas' kerana dia nampak lebih tua dari LOTR, sedangkan The Hobbit adalah tempoh masa yang berlaku sebelumnya.

Keseluruhannya, The Hobbit tidaklah teruk. Ia masih mampu menghiburkan menerusi imej-imej memukau, ditambah dengan persembahan lakonan yang baik. Sayang sedikit kerana kelebihan itu dirosakkan oleh komposisi yang tidak kemas dan keupayaan Jackson sebagai pencerita yang hebat seakan hilang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:01
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.