saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/01/2013

Penderitaan yang diraikan

JIKA anda bukan peminat muzikal (bukan Hindustan, tetapi cerita yang lebih banyak menyanyi dari bercakap), barangkali anda patut mengabaikan saja Les Miserables. Peringatan ini diberikan kerana ia berdurasi hampir tiga jam dan anda mungkin berasa bosan jika tidak pernah mengetahui apa-apa mengenainya.

Les Miserables merupakan naskhah adaptasi dari novel tulisan Victor Hugo (1862) yang bermaksud The Miserable Ones atau Mereka Yang Menderita. Ia dipentaskan pertama kali di Paris pada 1980 sebelum ke West End pada 1985 dan Broadway pada 1987, serta ke layar perak pada 1998 lakonan Liam Neeson.

Ia adalah karya legenda yang sudah dipentaskan di merata dunia - dengan jalan cerita yang sudah diketahui para pengikutnya, serta lagu-lagunya yang sudah dirakamkan beratus kali hasil ciptaan Alain Boublil dan Claud-Michel Schonberg.

Justeru, Tom Hooper menggalas tugas yang amat berat untuk memberikan sakti terhadap interpretasi yang baru, apatah lagi selepas namanya dijulang sebagai Pengarah Terbaik Oscar menerusi The King's Speech (2010). Di tangannya, Les Miserables menjadi sebuah lagi produk epik Hollywood yang bercita-cita besar.

Secara ringkas, karya ini mengikuti perjalanan hidup Jean Valjean (lakonan Hugh Jackman), seorang bekas banduan yang dipenjarakan selama 19 tahun atas kesalahan mencuri sebuku roti.

Dia cuba memulakan hidup baru dengan menukar nama, lebih-lebih lagi dia masih diburu pegawai parol, Javert (Russell Crowe), inspektor yang bertanggungjawab memenjarakannya.

Ingin menebus dosa silam, Valjean yang ketika itu menjadi Datuk Bandar di Mountreuil, membuat janji kepada seorang wanita teraniaya yang terpaksa menjadi pelacur bernama Fantine (Anne Hathaway). Valjean berikrar untuk menjaga anaknya, Cosette sebelum bermulanya era revolusi di Perancis.

Kisah diteruskan sehingga Cosette dewasa (Amanda Seyfried) dan jatuh cinta kepada Marius Pontmercy (Eddie Redmayne), seorang pejuang bersama rakan-rakannya yang digelar The Friends of The ABC. Tidak menghairankan filem ini menjangkau durasi yang panjang kerana banyak yang hendak diceritakan.

Di sebalik set, props dan kostum yang kelihatan spektakular (hasil rekaan produksinya sangat cemerlang), saya terbaca di Internet terhadap kritikan beberapa pemerhati yang kurang menyukai gaya pengarahan Hooper, terutamanya dari aspek sinematografi kendalian jurukamera Danny Cohen.

Sebagai penonton biasa yang tidak begitu arif tentang teknikal, saya menganggap tangkapan imej yang dilakukan itu relevan dengan tema cerita - gambaran suasana yang sengasara, kelam, suram, tidak terjangka dan sedikit huru-hara.

Beberapa shot mungkin membuatkan penonton rasa gelisah kerana tidak stabil tetapi barangkali ia disengajakan. Hooper dan Cohen harus mencari jalan yang paling efektif, bukan saja untuk menyampaikan cerita tetapi merakamkan emosi barisan pelakon yang mencuba sehabis baik menyanyi secara langsung.

Salah satu kelebihan filem berbanding pementasan ialah penonton dapat melihat dengan jelas segala reaksi dan bahasa tubuh pelakon, dan ini yang dipergunakan sepenuhnya oleh Hooper.

Beberapa babak nyanyian solo dirakamkan dengan shot close-up, contoh paling ketara semasa Hathaway menyanyikan I Dreamed A Dream. Dengan satu lagu ini saja sudah cukup melayakkan dia menerima trofi Oscar. Adegan yang membabitkan Hathaway tidak banyak, tetapi cukup meninggalkan impak.

Kerana Hooper mahu bintangnya menyanyi secara langsung semasa penggambaran (tidak seperti kebanyakan filem muzikal lain yang merakam vokal terlebih dulu di studio), Les Miserables mempunyai pasukan suntingan bunyi yang sangat hebat.

Kehalusan dan kejelasan setiap dendangan diadun dengan baik, sebati dengan skor orkestra yang dimasukkan kemudian semasa pos-produksi, juga dengan bunyi sekeliling. Jika tidak menang Oscar pun, ini satu lagi inovasi dan pencapaian kreatif dari Hooper yang boleh dibanggakan.

Rakaman nyanyian secara langsung memberikan pelakon lebih kebebasan untuk mengekspresikan diri, menghasilkan bunyi yang lebih 'mentah' dan asli. Dalam beberapa babak, mungkin suara pelakon utama tenggelam oleh nyanyian suara latar yang ramai, tetapi secara keseluruhan, ia tidak mencacatkan apa-apa.

Sebagai Valjean, Jackman menumpahkan segala keringat dan keupayaannya. Dia merupakan pilihan yang tepat untuk menggalas peranan ikonik itu. Dia bukanlah penyanyi terhebat, tetapi di skrin Les Miserables, dia menjadi Valjean dengan sempurna, terutamanya semasa membawakan lagu tema What Have I Done.

Sayang sekali bagi Crowe sebagai Javert. Dia berusaha keras agar nyanyiannya tidak sumbang, menjadikan lakonannya tidak fokus, kaku dan membosankan. Begitu juga dengan Seyfried sebagai Cosette dewasa, di mana peranannya dilihat hanya satu dimensi. Ya, dia boleh menyanyi dengan baik tetapi sekadar itu saja.

Les Miserables pastinya mendapat banyak pencalonan Oscar, antara yang diramalkan untuk lakon layar adaptasi dan pengarahan selain kategori teknikal. Namun, saya hanya berani bertaruh untuk Hathaway membawa pulang trofi emas itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.