saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 18/02/2013

Hilang kawan serumah

Omar Suwita merupakan seniman serba boleh.

PEMERGIAN pelakon Omar Suwita ke rahmatullah memberi impak besar, lebih-lebih lagi kepada pelawak Datuk Aziz Satar. Ini kerana, hubungan mereka bukan sekadar rakan artis tetapi sebagai saudara sendiri, kerana mereka pernah tinggal serumah.

Menurut Aziz atau mesra dengan panggilan Pak Aziz, perkenalannya dengan Omar bermula sebelum mereka mencipta nama di Jalan Ampas lagi.

Katanya, mereka sama-sama menjejakkan kaki di Jalan Ampas, Singapura pada 15 September 1952 dan banyak kenangan manis serta suka duka yang dilalui bersama.

Tambah Pak Aziz, ketika hayatnya, Omar sering membawa watak antagonis dan ramai yang beranggapan bahawa di luar layar kaca pun dia berperwatakan sebegitu kerana lakonan yang hebat itu.

Namun baginya, Omar merupakan salah seorang kawan yang cukup baik dan mempunyai perwatakan yang serius dan tidak banyak bercakap.

"Omar memang serius orangnya. Kalau masa bergurau sahaja baru dapat tengok dia tidak serius. Bagi saya, selain merupakan kawan yang baik, dalam masa yang sama dia juga sangat menjaga hati kawan-kawannya.

"Selain itu, dia merupakan seorang pemuzik yang baik, suaranya juga sedap," katanya sambil mengakui cukup terasa dengan kehilangan sahabat baiknya itu.

Omar Suwita atau nama sebenarnya, Omar Saleh memulakan langkah melalui filem berjudul Ribut dan diikuti dengan Hati Iblis. Tidak lama kemudian, pada 1953, Omar kali pertama memegang watak utama melalui filem Siapa Salah.

Selain itu, membuktikan kehebatan seni suara seperti apa yang dikatakan oleh Aziz Satar, Omar dalam masa yang sama sempat merakamkan lagu lagu Suka Sama Suka bersama Datin Rafeah Buang.

"Bakatnya dalam seni memang terserlah. Selain menyanyi bersama Rafeah, dia juga sebenarnya sangat berbakat dalam memetik gitar.

"Salah seorang anak muridnya ialah komposer terkenal, Kassim Masdor. Kassim mula-mula belajar main gitar dengan arwah sebenarnya," jelas Aziz lagi.

Selain itu menurut Pak Aziz, ketika arwah duduk serumah dengannya, pernah satu ketika dia membeli almari dan dikongsi bersama.

"Omar orangnya memang pembersih. Dia sangat cerewet mengenai hal-hal berkaitan kebersihan penampilannya.

"Dia akan pastikan pakaiannya tidak berkedut. Pernah satu ketika, saya beli almari dan kami kongsi sama-sama.

"Lama-kelamaan almari tersebut dipenuhi dengan pakaiannya sebab saya selalu gantung baju di luar almari.

"Apa-apa pun, saya memang terasa sangat apabila ramai kawan-kawan lama yang sudah pergi ketika ini," kata pelakon Bujang Lapok ini sambil memberitahu sikap sebenar arwah banyak ditonjolkan di dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Allahyarham yang berasal dari Melaka meninggal dunia kerana sakit tua di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura pada 11 Februari lalu dan meninggalkan seorang balu serta tujuh anak. Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi, Jurong menjadi tempat persemadian terakhir Allahyarham. Al-Fatihah!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.