saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/03/2013

Konsert Gegar 5 Legenda

PUKAUAN lima legenda (dari kiri) Ali, Aris Ariwatan, Rahmad, Zamani dan Saleem menghangatkan Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula Jumaat hingga Ahad (malam ini).

DARI Laman Santai ke Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur. Siapa menyangka awalnya cuma satu angan-angan kini menjadi kenyataan.

Berpeluang mengadakan persembahan di Panggung Sari merupakan impian setiap artis tanah air. Apatah lagi, bagi penyanyi yang telah lama mencurah keringat dalam dunia hiburan.

Kalau boleh, sekali seumur hidup berpeluang menjejakkan kaki di lantai Panggung Sari dan menyajikan persembahan bertaraf lima bintang kepada peminat cukup untuk membuatkan artis kita tersenyum dalam keharuan.

Ini yang dirasai oleh lima legenda rock negara, Saleem, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Zamani Slam dan Ali Terra Rossa.

Sebelum ini, mereka cuma berpeluang mengadakan persembahan di Laman Santai, lokasi bersebelahan IB yang ternyata tidaklah gah sebagaimana Panggung Sari yang merupakan antara panggung berprestij.

Meski begitu, setiap kali mereka dipanggil untuk beraksi di Laman Santai, tidak sekali pun mereka gagal untuk memancing kehadiran peminat.

Paling menarik walau tanpa bayaran yang tinggi, Saleem, Aris, Rahmad, Zamani dan Ali tidak pernah merungut malah tetap memberikan persembahan yang bermutu buat penonton.

Hal ini 'dibocorkan' sendiri oleh Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang ternyata mengagumi semangat lima penyanyi rock ini.

Rentetan itu, IB memberi peluang keemasan buat kelima-lima mereka untuk tampil mengadakan persembahan di dalam dewan berbanding cuma di luar IB seperti sebelum ini.

Maka bergemalah seisi Panggung Sari dengan irama rock balada bermula malam Jumaat lalu menerusi lantunan suara bertenaga daripada lima legenda rock ini pada Konsert Gegar 5 Legenda.

Bagai mengimbau nostalgia era 90-an, Saleem, Aris, Rahmad, Zamani dan Ali berjaya memukau peminat rock tegar yang hadir sepanjang konsert berlangsung.

Memori seleksi hitsSepanjang dua jam persembahan berlangsung, purata keseluruhan lagu yang dinyanyikan oleh kelima-lima mereka dalam satu malam adalah sebanyak 35 buah lagu.

Dibahagikan kepada dua segmen, satu jaminan yang diberikan oleh pihak IB - penonton tidak akan pulang dengan hampa.

Bertenaga dan penuh imbauan nostalgia, itu yang menjadi taruhan lima legenda rock ini menerusi persembahan masing-masing.

Paling menarik, seleksi lagu untuk hiburan penonton sepanjang konsert juga mendapat pujian ramai memandangkan hampir semuanya adalah yang dimahukan oleh mereka selangkah kaki mula memasuki panggung.

Segmen pertama menampilkan Rahmad Mega dengan sajian medley Mega Cinta, Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara, Suara Cinta dan Nina Karina.

Kemudian pentas diambil alih Zamani Slam yang berkesempatan mendendangkan medley Buat Seorang Kekasih, Kembali Merindu dan Jika Kau Rasa Getarnya.

Tidak terhenti di situ, Ali Terra Rossa pula tampil ke pentas menghiburkan penonton menerusi tiga buah lagu popularnya yang berjudul Teman, Semangat Yang Hilang dan Sakinah.

Nyanyian medley kemudiannya diteruskan oleh Aris yang membuai jiwa peminat menerusi lagu Pertama dan Selamanya, Nyanyian Rebah, Korban Cinta dan Di Kala Asmara.

Usia Aris, seisi panggung bersorak apabila Saleem muncul mengisi kekosongan lantai pentas dengan seleksi lagu hitsnya yang dinyanyikan secara medley.

Antaranya termasuk Satu Kesan Abadi, Hakikat Sebuah Cinta, Gerhana Cinta Luka dan Blues Terengganu Kita.

Segmen kedua tentunya semakin hangat. Kali ini dimulakan dengan persembahan istimewa oleh Aris yang kelihatan kemas dalam persalinan sut berwarna ungu.

Selain lagu 1234, Permaidani dan Ngajat vs Tango, Aris juga tidak ketinggalan menyampaikan lagu 'berhantunya', Lamunan Terhenti buat seisi panggung.

Sempat berceloteh kata Aris, lagu itu ditujukan khas buat Saari Amri, komposer lagu tersebut.

Penonton juga dilihat terpaku kagum dengan vokal rock Ali Terra Rossa yang ternyata tidak sedikit pun 'tergelincir'.

Menyampaikan medley Kasihku, Gering, Kehendakku dan Bunga Angkasa, Ali mudah memancing penonton untuk turut menyanyi bersamanya.

Segmen kedua juga menyaksikan Rahmad lebih relaks dan santai selain dilihat galak mengusik peminat dengan jenaka bersahaja ketika di atas pentas.

Menyanyikan lagu Pasti serta Takdir dan Waktu, Rahmad membuai rasa penonton yang masih setia menyanyi bersamanya.

Lagu Bayangan Gurauan menjadi lagu terakhir didendangkan oleh Rahmad dan seperti dijangka menjadi lagu yang dinanti-nantikan oleh peminat yang memenuhi kerusi panggung pada malam itu.

Persembahan Zamani juga menyegat dan wajar dipuji. Membawakan lagu hits Nur Kasih, Syair Si Pari-Pari dan Gerimis Mengundang, Zamani di sebalik tubuhnya yang semakin 'melidi' membuktikan kepada semua bahawa dia masih mampu menyanyi dengan baik walau kerap jatuh sakit kebelakangan ini.

Sebagai penyeri terakhir pada malam konsert, Saleem juga tidak mahu kalah dengan sajian persembahan mantapnya.

Muncul dengan gimik tersendiri, Saleem nampaknya tidak mahu penonton pulang dalam kempunan.

Maka disebabkan itu, dia mengatur strategi dengan halwa telinga menusuk memori menerusi lagu Benarkah Kerana Cinta, Seribu Kali Sayang, Trilogi Cinta dan Suci Dalam Debu khas buat peminatnya.

Sebelum konsert berakhir, lima legenda rock ini tampil dengan lagu Musibah dan Kamelia, nyanyian asal kumpulan Sweet Charity sebagai buah tangan terakhir buat peminat yang hadir.

Secara keseluruhan, konsert ini dianggap berjaya kerana berupaya menyatukan Aris, Saleem, Zamani, Ali dan Rahmad dalam satu perkongsian pentas berprestij.

Paling dipuji, faktor usia ternyata tidak menghalang mereka untuk menampilkan persembahan bertenaga.

Malah tidak keterlaluan jika vokal mereka dianggap sama seperti apa yang didengar di dalam album. Tiada cacat cela kerana yang ada cuma rock yang sempurna.

Peluang yang sama dapat anda rasai jika anda bergegas membeli tiket sekarang kerana malam ini merupakan malam terakhir kelima-lima mereka membuat persembahan di IB.

Jika anda peminat rock sejati, jangan lepaskan peluang ini. Bila lagi nak layan rock jiwang bukan?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.