saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/04/2013

Mula berlakon umur 14 tahun

Bersama rakan baik. Dari kiri, Latifah Omar, Momo Latif (tengah) dan Datin Saadiah (kanan) dalam suatu majlis makan malam di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.

LATIFAH Omar antara pelakon filem Melayu yang menceburi dunia lakonan pada usia yang muda iaitu ketika berusia 14 tahun. Dia antara generasi pelakon awal yang diambil bekerja di Malay Films Studio Production, Jalan Ampas, Singapura pada awal tahun 1950-an.

Pelakon yang kini berusia 74 tahun itu tidak menduga akan memulakan kerjayanya sebagai pelakon filem pada usia yang masih mentah. Malah, Latifah atau nama sebenarnya Fatimah Omar turut terkejut apabila dipilih sebagai pelakon di studio tersebut.

Menurut Latifah, pada mulanya dia cuma sekadar mahu melihat bagaimana penggambaran sesebuah filem dijalankan. Tetapi pelakon berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini tidak menyangka apabila berjaya menarik perhatian seorang pengarah filem di situ.

“Ketika itu saya berusia 14 tahun. Saya sengaja datang ke studio itu untuk melihat bagaimana pelakon menjalani penggambaran dan cara-cara mereka berlakon. Secara kebetulan seorang pengarah bernama S. Ramanathan telah ternampak saya di situ.

“Dia kemudiannya telah menawarkan saya berlakon bersama P. Ramlee (Allahyarham Tan Sri) yang ketika itu sedang menjalani penggambaran filem bertajuk Panggilan Pulau pada tahun 1953. Ketika itu saya cuma ditawarkan watak sampingan sahaja.

“Sejak itu, saya mula serius sebagai pelakon dan telah bekerja di Jalan Ampas selama beberapa tahun sebelum bekerja di studio-studio perfileman lain seperti Shaw Brothers dan Cathay Keris selepas itu," katanya kepada Hits semasa ditemui pada suatu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelakon yang berhijrah ke Singapura pada 1949 sewaktu berumur 10 tahun itu hadir pada majlis perjumpaan ramah mesra anjuran pengarah veteran Tan Sri L. Krishnan bersama beberapa orang pelakon lain di sebuah kelab eksklusif yang terletak di ibu negara.

Biarpun memulakan kerjaya sebagai pelakon pada usia yang masih hijau tetapi Latifah yang dilahirkan pada 26 Mac 1939 tidak lama dalam bidang lakonan yang mana filem terakhir lakonannya berjudul Putus Sudah Kasih Sayang bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada 1972.

“Saya cuma sempat berlakon selama 19 tahun sahaja kerana selepas berlakon filem Putus Sudah Kasih Sayang saya tidak berlakon lagi sampai sekarang. Ketika itu saya berumur 33 tahun. Saya kemudiannya banyak menghabiskan masa bersama keluarga saya.

“Selepas hampir 41 tahun tidak berlakon filem saya tidak berasa terkilan atau rindu kerana saya puas dengan pembabitan saya sebagai pelakon selama ini. Setakat ini saya telah berlakon lebih 30 buah filem dengan beberapa syarikat produksi sewaktu di Singapura," ujarnya.

Penghayatan

Sewaktu zaman kegemilangan Latifah sebagai pelakon di Singapura pada era tahun 1950-an, dia merupakan salah seorang primadona filem Melayu yang sering diberikan peluang melakonkan watak utama bersama ramai pelakon popular termasuklah P. Ramlee ketika itu.

Pelakon yang mempunyai empat orang anak dan sembilan cucu ini selalu diberi watak yang memerlukannya menitiskan air mata. Dia melakonkan watak seperti itu dengan berkesan biarpun penghayatannya sederhana sahaja termasuklah melalui watak-watak lain.

“Saya ini seorang yang sederhana termasuklah semasa berlakon. Saya tidak mahu kelihatan melampau-lampau sangat dalam menghayati sesuatu watak yang diberikan kepada saya. Sampai sekarang saya sendiri pun tidak tahu kenapa saya jadi macam itu.

“Sebab itu kalau orang tengok watak-watak lakonan saya sama ada ia menggambarkan adegan suka atau duka saya lakonkannya secara sederhana sahaja. Mungkin itu karakter dan gaya lakonan saya memang macam itu. Saya cuba jadi sederhana dalam semua segi," jelasnya.

Meskipun lebih empat dekad meninggalkan dunia lakonan tetapi dia masih berhubung dengan pelakon-pelakon seangkatan dengannya seperti Datuk Maria Menado, Mariani dan Datin Umi Kalthum sehinggalah ke hari ini. Hubungan mereka tetap utuh sama seperti dulu.

Bukan setakat berhubung melalui telefon, mereka juga ada kalanya bertemu di luar rumah bagi bertanyakan khabar tentang diri masing-masing. Secara tidak langsung ia akan mengubat rasa rindu selain sesekali mengimbau nostalgia zaman mereka muda-muda dulu.

“Biasanya kalau kami berjumpa kami akan duduk di satu tempat untuk makan bersama-sama sambil bersembang. Itu adalah salah satu aktiviti saya untuk mengisi masa lapang. Apatah lagi dalam keadaan kesihatan saya yang kurang mengizinkan ini tidak banyak perkara boleh dilakukan.

“Ketika ini, saya menghidap pelbagai jenis penyakit antaranya sakit tulang, kencing manis dan ulser. Selain itu, saya lebih banyak berehat di rumah saya di Ampang, Selangor. Cuma sesekali dapat berjumpa dengan kawan-kawan di luar rumah terubat juga rasa rindu.

“Sedikit sebanyak saya dapat juga mengetahui tentang perkembangan kawan-kawan saya seperti Mariani dan Aziz Sattar yang masih berlakon sehingga ke hari ini. Inilah pun kawan-kawan saya yang masih ada kerana ramai di antara mereka yang telah meninggal dunia," ujarnya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.