saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 14/04/2013

27 tahun penuh gemilang

WINGS bersama Ian Antono (dua dari kiri) dan Hillary Ang (tiga dari kanan) akan menjadi pemuzik undangan untuk konsert kali ini.

BAHANG pilihan raya kali ini cukup dirasai. Di sebalik teka-teki tentang tarikh pilihan raya, Wings boleh tersenyum lebar apabila tarikh persembahan konsert mereka tidak bertembung dengan hari pengundian.

Cakap-cakap kosong sebelum ini kuat mengatakan yang salah satu tarikh persembahan mereka akan ‘bertembung’ dengan hari mengundi namun pengumuman yang dibuat pagi Rabu lalu bagai melepaskan lelah pada keempat-empat ahli Wings.

Ironinya konsert Wings Rockestra 2013 yang dijadualkan berlangsung pada 26, 27, 28 dan 30 April ini tetap akan diteruskan seperti biasa. Tidak ada penundaan mahupun penggantian tarikh seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Paling menarik sudah pasti banyak kelainan yang mahu dilakukan oleh Wings dan seperti yang dijanjikan sebelum ini, tidak ada lagu yang sama diulang demi memberi kesegaran dalam konsert yang dinanti oleh ‘sayap-sayap’ mereka.

Bagi Awie, Joe, Eddie dan Black sudah pasti berharap dapat memberikan yang terbaik setelah hampir 30 tahun menabur bakti sebagai penghibur peminat mereka.

Tidak terhitung budi yang ditabur oleh mereka sejak album pertama Wings dilancarkan pada tahun 1987. Rentetan itu Wings terus terbang tinggi menghiburkan peminat sehingga hari ini.

Paling membanggakan sudah pasti melihatkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) akan mengiringi persembahan mereka dalam memberi kelainan. Tambah manis apabila dua gitaris terkenal akan berpadu tenaga mengiringi konsert kali ini.

Nama Ian Antono (gitaris God Bless) dan Hillary Ang mungkin tidak perlu diperkenal lagi. Kehebatan kedua-dua ikon rock ini cukup dikagumi ramai sementelah ramai yang memang ternanti-nantikan sentuhan mereka.

Pasang surut

TIDAK dinafikan persembahan Wings merupakan persembahan paling dinanti-nanti untuk tahun 2013. Usah bercakap soal kehebatan mereka tetapi yang lebih penting apa yang akan diberikan kepada peminat sempena ulang tahun ke-27 kewujudan Wings yang perlu diutamakan.

Selaku vokalis Wings, Awie tidak menafikan perasaan teruja itu datang kembali saat mereka sekali lagi mahu beraksi di pentas yang cukup berprestij itu.

Tidak mahu mendabik dada dengan apa yang mereka miliki jelas Awie, pengalaman sebagai sebuah kumpulan rock benar-benar membantu mereka untuk bertahan selama ini.

“Tidak dinafikan pasang surut Wings memang sudah bermula saat nama kami mula naik kira-kira 20 tahun yang lalu. Saat itu muzik rock kerap kali dijadikan sasaran oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyaksikan insiden rambut kami dipotong secara langsung di televisyen.

“Ini semua pengalaman. Apa lagi yang orang tak kata pada kami. Kalau nak cakap soal makan hati, mungkin kami pemuzik rock dah tak ada hati. Cuma Wings beruntung sebab mampu bertahan selama ini.

“Walaupun krisis kumpulan Wings pernah menyaksikan anggota keluar masuk, itu bukan bermakna kami jatuh. Sebaliknya saya sendiri secara peribadinya berbangga sebab Wings mampu bertahan selama ini.

“Kami pernah dikecam, pernah mengharungi zaman kegemilangan dan kejatuhan rock. Pengalaman seperti ini mungkin tak pernah dirasai oleh orang lain yang tidak berada pada masa itu.

“Orang kata muzik rock dah tak in sekarang. Tapi saya melihat muzik rock sendiri makin berkembang. Mungkin tidak semeriah dulu tapi kesannya tetap ada pada industri kita," ujar Awie ketika ditemui semasa menjalani latihan bersama Wings baru-baru ini.

Sanjungan

PERJALANAN yang mereka lalui sebenarnya sudah jauh. Di sebalik perjalanan itu, tersimpan pahit manis yang tidak diketahui umum yang disimpan sendirian.

Menjelaskan perkara tersebut, Awie tidak menafikan muzik rock pernah dituduh dengan pelbagai perkara negatif yang sedikit sebanyak mengguris hati mereka selama ini.

“Dulu kami pernah melalui fasa yang gemilang. Konsert hampir setiap minggu sehingga menaikkan nama-nama kumpulan rock lain yang memang tengah hangat ketika itu.

“Bila orang mula tuding jadi pada rockers dan kata kami bawa masalah sosial itu memang pedih. Bila syarikat rokok tak boleh taja konsert artis tempatan, muzik rock terus layu.

“Bukan itu sahaja, rockers tak boleh masuk TV dan tak boleh buat persembahan lagi. Wings tak pernah putus asa untuk kempen yang kami tak seperti yang didakwa.

“Paling teruk bila menyaksikan kebangkitan penyanyi solo. Peminat mula beralih arah dan kurang memberi tumpuan kepada irama rock sampai orang anggap zaman kejatuhan," kata Awie mengingatkan cerita lalu.

Biarpun diuji dengan seribu satu cerita yang sudah tinggal sejarah, peristiwa tersebut tidak mungkin dapat mereka lupakan.

Namun apa yang paling mereka banggakan apabila peminat masih lagi menyanjung Wings sehingga menjadi salah satu kumpulan rock terkemuka tanah air.

“Kami setia sebagai pemuzik. Ini cara kami cari makan dan semua ahli bersatu mempertahankan Wings. Mungkin kumpulan lain anggap main muzik sebagai hobi sebab itu ada yang kecundang tengah jalan," tambah Awie.

Nafas baru

MENGULAS lanjut mengenai persembahan mereka nanti, Awie tidak menafikan dia bersama anggota kumpulan yang lain sedang sibuk berlatih memandangkan kebanyakan lagu digubah semula oleh Joe.

Lagu-lagu mereka akan disesuai dan dimainkan oleh OSK yang dianggotai lebih 40 ahli sepanjang empat hari persembahan mereka. Lebih manis apabila seleksi lagu-lagu yang akan mereka persembahkan yang jarang dimainkan tetapi popular.

“Kita telah berbincang sejak awal lagi untuk memberi kelainan. Tak kan nak ulang lagu yang sama ketika kami buat persembahan di IB dua tahun lepas. Jadi kita beri kelainan kali ini.

“Peminat tak perlu risau andai kata lagu-lagu tersebut jarang mereka dengar. Kalau mereka peminat kami sudah pasti mereka tahu lagu-lagu Wings sejak album pertama dulu," jelas Awie yang mewakili rakan-rakan yang lain.

Untuk peminat yang ingin menyaksikan konsert Wings Rockestra 2013, tiket-tiket masih dibuka untuk jualan. Mereka mendapatkan potongan harga 20 peratus untuk membeli tiket yang berharga RM199 hingga RM499 sehingga 25 April ini.

Potongan harga ini diberi oleh penganjur Anggerik Event kerana penglibatan beberapa syarikat korporat yang sudi menaja konsert kali ini. Bagi yang sudah mendapatkan tiket boleh menebus kembali dengan menuntut sehelai t-shirt eksklusif.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.