saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 26/04/2013

Razif Hashim tidak laku

PERCAYA masih ada ruang untuk dirinya lebih dikenali pada masa depan.

SIAPA Razif Hashim? Maaf saya tidak kenal. Persoalan dan jawapan itu pasti akan diungkapkan oleh banyak individu apabila ditanya mengenai pelakon dan pengacara kacak, Razif Hashim.

Tidak terkenal dan jarang ditampilkan di dalam sesebuah filem atau drama popular, memang memberi kesukaran untuknya menonjol sama seperti pelakon popular yang lain.

Hendak dikatakan tiada bakat berlakon, dia memilikinya. Razif sebenarnya pernah muncul dalam sebuah siri, Jeff‘s Place dan paling hebat digandingkan bersama pelakon popular, Lisa Surihani.

Apabila ditanya mengenai bakat lakonannya yang tidak ‘diiktiraf’ oleh produksi tempatan, Razif lantas menjawab dengan nada yang sayu bahawa dia sangat sedih kerana tidak diterima walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Lakonan dari East 15 Acting School, London.

“Tawaran lakonan memang sukar untuk saya perolehi walaupun pelbagai uji bakat drama ataupun filem yang saya hadiri selepas pulang daripada menyambung pelajaran pada 2010.

“Barangkali saya tidak cukup bagus sebagai pelakon oleh sebab itu saya tidak diberi peluang untuk memegang watak dalam filem atau drama walaupun mempunyai ijazah sarjana dalam bidang lakonan.

“Hati saya memang kecewa tetapi apakan daya rezeki saya bukan terletak di situ. Tidak diterima bukan bererti saya sudah berputus asa dan patah semangat dalam bidang lakonan. Lakonan itu memang saya minat sejak dulu lagi," akuinya.

Razif atau nama sebenarnya Mohamad Razif Hashim Natt, 30, memberitahu dua projek terakhir yang melibatkan dirinya adalah menerusi drama bersiri Aku, Dia dan Tong Sampah terbitan Playground Production dan filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Tanda Putera.

Di sebalik wajah tampan dan pelajaran yang tinggi itu, sememangnya tersimpan pelbagai kisah dan duka yang perlu dilaluinya.

Tetapi dia sebenarnya tidak perlu bimbang dan tertekan walaupun kerjaya lakonan agak terbantut kerana dalam bidang pengacaraan, rezekinya semakin murah.

“Saya tetap bersyukur walaupun tidak diterima berlakon. Dalam bidang pengacaraan saya masih diterima lagi. Mungkin rezeki saya di sini. Cinta saya memang pada lakonan tapi rezeki lebih pada sebagai pengacaraan.

“Malah pelbagai tawaran telah saya terima. Namun, saya perlu bijak mengambil setiap peluang itu," katanya yang kini akan melakukan penggambaran bagi musim ketiga sebuah rancangan travelog makanan, Best In The World pada bulan Jun ini.

Walaupun bidang pengacaraan bukanlah minat utamanya namun dia semakin keseronokan semakin terasa setelah bergelar seorang pengacara.

Tambahan pula, bidang pengacaraan telah membuka mindanya tentang pelbagai perkara yang tidak pernah disedarinya sebelum ini.

“Selain itu, ia juga telah mendewasakan diri saya dari pelbagai aspek untuk menjadi lebih baik," jelasnya.

Buka sebuah restoran

MENONTON aksinya dalam Best In The World yang cukup teruja menjamah tanpa henti semua makanan yang terhidang di atas meja sehingga ada yang melabelkan dia sebagai ‘pelahap’, Razif berkata, dia tidak risau dengan dakwaan orang itu kerana apa yang dia lakukan itu ada sebabnya.

“Saya tak kisah orang nak cakap saya gelojoh ke atau apa. Saya memang suka makan. Dan saya datang dari keluarga yang suka makan," katanya dalam hilai ketawa.

Meskipun begitu, ada juga memuji gelagatnya yang dilihat berkesan dan benar-benar merangsang penonton untuk turut berasa keenakan makanan yang dinikmati.

Atau paling tidak, sekurang-kurangnya Razif berjaya membuat penonton terliur di kala dia menikmati hidangan.

“Sebenarnya saya boleh jer makan dengan tertib. Tapi dalam rancangan tu, saya sangat enjoy dengan apa yang saya makan. Lagipun saya tidak memilih makan," kata bekas pengacara 8TV Quickie.

Itulah pengalaman Razif setelah mengacarakan program berkaitan makanan. Namun demikian, Razif yang memang seorang periang ini menyimpan cita-cita tinggi.

Kata Razif, pengalaman banyak mengajarnya supaya tidak berputus asa dan perlu meneruskan segala apa yang dilakukan.

“Selain sibuk dengan kerjaya seni, saya juga mengurus sebuah restoran yang telah dibuka oleh keluarga saya.

“Itu semua saya lakukan setelah mengalami pelbagai perkara menarik sepanjang mengacara rancangan makanan. Walaupun dengan makanan, saya mendapat pelbagai ilham dan percaya makanan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara kaum yang pelbagai di Malaysia," jelasnya.

Di samping mengacara dan menjalankan perniagaan makan, Razif juga sedang membangunkan modul Performance Intelligent untuk latihan korporat yang sudah dibuka sejak enam bulan lalu.

“Dalam era teknologi dan pembangunan kini, saya mengambil kesempatan itu untuk terus mengejar cita-cita membina sebuah ‘gim kreatif’ pertama di Malaysia.

“Apa yang saya maksudkan ini adalah secara kebiasaannya anda ke gim untuk membentuk tubuh badan agar menjadi sasa tetapi dengan kami anda bakal mempelajari dan menguji tahap kreativiti dan kemahiran komunikasi. Bersenam sambil belajar," katanya.

Melalui pembelajaran ini, pelbagai teknik lakonan akan dipelajari, kata Razif.

“Lakonan adalah sebuah proses yang dapat membantu seseorang untuk memperbaiki penceritaan dan cara penyampaian maklumat.

“Oleh itu, kami komited untuk mengajar dan mendidik golongan anak muda mengenai lakonan dan persembahan agar mereka (anak muda) dapat mempertahankan seni di dalam negara kita," jelasnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.