saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/05/2013

Serasi lakonkan watak polis

GAMBAR terbaru Zack semasa diambil pada majlis pelancaran filem Patriot yang akan menjalani penggambarannya pada Jun ini.

ZACK bukanlah orang baru dalam bidang tarian, nyanyian dan lakonan. Sebabnya dia telah membabitkan diri dalam bidang-bidang seni itu sejak hampir 20 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, di antara tiga dunia seni yang diceburinya itu para peminatlah yang akan menentukan bidang mana yang paling meninggalkan kesan di hati mereka.

Menurut Zack atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad, setakat ini para peminat lebih mengenalinya sebagai pelakon berbanding dalam bidang nyanyian mahupun tarian.

Jelas anak seni berusia 47 tahun ini, kemunculannya di kaca televisyen (TV) dengan melakonkan watak-watak anggota polis banyak meninggalkan kesan di hati para peminat.

"Saya menyertai kumpulan Kool pada tahun 1990-an dan sempat merakamkan beberapa buah album dengan mereka. Selepas itu barulah saya terbabit dalam bidang lakonan.

"Kebanyakan drama lakonan saya berkisar tentang dunia kepolisan. Pengarah Yusof Kelana misalnya telah memberi peluang saya berlakon dalam drama arahannya pada 2007.

"Dalam drama bertajuk Akademi Polis sebanyak 26 episod itu saya melakonkan watak Deputi Supritendan Zaki yang ditayangkan di TV1 dari tahun 2007 hingga 2008.

"Mungkin kerana banyak muncul dalam drama itu maka nama saya cepat popular dan para penonton pula menerima cara saya melakonkan watak itu," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Bukan setakat itu sahaja, ekoran keberkesanan watak anggota polis yang dilakonkannya dalam drama bersiri Akademi Polis semakin ramai penerbit yang menaruh kepercayaan kepadanya.

Tambah Zack, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit Skop Productions turut menawarkan Zack melakonkan watak sebagai anggota polis dalam drama-drama bersiri terbitannya.

"Dalam drama bersiri Roda-Roda KL terbitan Skop Productions saya telah melakonkan watak sebagai seorang anggota polis trafik bernama Sarjan Manan. Watak itu lebih mencabar bagi saya.

"Ini kerana, watak itu memerlukan saya menunggang motosikal polis yang berkuasa besar. Malah, Roda-Roda KL juga disiarkan selama lima musim di TV1," ujarnya.

Terbaru, pelakon yang berbadan tegap dan tinggi lampai itu sekali lagi telah ditawarkan untuk melakonkan watak sebagai anggota polis dalam filem Patriot arahan Rodzee Razak.

Dalam filem terbitan Koperasi Usahawan Multimedia Selangor Berhad itu, dia bakal melakonkan watak Deputi Supritendan Hisham dan akan menjalani penggambaran Jun ini.

Tidak mahu menari, menyanyi

Sambutan para peminat terhadap Zack menerusi watak-watak anggota polis yang dilakonkannya sejak kebelakangan ini bukan bermakna dia mengetepikan bidang nyanyian.

Sebaliknya, faktor usia dan kesesuaian statusnya yang merupakan bapa kepada tujuh orang anak ini menyebabkan dia kini lebih memfokuskan kerjayanya dalam bidang lakonan.

"Saya rasa pada usia sekarang ini macam kurang sesuai pula kalau saya menjadi penyanyi dan menari lagu-lagu dan tarian-tarian yang rancak di atas pentas-pentas persembahan.

"Paling ketara selepas saya balik dari mengerjakan umrah pada 2011. Malah, pada Mac lepas saya sekali lagi pergi umrah yang mana selepas itu saya mula membataskan kerjaya seni.

"Sebab itulah, saya tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada kumpulan Kool pada April lepas setelah bersama-sama menyanyi dengan mereka sejak tahun 1990-an lagi," jelasnya.

Namun, anak bongsu daripada tiga beradik ini tidak menafikan Kool merupakan kumpulan yang banyak memberinya peluang sekali gus mencipta nama dalam dunia hiburan tanah air.

Antaranya dia tidak dapat melupakan banyak kenangan manis terutamanya dalam persembahan-persembahan pentas yang mereka adakan mendapat sambutan para penonton.

"Ketika itu, pada era 1990-an memang jarang ada kumpulan seperti Kool yang bukan sahaja boleh menyanyi tetapi menari dengan baik. Malah, sampai sekarang pun jarang jumpa macam Kool.

"Setiap kali persembahan yang kami adakan ia pasti akan mendapat sambutan para peminat, malah lagu-lagu rancak Kool seperti bertajuk Bebas masih popular hingga kini," katanya.

Pada masa sama, anak jati Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini tidak terkilan meskipun tidak aktif lagi dalam bidang nyanyian dan tarian yang cukup diminatinya itu.

Sebaliknya, suami kepada Norziyani Mohd. Jilani, 35, ini tetap bersyukur kerana bidang lakonan yang merupakan kerjaya keduanya itu banyak memberi sumber pendapatan kepadanya.

"Saya kerja makan gaji macam orang lain yang mana bidang lakonan adalah kerjaya kedua saya. Saya akan terus berlakon dan tidak mahu tertumpu pada watak polis sahaja," ujarnya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zohor 1:15
Asar 4:38
Maghrib 7:11
Isyak 8:26



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.