saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/05/2013

Minat, rupa, gaya serupa

MAD NOOR HENDRIX

SEKALI pandang memang ramai peminat muzik blues dan rock yang mungkin tidak percaya dengan penampilan Md. Noor Md. Zain ini. Mana tidaknya raut wajah, imej dan gayanya saling tidak tumpah seperti gitaris legenda dari Amerika Syarikat, Jimi Hendrix.

Sedangkan hakikatnya Jimi telah meninggal dunia pada 18 September 1970 pada usia 28 tahun. Bukan setakat muka, malah cara Md. Noor bermain gitar juga memang jelas terikut-ikut dengan gitaris keturunan kulit hitam itu yang masih dikenang sehingga kini.

Justeru, tidak hairanlah kerana persamaan yang banyak dengan Jimi menyebabkan Md. Noor dikenali dengan nama Mad Noor Hendrix di kalangan teman-teman pemuzik yang seangkatan dengannya serta para peminat dalam persada muzik tanah air.

Menurut gitaris kumpulan rock veteran dari Singapura, Rusty Blade itu, gelaran atau nama tersebut diberikan kepadanya bukan baru, tetapi sejak penghujung tahun 1980-an dan terus melekat dan serasi hingga kini dalam kerjayanya sebagai pemuzik sepenuh masa.

"Sebenarnya nama Mad Noor Hendrix itu diberikan oleh komposer Wah Idris (sekarang Datuk) pada awal tahun 1990-an semasa beliau menganjurkan Konsert Bergerak Benson & Hedges di seluruh negara. Ketika itu, saya bermain gitar bersama Rusty Blade.

"Wah kata, muka saya sebiji macam Jimi Hendrix dan sejak saat itu gelaran itu terus kekal pada saya. Pada konsert yang disertai ramai pemuzik dari Amerika Syarikat, Singapura dan Malaysia itu saya dapat merasakan itu adalah detik awal popularnya nama Mad Noor Hendrix," katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertemuan dengan Hits semasa majlis pelancaran album kompilasi Rock Tsunami yang turut disertai oleh Mad Noor di Taman Melawati, Kuala Lumpur itu dia berkata, mendiang merupakan gitaris yang banyak memberi inspirasi kepadanya sejak zaman remaja.

Malah, gitaris berasal dari Tampines, Singapura itu menambah, dia turut terpengaruh dengan gaya petikan gitar Jimi sebelum dikenali sebagai pemuzik bersama Rusty Blade yang merupakan antara kumpulan rock terkemuka di Kota Singa itu pada era tahun-tahun 1980-an.

"Saya perasan juga muka saya ada sikit-sikit iras Jimi Hendrix, tetapi saya tidak mahulah mendakwa macam itu sehinggalah ramai orang bercakap perkara yang sama.

"Paling ketara selepas saya serius bermain muzik dan banyak kali muncul di atas pentas dan persamaan itu tidak boleh dinafikan.

"Malah, kalau aya pergi ke mana-mana, bagi yang mengenali dan mengagumi Jimi Hendrix mereka pasti akan menoleh dua kali ke arah saya. Tetapi lama kelamaan saya sudah biasa dan semakin ramai yang mengetahui siapa saya sebenarnya," ujarnya.

Imej unik

Jelas Mad Noor, dia meminati Jimi bukan kerana mempunyai banyak persamaan imej dan fizikal gitaris itu, sebaliknya amat meminati gaya petikan dan identitinya yang cukup asli serta tidak dimiliki oleh mana-mana juga gitaris yang sezaman dengannya ketika itu.

Namun, gitaris berusia 48 tahun ini tetap sedar bahawa Jimi Hendrix hanyalah seorang yang pernah mewarnai persada muzik rock 'n roll dunia dari dulu sampai sekarang.

GAYA persembahan Mad Noor Hendrix (memakai topi) semasa muncul bersama kumpulan Rusty Blade di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Sehingga kini kata Mad Noor, belum ada gitaris yang muncul dengan identiti asli dan tersendiri seperti mendiang.

"Gitaris memang ramai dalam dunia sekarang ini. Cuma masalahnya tidak ramai yang tampil dengan idea dan identiti sendiri.

"Sedangkan Jimi telah tampil dengan keunikan stail petikan gitar dan bunyi yang dihasilkannya itu sehingga mempengaruhi gitaris lain seperti saya," tuturnya.

Mad Noor juga bangga disamakan dengan Jimi kerana dengan nama itulah dia mengembangkan bakat sebagai pemain gitar dan mencari makan dalam bidang itu sehingga kini.

Malah, kerana keyakinan itulah dia memberanikan diri berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur sehingga mendapat taraf kerakyatan Malaysia setelah berpuluh tahun berulang-alik serta menetap di negara ini.

"Saya bukan sahaja mencari makan di Malaysia tetapi juga bertemu jodoh dengan orang sini. Isteri saya (Royce Saayan) pula merupakan seorang penyanyi. Secara tidak langsung ada persamaan antara saya dan isteri saya kerana kami sama-sama cari makan dalam bidang muzik," jelasnya.

Terbaru Mad Noor akan muncul bersama Rusty Blade dalam Konsert Thunder In The East yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini. Pada konsert itu tiga lagi kumpulan yang akan terbabit ialah Search dan Loudness dari Jepun serta Slank (Indonesia).

Dia begitu teruja memandangkan itu adalah konsert terbesar yang akan dijayakannya di atas pentas berskala besar bersama Rusty Blade apatah lagi ia turut membariskan gergasi rock Asia seperti Loudness yang buat kali kedua mengadakan konsert di negara ini.

"Saya rasa bukan para peminat Rusty Blade sahaja yang akan teruja untuk menyaksikan konsert itu kerana kami jarang mengadakan persembahan berskala besar. Malah, saya juga tidak sabar untuk beraksi pada konsert itu.

"Apatah lagi, kebanyakan anggota Rusty Blade merupakan warganegara Singapura dan mereka tinggal di sana. Sebab itu, Konsert Thunder In The East harus ditonton oleh para peminat rock kerana ia konsert yang membariskan kumpulan rock dari empat negara iaitu Jepun, Malaysia, Singapura dan Indonesia," katanya.

Sementara itu, gitaris berbadan kurus dan tinggi lampai ini tidak menumpukan kerjayanya dalam Rusty Blade sahaja.

Sebaliknya Mad Noor juga banyak mencurahkan bakatnya dengan bermain di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur sebagai pemuzik undangan.

"Sebenarnya saya bermain gitar dalam beberapa buah kumpulan lain seperti Frontiers dan Nifael Blues Band. Kami membawakan pelbagai rentak lagu terutamanya dalam genre rock dan blues.

"Ini kerana, dua muzik ini memang serasi dengan jiwa saya sejak dari dulu sampai sekarang. Pada masa sama, saya juga menjadi pemuzik undangan dalam mana-mana persembahan artis-artis lain yang memerlukan khidmat saya," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.