saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/07/2013

Kian terisi

Syukur album dakwahnya diterima dengan baik oleh peminat.

DARI kehidupan lalu untuk menemui kehidupannya kini, setahun lamanya dia mengumpul serpihan diri yang pernah hilang. Bukan sekadar mahu memenuhi dirinya yang pernah kosong, baginya tempoh setahun itu bagaikan masa untuk memahami kembali apa yang pernah ditinggalkan jauh.

Mengakui penghijrahan itu sebagai langkah yang mahu disebatikan sehingga pengakhiran hidup, menurut Wan Syahman Wan Yunus atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Iwan Dangdut, dia kini menemui kehidupan yang dicari.

Tidak lepas memberikan pelbagai perumpamaan agar temu bual ini berjalan dengan lebih santai, menurut penyanyi yang hari ini mahu dikenali sebagai Iwan Syahman, jika penghijrahan beberapa artis sebelum ini dikaitkan dengan peringatan yang diberikan Allah, sama juga dirnya.

Menurutnya kisah peringatan dari Allah itu tidak dapat dikongsikan. Bagaimanapun antara kesan kekhilafan dirinya dapat dilihat melalui kehidupan keluarga terdahulu yang dianggapnya tidak pernah aman.

"Memang benar, saya dapat kehidupan saya kini melalui peringatan daripada Allah. Saya pernah tersentak. Itulah titik permulaan perjalanan saya kini. Selama setahun lamanya saya mencari diri.

"Bagaimanapun biarlah saya simpan kisah itu untuk diri saya sahaja. Namun apa yang boleh saya katakan saya sangat bersyukur untuk diberikan peringatan tersebut sebagai tanda Allah masih sayangkan saya," katanya.

Sehingga kini lagu duetnya bersama Amelina, Memori Daun Pisang terus-terusan dikaitkan dengannya atau menjadi identiti sebagai salah seorang penyanyi dangdut suatu ketika dahulu.

Bagi Iwan segala yang berlaku sewaktu dirinya masih hanyut tidak mahu dibanggakan. Malah baginya cukup sekadar mengingati sebagai sempadan yang perlu dipatuhi.

"Saya pernah tersasar. Saya akui waktu itu serba-serbi berasa kurang. Sungguhpun wang yang saya ada lebih banyak dari sekarang, namun ia tidak pernah memberi ketenangan.

"Baru saya tahu erti ketenangan kini. Apa yang boleh saya katakan, jika terlalu mengejar dunia, lebih jauh akhirat meninggalkan kita," katanya.

Pernah senang dengan gelaran Raja Dangdut, namun kini menurut Iwan dia lebih rela hanya menjadi hamba Allah.

Menurutnya, tanggungjawab itu baru disedarinya dan cukup berat untuk dipikul.

"Bercakap soal lalu, hati saya seakan sebak. Sedih apabila mengenangkan waktu yang saya bazirkan untuk mendekatkan diri dengan perkara sia-sia.

"Bagaimanapun saya tidak mahu bercerita soal ini dengan teliti. Bukan apa silap kata ia mungkin jatuh kepada riak yang pada saya itu adalah suatu perbuatan yang kurang baik," katanya.

Menurut Iwan, kali pertama dia menjalankan aktiviti dakwah rumah ke rumah ada suatu perasaan yang sehingga kini dia tidak dapat lupakan.

"Bila kita datang ke rumah, bukan semua akan menyambutnya dengan gembira.

"Melihat sendiri kehidupan lalu saya di hadapan mata, ia bagaikan sesuatu yang akan terus membuatkan diri saya tersentak," katanya lembut.

Aktiviti Ramadan

Bercerita aktiviti sepanjang Ramadan menurut Iwan sepanjang bulan ini dia agak sibuk dengan aktiviti dakwah.

Bagaimanapun mempunyai kelebihan di dalam bidang nyanyian memberi peluang buatnya menjalankan tugas itu dengan lebih mudah.

"Aktivitinya masih sama, saya akan dijemput memberi tazkirah di seluruh negara.

"Bagaimanapun dalam menarik perhatian pendengar, saya akan selitkan dengan lagu-lagu dakwah milik saya," katanya.

Setelah berjaya dengan album dakwah pertama yang berjudul Segalanya Allah menurut Iwan, buat masa ini dia belum diberikan kesempatan untuk menerbitkan album dakwah terbaru.

Bagaimanapun melihat penerimaan peminat, dia tidak menolak untuk terus menghasilkan album dakwah pada masa hadapan.

"Sebenarnya kalau kita lihat masyarakat kita kini memang senang dengan lagu-lagu begini. Selain pengisian ilmu agama secara tidak langsung lagu-lagu sebegini boleh menjadi medium dakwah yang berkesan.

"Buat masa ini aktiviti seni saya masih berjalan seperti biasa. Malah jualan album saya juga sangat memberansangkan.

"Ini membuatkan saya percaya lagu-lagu sebegini sebenarnya memang mempunyai tempat di hati peminat," katanya.

Jika sesetengah dari kita mengatakan industri nasyid di negara ini sudah sampai ke penghujung, Iwan bagaimanapun mempunyai pandangan yang berbeza.

Menurutnya, sebagai penyanyi dia tahu lagu-lagu ketuhanan mempunyai tempat tersendiri di hati pendengar.

"Siapa kata begitu, saya langsung tidak nampak pengunduran lagu-lagu ini dari terus menjadi pilihan pendengar kita.

"Mungkin peluang agak kurang untuk genre ini. Namun saya tidak nafikan pendengar kita sebenarnya lebih dahagakan lagu-lagu berkonsep ketuhanan," katanya.

Tidak menolak sentiasa menerima sokongan dari rakan-rakan terdekat menurut Iwan, ketika dia membuat keputusan berhijrah dia sangat bersyukur kerana perkara itu berlaku dalam keadaan yang mudah.

"Dari segi penerimaan rakan-rakan saya langsung tidak terkesan, malah saya masih dilayan seperti biasa.

"Sehingga kini rakan-rakan yang pernah berjuang dalam bidang yang sama suatu ketika dahulu kekal dengan kepercayaan mereka terhadap saya," katanya.

Penguat diri

Menyentuh soal keluarga, menurut Iwan melalui tiga perkahwinan, dia sememangnya sungguh bahagia untuk mengetahui anak-anaknya kini berada dalam keadaan yang selamat dan bahagia.

Akuinya, nikmat kehidupan ini tidak pernah cukup seandainya dambaan itu berasaskan dunia sahaja.

"Saya sudah pun mempunyai seorang cucu, saya akui sedikit masa lalu saya agak tersasar. Namun untuk melihat kehidupan anak-anak saya kini, saya hanya akan terus berdoa untuk mereka," katanya.

Tidak menolak kehidupannya kini semakin baik, menurut Iwan, di samping keluar berdakwah dia juga memastikan kebajikan isterinya Evie Surriantyy dan anaknya Wan Nur Sumayyah, 4, terjaga.

Malah ketika artikel ini dikeluarkan Iwan sebenarnya baru sahaja menambah ahli keluarga baru.

"Saya memilih untuk tinggal di Kuala Selangor di sebuah sekolah pondok di sana. Saya akui cara kehidupan di sana lebih tenang dan sesuai untuk saya dan keluarga.

"Bercakap soal nikmat kehidupan, saya sangat bersyukur untuk bertemu dengan isteri saya kini yang sememangnya seorang yang memahami.

"Sebenarnya kami berdua baru sahaja menerima cahaya mata baru bagaimanapun buat masa ini saya belum memberi nama buatnya," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.