saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 10/10/2013

Dua tahun menyanyi lagu Korea

AKSI Dior sewaktu mengadakan persembahan pada acara anjuran sebuah produk ginseng yang telah melantiknya sebagai duta di Seoul, Korea pada bulan lalu.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, irama K-Pop telah menerjah ke dalam industri muzik tanah air. Buktinya, ramai penyanyi dari Korea Selatan seperti Psy dan Rain yang telah berjaya mencuri perhatian para peminat muzik di sini.

Namun, pada masa sama terdapat juga penyanyi dari Malaysia yang cuba menerokai pasaran muzik di negara Winter Sonata itu. Dior misalnya, merupakan penyanyi Melayu yang telah mula berjaya menarik perhatian para peminat lagu-lagu pop di sana.

Menurut Dior atau nama sebenarnya Mohd. Shahril Shaari, telah cuba memasuki pasaran muzik di Korea sejak 2011. Dia antaranya telah merakamkan lagu-lagu dalam bahasa Korea bagi merealisasikan impiannya itu.

"Dalam album single keempat saya yang bertajuk Chan Chan Chan, saya telah menyanyikan sebuah lagu Korea bertajuk Baby I Need You. Album yang mengandungi tiga buah lagu ciptaan saya sendiri itu sudahpun berada di pasaran tempatan baru-baru ini.

"Sementara itu, saya akan memasarkan lagu Korea dalam album single itu ke Korea pada Februari tahun depan. MK (Malaysia Korea) Studio, adalah syarikat yang akan memasarkan album itu ke sana nanti.

"Setakat ini, belum ada mana-mana penyanyi dari Malaysia yang merakamkan lagu dalam bahasa Korea dan mengedarkan album mereka di sana," katanya penuh ceria kepada Hits pada suatu pertemuan singkat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas penyanyi berusia 30 tahun ini, dia yakin untuk memasarkan album itu berdasarkan kunjungannya ke Korea sebanyak tiga kali sejak 2011. Katanya, para peminat memberi sambutan yang baik pada persembahannya di sana.

Apatah lagi, tambah Dior dia memang meminati irama K-Pop dan lagu-lagu Korea sejak dari dulu lagi. Justeru jelasnya, peluang mencipta nama sebagai penyanyi di Korea menambahkan lagi semangat serta minatnya itu.

"Bukannya senang mencipta nama sebagai penyanyi di Korea. Saya dapat peluang ini selepas dilantik menjadi duta produk ginseng dari Korea yang diberi nama Geumhong pada 2011. Saya kenal beberapa orang Korea di Kuala Lumpur.

"Merekalah yang telah memperkenalkan saya dan selepas itu berminat melantik saya sebagai duta produk ginseng tersebut. Daripada situlah saya mula dijemput ke Korea untuk mengadakan persembahan di sana," ujarnya mengimbas kenangan lepas.

Dior antaranya menjadi satu-satunya penyanyi dari Malaysia yang dijemput pada acara Asia Model Festival Awards di Seoul pada Januari 2011. Pada majlis itu, Dior diperkenalkan sebagai penyanyi baru dari luar Korea yang berpotensi besar.

Pada September tahun yang sama dia sekali lagi dijemput mengadakan persembahan menerusi acara Geum Sam International Ginseng Festival di Seoul. Ketika kunjungan itu sambutan para peminat lebih hebat berbanding sebelumnya menyebabkan dia terkejut.

"Geum Sam adalah sebuah bandar yang jauhnya kira-kira tiga jam menaiki kereta dari Seoul. Pada kunjungan kedua itu saya menyanyikan dua buah lagu. Satu dalam bahasa Korea bertajuk Mujogun dan Baby I Need You pula dalam bahasa Melayu.

"Pada September yang lepas saya sekali lagi dijemput mengadakan persembahan di sana. Saya dijemput menyanyi di acara itu kerana menjadi duta produk ginseng Geumhong sejak 2011 sampailah sekarang," jelasnya.

Belajar bahasa Korea

Disebabkan minat dengan lagu-lagu K-Pop dan impiannya untuk mencipta nama di Korea, Dior telah berusaha mendalami bahasa dari negara itu. Dior mula mempelajari bahasa Korea sejak tiga tahun lalu, malah dia masih belajar sehingga kini.

Menurut Dior kerana minat yang mendalam, dia mengambil kelas bahasa Korea pada 2010. Dalam masa tiga bulan sahaja, dia sedikit sebanyak telah boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Korea dengan baik.

"Selain itu, saya juga mempunyai ramai kawan baik di Kuala Lumpur yang berbangsa Korea seperti Chio. Dia (Chio) ketika itu masih belajar di sini di sebuah kolej dan dia juga banyak mengajar saya bercakap bahasa Korea.

"Sehingga kini pun saya masih mengikuti kelas bahasa Korea pada setiap Sabtu atau Ahad dari pukul 3 petang hingga 5 petang. Ini kerana, bahasa Korea agak sukar untuk dipelajari daripada segi gaya dan lenggok bahasanya.

"Saya dapati gaya bahasa orang muda dan orang tua Korea bercakap agak berbeza. Apatah lagi, saya menyanyikan rentak lagu trot yang diminati golongan dewasa. Tidak seperti K-Pop yang lebih cenderung untuk peminat remaja," katanya.

Sungguhpun sudah mempunyai laluan untuk mengembangkan bakat serta popularitinya di Korea tetapi Dior tidak mahu berpuas hati setakat itu sahaja. Sebaliknya, dia sedar persaingan dalam bidang itu kini semakin sengit.

Selain Dior terdapat ramai lagi penyanyi dari negara-negara lain seperti Thailand dan Filipina yang turut mencuba nasib menyanyikan lagu-lagu Korea. Secara tidak langsung katanya senario itu menambahkan lagi persaingan yang ada.

"Ramai penyanyi dari luar Korea yang juga cuba mencuba nasib dengan mempopularkan lagu-lagu Korea. Contohnya, kalau dari Thailand, Nichkun antara penyanyi yang cenderung ke arah itu. Untuk itu saya kena bekerja lebih keras.

"Bagi saya, publisiti dari media massa di sana amat penting. Mujurlah setakat ini media di sana banyak membantu saya. Saya antaranya pernah mendapat liputan dan publisiti dari saluran televisyen YTN di Seoul baru-baru ini.

"Pada masa sama media cetak seperti surat khabar dan majalah hiburan di sana juga banyak memberikan publisiti kepada saya. Untuk itu, saya akan terus berusaha untuk menempatkan nama saya sebagai penyanyi di sana," ujarnya lagi pada pertemuan pada petang itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.