saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 24/10/2013

Lagi cinta dua darjat

SALAH satu adegan yang dilakonkan oleh Azhan Rani (tengah), Johan Asa'ri dan Norish Ismail dalam filem ini.

ISU pertentangan dua darjat golongan kaya dan miskin merupakan subjek lumrah di layar perak. Isu itu relevan sejak dulu, kini dan selamanya. Sebab itu, Khir Rahman begitu yakin mengutarakannya menerusi filem arahannya, Balada Pencinta.

Filem yang dikhabarkan dalam genre romantik ini memacu percintaan tiga pasangan iaitu watak Amir yang dilakonkan Johan Asa'ri dan Aisyah (Siti Saleha). Selain itu, watak Majid (Azhan Rani) turut digambarkan bercinta dengan pasangannya, Wati (Norish Ismail).

Sementara watak Sufi (Iedil Putra) pula diceritakan sedang mabuk bercinta dengan Ayu (Miera Liyana). Dalam konteks pengisian plot, Khir mempunyai cukup cerita dalam membentangkan kisah-kisah itu kerana, setiap pasangan mempunyai ceriteranya yang tersendiri.

Sama ada pengarah Balada Pencinta ini menyedarinya ataupun tidak, tetapi hakikatnya dia bijak dalam mewarnai subjek 'pertentangan' yang dimaksudkan itu. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam filem ini, ada jalan-jalan cerita yang unik.

Misalnya, pertentangan dua darjat bukan sahaja mencakupi ruang lingkup membabitkan harta seperti watak Aisyah yang daripada golongan berada, berbanding Amir yang cuma bertaraf penyanyi tepi jalan sahaja. Tema itu turut melebar ke arah skop yang lebih luas.

Ini dapat dilihat daripada gambaran watak Sufi yang bisu tetapi mampu menjalin hubungan cinta dengan gadis yang sempurna seperti Ayu. Begitu juga dengan pertentangan watak Majid yang setia tetapi hampa apabila mengetahui kekasihnya berlaku curang selepas mengandungkan anak Jenal.

Pujian harus diberi kerana Khir ada idea yang menarik untuk dikembangkan dalam Balada Pencinta. Judul filem ini juga memang sesuai dengan jalan-jalan cerita yang cuba diungkapkan oleh pengarah yang cukup artistik ini.

Sayangnya, cara Khir menggarap serta mengembangkan plot terutama watak utamanya iaitu Amir dan Aisyah dalam warna-warni penceritaan yang kurang menyakinkan hati para penonton.

Contohnya, ramai penonton yang tersenyum melihat jambang Amir yang kelihatan seperti ditempel secara tangkap muat. Gambaran yang menjengkelkan itu walaupun kecil tetapi ia tetap mengecilkan keberkesanan lakonan Johan serta penghayatan para penonton.

Jelas terpampang 'lakonan plastik' watak seorang busker yang cuba dilakonkannya. Penghayatan watak lakonannya itu dikatakan masih belum sampai ke tahap yang berkesan.

Ramai penonton dapat mengesan antara suara Johan dan Khir. Apatah lagi, sewaktu watak Amir menyanyikan lapan lagu dalam filem ini, Johan hanya sekadar miming sahaja, sedangkan vokal di belakang watak Amir itu adalah Khir.

Johan sepatutnya diberi ruang untuk menyanyikan kesemua lagu yang melingkari di sebalik adegan-adegan filem ini. Watak Amir harus menjadi dirinya sendiri dengan bayangan karakter serta vokal yang dilontarkannya bagi menghidupkan watak seorang busker.

Pemilihan lagu dalam filem ini juga seakan-akan menggambarkan cita rasa pengarah filem ini yang ke arah era tahun 1980-an dan 1990-an. Cuma terdapat dua lagu baru berjudul Terima Kasih Aisyah dan Nanti hasil ciptaan serta nyanyian Khir yang dibikin khusus untuk filem ini.

Enam lagi lagu kebanyakannya adalah lagu lama berjudul Ratuku yang pernah dipopularkan oleh Awie, Apokalips (Datuk M. Nasir), Jika Kau Bercinta Lagi (Alleycats), Anak Kampung (Jimmy Palikat), Tak Bisa Memilihmu (Sixth Sense) dan Penakut (Yuna).

Pemilihan sebahagian lagu-lagu itu pula dilihat kurang sesuai kerana realitinya lebih 50 penonton yang berkunjung ke pawagam terdiri daripada golongan muda. Mereka tidak membesar dalam era lagu-lagu cinta tahun 1980-an dan 1990-an yang dipaparkan itu.

Filem ini 'ditutup' dengan ringkas menerusi watak lakonan Faizal Hussein. Watak antagonis, Boy yang dilakonkan Sein Ruffedge begitu mudah dimatikan di hujung senjata bagi memberi laluan happy ending untuk filem ini.

Sedangkan banyak watak serta jalan cerita dalam filem ini yang boleh dikembangkan lagi. Ia bagi memberi impak, keyakinan serta kelangsungan watak-watak serta jalan ceritanya agar berakhir dan terjawab dengan aman di benak fikiran para penonton. Siapa tahu ada sekuel daripada filem ini nanti.

Ia juga bagi merungkai lebih banyak persoalan yang mungkin masih belum terjawab dalam filem separuh romantik dan separuh aksi ini. Bak kata seorang rakan wartawan yang duduk di sebelah saya sempat berbisik sewaktu kami hadir pada pratonton filem itu, baru-baru ini.

Ujarnya: "Selepas ini bolehlah dibuat pula sekuel filem ini dengan tajuk Jenal The Return. Ini kerana, watak Jenal lakonan Ngasrizal Ngasri yang dihempuk dengan topi keledar oleh Majid kerana membuntingkan Wati hilang begitu sahaja."

Apa pun Balada Pencinta bukanlah sebuah naskhah romantik dan aksi yang cincai untuk dihayati. Sebaliknya, banyak cetusan idea baru rentetan daripada beberapa watak seperti Jenal yang boleh diperpanjangkan lagi dalam filem lain pada masa akan datang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.