saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/12/2013

Tasawuf, dakwah dalam Jual Ubat

khalid salleh

DALAM riuh rendah pelakon dan pengarah teater lain untuk menempatkan diri di Istana Budaya yang mempunyai pentas bertaraf antarabangsa, aktivis teater Khalid Salleh yang memilih mempersembahkan teater monolog di pentas kecil dan penontonnya sedikit.

Ketika pentas di Istana Budaya "berkilau" dengan bintang-bintang "teater" yang entah dari mana datangnya, Khalid secara diam-diam telah menjelajah seluruh negara dan ke Indonesia mementaskan teater monolog Jual Ubat.

Baru-baru ini Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mementaskan Jual Ubat di Rumah Pena. Selepas itu Khalid ke Batam (Indonesia) dan akan ke Medan serta Jakarta sedikit masa lagi.

Khalid dengan teater adalah kisah yang panjang. Dia diberi kepercayaan oleh tokoh teater Krishen Jit berlakon dalam teater Bukan Bunuh Diri karya Dinsman tahun 1970-an ketika dia menjadi penjual ubat di kaki lima Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Gelanggang jual ubat itulah Khalid mengasah bakat teater dan pernah berceloteh enam jam tanpa henti di kaki lima. Tentulah menggelikan hati bila artis yang dua tiga kali melintas depan kamera terus diberi tugas sebagai "pelakon teater".

Dalam teater monolog Jual Ubat, yang hendak dipertontonkan ialah pemain tunggalnya, Khalid. Tidak hairanlah pentasnya kosong dan prop hanya seketul batu pipih yang diletak di atas botol. Penonton yang sudah biasa dengan Istana Budaya mungkin tidak menerima teater ini.

Menerusi teater ini Khalid mengalih persepsi khalayak terhadap penjual ubat. Kebiasaan penjual ubat memancing pengunjung dengan beberapa ekor ular di dalam kotak, gambar pelbagai jenis penyakit atau lebih berani menayangkan gambar wanita separa bogel sebagai tarikan.

Tetapi penjual ubat dalam teater ini berbeza. Khalid memperihalkan penjual ubat yang sangat diakrabi dan difahami kehidupannya. Khalid adalah pemerhati yang menyaksikan kehidupan segolongan kecil manusia penjual ubat. Dan dalam tafakur dan taakulannya, dia merumuskan sesuatu tentang hidup; bermula dari asal kejadian sehingga ke akhirnya.

Dari sebuah kisah kecil yang diperhatikan, Khalid berbicara tentang tasawuf dan hakikat manusia. Kisah penjual ubat hanyalah medium menyampaikan pesan dan dakwah yang sarat termuat dalam ocehannya. Khalid memberi peranan yang besar kepada penjual ubat. Sekiranya penjual ubat yang sebenar menonton pementasan ini mereka akan sedar kalau ditambah nilai niatnya jual ubat akan menjadi pekerjaan yang sangat mulia.

Sebagai pencerita, Khalid mempertontonkan kepada khalayak bahawa penjual ubat yang sewajarnya mempunyai matlamat dan kesedaran sebagaimana Khalid; mencari hasil dan reda Allah.

Khalid memaparkan bahawa penjual ubat memerlukan kreativiti yang tidak sedikit. Penjual ubat kadangkala beraksi sebagai dramatis, pesilat, dukun, tukang tilik, tabib dan pelbagai watak untuk memukau penonton. Penjual ubat tidak mempromosi ubat-ubatannya, sebaliknya meraih tumpuan penonton supaya mengaguminya. Apabila penonton kagum, sudah tentu mereka berminat dengan apa sahaja yang disarankan oleh penjual ubat.

Justeru itulah, sering kita lihat pada pengakhiran persembahan, penjual ubat tidak perlu mempromosi ubatnya secara berlebihan, sebaliknya penonton berlumba menghulurkan wang sebagai penghargaan atas keletah yang menghiburkan. Mereka memberi honorarium kepada persembahan itu bukan kepada ubat yang dibeli.

Kebanyakan penjual ubat dilihat sebagai penghibur kepada warga marhaen yang inginkan katarsis dan sebuah dunia eskapis. Penjual ubat yang dikisahkan Khalid bukanlah sebagaimana penjual ubat dalam filem Do Re Mi yang mempromosikan ubatnya dengan cara bernyanyi dan bermain alat muzik. Pada waktu itu, manusia leka dengan hiburan. Penjual ubat meraih untung besar kerana pandai membaca khalayak, walaupun ubat itu bukan ubat sebenarnya.

Penjual ubat dan pemain politik

Pada sisi lain, penjual ubat adalah cerminan pemain politik yang penuh retorik melobi sebondong pengikut dengan pelbagai janji. Tidak kiralah janji itu adalah berdasarkan kepalsuan atau kebenaran, para politikus sanggup menukar watak dan berpidato seyakin mungkin untuk meraih pengaruh dan seterusnya undi. Jika diamati ramai pemimpin menggunakan teknik penjual ubat. Nilai jual ubat kepada si penjual ubat dan nilai pidato pemain politik mempunyai persamaan dari sudut pendekatan dan falsafah perniagaan masing-masing.

Dalam memperihalkan kehidupan penjual ubat, Khalid menyedarkan khalayak dan penjual ubat khususnya, bahawa kerja yang kadangkala dipandang remeh sebenarnya sangat murni dan penuh ibadat. Khalid berjaya mengalih persepsi awam yang mungkin menilai penjual ubat sebagai penipu, penuh pesona dan hanya menjaja kata-kata kepada sebuah pekerjaan yang sangat mendekatkan diri kepada Pencipta.

Taakulan yang dalam

Pemerhatian seputar anggota badan, hakikat kejadian manusia serta tanda kebesaran Allah yang dibentangkan sewaktu persembahan membawa minda penonton kepada taakulan yang dalam. Dan pemerhatian itu pula sekiranya digabungkan dengan bukti saintifik dan rasional serta logik, pasti menarik penonton untuk kembali memuji keindahan ciptaan Ilahi, seterusnya mengagumi kebesaran Penciptanya.

Beraksi dalam bingkai seni teater monolog, Khalid seakan-akan menyedarkan bahawa seni itu hidup dalam setiap aspek kehidupan, dan keajaiban-keajaiban adalah unsur seni dalam kehidupan. Khalid ingin membuktikan tugas penjual ubat itu bukan sekadar mencari habuan untuk diri, sebaliknya tugas yang lebih besar ialah membawa manusia kepada Tuhannya. Melalui teater monolog ini, terbukti Khalid berjaya sebagai pelakon dan pengarah yang mahir falsafah kenal ruang, kenal bahan, kenal diri, dan yang utamanya; kenal Tuhan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.