saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 12/01/2014

Inikah 'kejayaan' teater kita?

Beginilah yang disogokkan kepada penonton tempatan seolah-olah itulah teater.

TEATER adalah fenomena keberanian dan kejujuran manusia yang berakarkan sikap tahu dan sedar dalam meletakkan nilai baik dan buruk yang mendasari perjalanan kehidupan manusia secara umumnya. Nilai sayang dan kasih terhadap pola kebinatangan atau keiblisan yang merosak keperibadian manusia sejagat adalah latar mekanisme kenapa teater atau lakon yang juga disebut sandiwara, drama atau seumpamanya muncul dalam perenggan sejarah bangsa-bangsa di dunia.

Metafora atau perumpamaan kesejagatan manusia merentasi sempadan ada dan tiada, baik dan buruk, benar dan khurafat, tulus dan penipu serta pelbagai lagi nilai sakinah (damai, tenteram, aman) atau sembrono (biadab, kurang ajar) adalah padanan intipati kandungan sejarah seni lakon bermula dan berakar dalam peradaban manusia. Seterusnya intipati kedaulatan negara, nilai satria kepahlawanan merobohkan tipu helah durjana pengkhianat bangsa dan negara juga adalah antara misi atau peranan teater (seni lakon) diasaskan kewujudannya.

Persempadanan nilai sebagaimana disebutkan itu masih 'kebal' dalam period teater Malaysia yang memperagakan sikap dan tanggungjawab seni terhadap lingkungan manusia pada karyawan seperti Shaharom Hussin, Nordin Hassan, Usman Awang, Ismas Saring, Adly Azamin, Hashim Yassin dan beberapa nama lain pada dekad 1960–an. Serunai Malam (Usman Awang) dan Seruan Damai (Ismas Saring) merupakan naskhah 'wajib' dalam musim pertandingan Drama Dan Tarian anjuran Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan (KKBS) ketika itu. Pada sisi yang sama kegiatan drama/teater sangat merangsang di setiap negeri di seluruh negara termasuk di pusat pengajian tinggi (IPTA) seperti Maktab Perguruan Tanjung Malim (kini dikenali Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)), Universiti Malaya, Maktab Bahasa Lembah Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM)) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Lebih meriah lagi dengan adanya pembabitan kumpulan-kumpulan teater (NGO) di setiap negeri.

Jelasnya tidak kurang daripada tiga atau empat kumpulan teater dan tarian yang sangat produktif dan kreatif wujud di setiap negeri pada ketika itu. Masing-masing dengan keterampilan dan keperibadian yang tersendiri di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Saat berkampung ketika musim pertandingan peringkat kebangsaan (biasanya di Kuala Lumpur) merupakan hari kegemilangan dan kemeriahan seluruh warga teater, penari dan pemuzik bertemu dan bersilaturahim selain mengukur dan menyemak keunggulan serta keupayaan masing-masing.

Keakraban inilah yang merentas sempadan suku, kenegerian dan budaya. Kesemuanya menjadi sebuah keluarga besar yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pembangunan bangsa, agama dan negara yang disisipkan sebagai karya kreatif di pentas persembahan masing-masing.

Nilai sedemikian itu sangat berlainan dengan apa yang berlaku ketika ini. Walaupun telah berdiri sebuah panggung yang sering diuar-uarkan sebagai bertaraf antarabangsa, Istana Budaya pada peringkat awal pembinaannya disebut sebagai Panggung Negara adalah titipan perjuangan suara penggerak seni yang dipertaruhkan ketika Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 16 – 20 Ogos 1971. Kongres tersebut adalah lanjutan daripada Kongres Kebudayaan Melayu yang berlangsung di Melaka pada 30 Disember 1957 - 2 Januari 1958.

Pelan tindakan membangun Panggung Negara yang sekarang dikenali sebagai Istana Budaya seharusnya tidak meremehkan. Dalam hubungan ini Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) yang telah membangun rangkaian Taman Budayanya di setiap negeri kecuali Johor, Sabah dan Sarawak seharusnya menjadikan pencapaian era 1960-an hingga akhir 1980-an sebagai kayu ukur prestasi jabatan tersebut.

Agak aneh ketika JKKN belum wujud serta membawa nama 'negara' bersamanya, perkembangan seni persembahan (teater dan tari) sangat memberangsangkan dan membanggakan di setiap negeri bahkan daerah.

Berbanding ketika ini dengan pelbagai macam kecanggihan peralatan dan kemegahan ruang pejabat namun perkembangan seni pentas (teater dan tari) semakin merudum di samping peranan NGO bagaikan melukut di tepi gantang di sisi JKKN bahkan di sisi Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan.

Lebih parah teater tidak lagi berteraskan nilai estetika yang dibangunkan daripada elemen-elemen persiapan pemain yang harus kenal bahan, kenal ruang, kenal diri di samping kenal Tuhan. Teater ketika ini bagaikan permainan sulap yang boleh menukarkan seseorang menjadi Sang Kelembai, Si Pemakan Bangkai, Si Penghisap Darah, Si Penjenayah, Si Perampok, Si Lintah Darat dan apa sahaja dalam sekelip mata. Nilai teater adalah ruang dan peluang untuk mengukir nama 'bintang' di pentas sandiwara keperibadian manusia yang sudah tidak mempunyai modal insaniah atau paling tidak beramal untuk kebaikan sesama manusia.

Teater bukan lagi sebuah perjuangan ke arah manifestasi kebenaran, kejujuran, keindahan solidariti dan kesejagatan makna seni serta keindahan. Teater sudah menjadi bumbu mengindustrikan manusia menjadi sarang tebuan yang membusungkan sengat bisa dengan modal selebriti atau 'bintang' yang tidak diketahui apa dan di mana kebintangannya. Persempadanan makna bintang dan keterampilan atau kehalusan bermain di pentas lakon tidak ada bezanya dengan nilai penampilan di papan iklan yang mengembar-gemburkan peranannya di televisyen (TV) atau filem. Inilah fenomena yang menghasilkan dan membuahkan teater menjadi 'rumah mayat' kepada sebilangan aktivis teater di negara ini.

Istana Budaya dipenuhi kalangan segelintir manusia yang berjenama 'jom heboh'. Sejarah teater Malaysia, definisi teater, siapa dan apa dalam teater Malaysia tidak perlu ada dalam daftar kata Istana Budaya. Pentas adalah permainan dan permainan adalah seni sulap membohongi dan mengaburi pandangan dengan nilai kesangsian dan keserabutan akal fikir khalayak penontonnya. Inilah wajah atau fenomena teater di Malaysia ketika ini.

Peranan JKKN yang beroperasi hampir di setiap negeri melalui Taman Budayanya tidak mampu merealisasikan kebanggaan dan pencapaian yang pernah diledakkan ketika belum bernama JKKN dahulu. Apa yang tidak kena dan di mana silapnya? Siapa orang teater, siapa tokoh tari yang menonjol dalam kerja-kerja kreatifnya tidak pernah lahir pada era kini. Kenapa? Barangkali JKKN sendiri sudah cukup selesa dengan suasana dan keadaan sekeliling sehingga pegawai atasan atau kakitangan jabatan tersebut tidak perlu memikirkan apatah lagi berpenat lelah mencari formula bagaimana membudayakan dan mengimarahkan pentas di setiap Taman Budaya dengan pengisian teater atau karya tari yang bertali arus setiap bulan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.