saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/01/2014

Mencintai Her

BABAK antara Theodore dengan Catherine yang mudah berkomunikasi.

Berlatarkan masa depan yang tidak begitu jauh dari sekarang, Joaquin Phoenix membawakan watak seorang penulis yang bekerja di syarikat yang menawarkan khidmat menulis surat. Dia sedang dalam proses perceraian dengan isterinya, Catherine (lakonan Rooney Mara) kerana jalan hidup yang sudah tidak sehaluan.

Apabila Theodore membeli satu sistem operasi terbaharu untuk komputernya yang bernama Samantha (disuarakan Scarlett Johansson), dia menemui ketenangan dan jalinan persahabatan yang intim. Sama seperti manusia, Samantha juga mempunyai gerak hati dan emosi. Cuma dia tidak wujud secara fizikal.

Dalam dunia hari ini di mana manusia mampu bercakap dengan sistem operasi (misalnya Siri dari iOS Apple), pengarah dan penulis Spike Jonze menjentik pemikiran penonton dengan persoalan yang sangat relevan. Teknologi kian mengambil alih peranan manusia dalam segala hal, termasuk soal perhubungan.

Jonze adalah pengarah yang gemar menghasilkan naskhah-naskhah eksentrik, antaranya Being John Malkovich (1999) dan Where the Wild Things Are (2009). Her ialah sebuah filem romantik dan bukan sains fiksyen. Namun Jonez melihat cinta dari perspektif yang tidak konvensional, malah tidak mustahil berlaku.

Jonze memberikan perincian yang halus terhadap watak Theodore, seseorang yang berdepan dengan kehilangan. Kesunyian mendorong dia untuk jatuh cinta dengan ‘insan’ tanpa jisim. Seperti penonton, Theodore juga tidak dapat melihat Samantha tetapi mampu mendengarnya dan merasai kehadirannya.

Saya teringatkan filem Lars and the Real Girl (2007) lakonan Ryan Gosling. Dia jatuh cinta dengan patung bernama Bianca yang dibawanya ke mana-mana dan meminta agar masyarakat menerima kelakuannya itu. Lars dan Theodore adalah watak-watak lelaki yang dihimpit kesepian, cuma Theodore tidak seaneh Lars.

Biarpun Theodore tidak dapat menyentuh Samantha, dia tetap meneruskan perhubungan mereka. Bukan lagi sesuatu yang pelik apabila manusia lebih akrab dengan sistem komputer berbanding sesama manusia. Malah, Theodore tidak malu dengan rakan-rakannya untuk mengakui mempunyai ‘teman wanita’.

Samantha pula, sebagai sebuah sistem operasi pintar, tangkas mempelajari emosi manusia menerusi data-data yang dikumpul serta nada suara dan gerak tubuh yang boleh dilihatnya menerusi kamera. Proses komunikasi ini menjadikan penonton percaya dengan sebuah perhubungan cinta yang istimewa.

Begitupun, seperti mana-mana perhubungan, masalah pasti akan timbul. Dalam konteks ini, Theodore lambat untuk menyedari Samantha bukan miliknya secara eksklusif. Perbualan dan tindakan intim yang mereka lakukan, turut dilakukan oleh beribu-ribu pemilik sistem operasi yang sama.

Theodore terperangkap di antara perasaannya yang tulen dengan sebuah percintaan ilusi. Persoalan yang dibawakan Jonze ini sebenarnya bukan satu jenaka, malah ironi kebenaran pada dunia masa kini dan akan datang.

Misalnya, tempat kerja Theodore memberikan khidmat menulis surat kepada pelanggan, sama ada surat cinta, ucapan tahniah, mahupun surat perpisahan. Di manakah letaknya nilai peribadi surat-surat itu jika dikarang oleh orang lain?.

Jonez seakan mahu mengingatkan kita bahawa teknologi mampu membenarkan manusia untuk hilang naluri dan kemampuan berkomunikasi.

Seperti masalah Theodore dan Catherine. Theodore digambarkan masih menyayangi isterinya itu, tetapi terdapat satu dialog yang menggambarkan Theodore enggan mengambil cabaran untuk menyelesaikan masalah mereka.

Sebaliknya, Theodore selesa berpaling kepada Samantha yang lebih menerima, empati dan cuba membantunya kerana Samantha bersifat 'sempurna'. Kerana Samantha bukan manusia, dia sentiasa pantas dan cekap dalam membetulkan kesilapannya sehinggalah dia mampu berevolusi dan meninggalkan Theodore.

Penamat filem ini sangat menyedihkan, tetapi sebenarnya membawa pesanan positif yang amat kuat. Theodore lebih memahami perasaannya terhadap Catherine melalui surat yang ditulis. Dia juga masih mempunyai sahabat, Amy (Amy Adams) yang juga jirannya yang tidak pernah menghakimi siapa dirinya.

Phoenix berjaya mencapai satu tahap persembahan yang mengagumkan, berbicara seolah Samantha berada benar-benar di depan mata. Begitu juga dengan Johansson yang cemerlang hanya melalui nada suara dan lakonan Adams yang tidak perlu terlalu mencuba tetapi cukup berhasil.

Sudah tentu kekuatan lakonan tercipta dari lakon layar dan penceritaan yang efisien. Jonze tahu untuk menulis babak-babak serta dialog yang ringkas tetapi tajam, membuatkan hati penonton bercampur baur dengan kesedihan, kegembiraan, rasa bersalah dan keliru sepanjang dua jam.

Her bukan saja hebat dari aspek lakonan dan penulisan, tetapi sudut teknikalnya. Rekaan produksi seperti kostum, lokasi dan set dilihat minimal tetapi berfungsi serta mempunyai ciri-ciri futuristik yang tidak keterlaluan. Ia tidak membuatkan penonton terpinggir meskipun mengambil latar masa depan.

Penggunaan palet warna yang lembut seperti dalam mimpi, dikontraskan dengan warna-warna baju yang garang menjadikan hasil kerja jurukamera Hoyte Van Hoytema lebih menarik dan menangkap mata. Skor muzik dari Arcade Fire turut membantu penonton untuk menyelusuri turun naik emosi.

Saya mencintai segalanya tentang Her dan kini termasuk dalam senarai filem kegemaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.