saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 29/01/2014

AJL28 memuaskan

SELAIN menjuarai AJL28, Hafiz turut memenangi trofi kategori Persembahan Terbaik.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) berjaya diadakan dengan jayanya setelah memilih lagu Bahagiamu Deritaku sebagai juara baharu untuk edisi kali ini.

Mendengar komen-komen yang dimuat naik ke beberapa laman sosial, ternyata ramai berpuas hati dengan kemenangan yang diraih oleh pasangan komposer LY dan Baiduri, hasil nyanyian penyanyi versatil, Hafiz Suip itu.

Begitu juga dengan dua pemenang lain iaitu lagu Hanya Aku yang didendangkan oleh Hyper Act yang menduduki tempat kedua dan Kalau Aku Kaya, nyanyian secara duet Awi Rafael dan Altimet yang menduduki tempat ketiga.

Kedua-dua lagu itu juga tampak mempunyai kekuatan tersendiri untuk seluruh peminat muzik tempatan menerima kemenangan mereka sebagai antara tiga lagu terbaik sepanjang 2013.

Apatah lagi, persembahan yang dipamerkan oleh setiap pemenang mendapat sorakan gemuruh daripada audiens yang hadir memenuhi Stadium Putra Bukit Jalil sehingga mereka mampu mendapat tepukan berdiri atau Standing Ovation.

Mengulas mengenai perjalanan AJL28 pada Ahad lalu yang bertemakan ‘Game On’ atau Pertarungan Bermula, tirai persembahan dibuka dengan menampilkan otai rock, Mus May bergandingan dengan Shila Amzah membawakan lagu Mahakarya Cinta yang pernah dipopularkan oleh Faizal Tahir.

Berkonsepkan ala-ala ‘battle’, acara pembukaan tersebut kelihatan tidak begitu mengujakan bagi menggambarkan kematangan majlis anugerah yang sudah memasuki edisi ke-28 penganjurannya itu.

Mungkin dek kerana julat vokal kedua-dua penyanyi itu amat berbeza untuk membolehkan mereka berganding suara menyanyikan lagu tersebut atau disebabkan kegagalan Mus yang sesekali terlupa lirik ketika menjayakan persembahan berkenaan.

Membuka tirai pertandingan yang dimulakan oleh SalamMusik, persembahan kumpulan tersebut yang membawakan lagu Aku Pelat sedikit cacat apabila mikrofon yang digunakan Salam gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan suaranya kedengaran tenggelam timbul.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada SalamMusik kerana tidak menjadikan kejadian itu sebagai halangan untuk mempersembahkan persembahan bertenaga dengan bantuan kumpulan pemuzik yang memainkan saksofon.

Kemudian, penampilan solo Black Hanifah ketika membawakan lagu Takkan Terpisah amat mengujakan walaupun penyanyi itu hanya mempertaruhkan vokal mantapnya tanpa adanya penari latar atau gimik lain.

Giliran seterusnya diteruskan dengan lagu duet In Love With You nyanyian Aizat Amdan dan Noh Salleh yang menampilkan persembahan yang amat biasa walaupun mengetengahkan konsep ala-ala 60an.

Namun, atmosfera kembali dihangatkan apabila kumpulan yang pertama kali beraksi di pentas AJL, Hyper Act tampil memukau dengan persalinan serba putih membawakan lagu Hanya Aku yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

Ternyata penangan lagu tema drama Teduhan Kasih itu begitu mengasyikkan seluruh isi stadium apabila kedengaran audiens turut sama menyanyikan lagu itu secara beramai-ramai.

Pentas kemudian bertukar milik kepada Stacy yang sememangnya dinanti-nantikan oleh audiens lantaran persembahan bertenaganya yang diselang seli tarian bersama kumpulan penari yang terkenal dengan gerak tari yang memukau.

Bagaimanapun, entah di mana silapnya, persembahan lagu Bosan yang dipersembahkan Stacy mengundang sedikit kebosanan walaupun Stacy muncul dengan gimik melayang di udara. Namun, kerancakan lagu tersebut sedikit sebanyak mampu menutup cela yang terdapat dalam persembahan gadis molek itu.

Seperti biasa, kemunculan Hafiz Suip kembali menyelamatkan suasana persembahan malam itu dengan props dahan serta daun kering yang menggambarkan kegersangan hati pengalun lagu Bahagiamu Deritaku yang begitu menghayati sepenuhnya lirik lagu berkenaan.

Vokal Hafiz yang diakui kehebatannya itu nyata memukau seluruh stadium lalu melayakkannya memenangi persembahan terbaik pada malam itu.

Hazama juga tidak mengecewakan apabila berjaya mempersembahkan lagu Penglipur Lara dengan persembahan yang sangat energetik walaupun tampil solo dengan sedikit gimik lukisan cat ‘glow in the dark’ yang dilukis di beberapa bahagian tubuhnya.

Kehangatan pertandingan diteruskan dengan penampilan Jaclyn Victor bersama ‘kejutannya’ apabila menampilkan lima penyanyi hebat yang bertindak menyokong persembahannya iaitu Salamiah Hassan, Dina Nadzir, Adibah Noor, Atilia dan Elviral Arul tatkala menyampaikan lagu Ikut Rentakku.

Ternyata, konsep yang ditampilkan Jaclyn bersama barisan penyanyi tersebut menampakkan kelainan tersendiri berbanding persembahan finalis lain dan mewujudkan satu gimik yang berbeza.

Selepas suntikan hangat yang dibawa oleh Jaclyn, pertandingan kembali suram apabila Najwa Latif, Syamkamarul dan Sleeq menguasai pentas setelah persembahan lagu Sahabat yang ditunjukkan seolah-olah diadaptasi daripada sedutan klip video lagu tersebut yang begitu mendatar.

Azlan & The Typewriter yang muncul selepas itu menerusi lagu Tanda Tanya berjaya merancakkan kembali perjalanan AJL28 apabila kelunakan suara Azlan dengan persembahan ‘gila’gila’ dan bersahaja kumpulan terbabit menjadikan ia salah satu persembahan terbaik pada malam itu.

Malangnya, graf persembahan kembali menurun apabila tiba giliran Alyah yang membawakan lagu Kau Yang Terindah kerana susunan muzik lagu tersebut diubah terlalu perlahan sehingga mengundang satu persembahan anti klimaks, tidak seperti susunan muzik asal lagu berkenaan.

Tambahan pula busana serba putih yang dikenakannya menjadikan keseluruhan persembahan Alyah tampak kosong walaupun diiringi penari yang membawa andang api. Konsep yang baik, tidak disokong dengan persembahan yang munasabah.

Beralih ke persembahan terakhir lagu Kalau Aku Kaya oleh Awi Rafael dan Altimet, kerancakkan lagu tersebut yang begitu ‘catchy’ menaikkan semula graf persembahan dan gimik wang bertaburan dari bumbung stadium tersebut amat meriuhkan keseluruhan stadium yang berebut-rebut menyambut ‘kekayaan’ itu.

Sementara menunggu keputusan daripada pihak juri, persembahan interlude yang menampilkan Ziana Zain, Amy Search, Datuk M. Daud Kilau, Waris, Zaidi ONE serta Filsuf mempersembahkan barisan lagu medley artis berkenaan boleh dikatakan antara persembahan artis undangan yang paling menarik sepanjang penganjuran AJL.

Aksi Raja Gelek, M. Daud Kilau yang membawakan lagu Che Mek Molek mendapat sorakan kuat penonton yang teruja dengan suara penyanyi veteran tersebut yang masih memukau walaupun memasuki usia emasnya.

Begitu juga Ziana Zain dan Amy Search yang mempamerkan persembahan mantap ketika menyanyikan lagu-lagu ‘berhantu’ mereka sambil diselang-seli nyanyian rap daripada Waris, Zaidi dan Filsuf yang menampakkan gandingan baharu dan lama.

Secara keseluruhannya, AJL28 kali ini menampakkan kematangan dalam menghasilkan keputusan yang lebih baik dan menyenangkan hati ramai pihak, namun graf persembahan yang ditunjukkan tidak begitu konsisten tetapi masih di tahap menghiburkan.

‘Comeback’ LY & Baiduri

Komposer LY atau nama sebenarnya Rozman Shafie, 52 beranggapan, kejayaan lagu Bahagiamu Deritaku yang dihasilkan bersama isterinya, Baiduri atau Norahayati Hashim, 51, merupakan hadiah ‘comeback’ mereka berdua ke bidang penciptaan muzik setelah hampir tujuh tahun mendiamkan diri.

Menurut pasangan itu yang sebelum ini pernah memenangi kategori Balada menerusi lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Siti Nurhaliza pada 1997, mereka menggunakan formula lama dengan mengangkat tema percintaan untuk menghasilkan lagu Bahagiamu Deritaku, tetapi menggabungkan susunan muzik lama dan baharu bagi mencipta melodi yang segar.

"Kami berhenti membuat lagu pada 2006 kerana kesibukan dengan kerja hakiki saya sebagai seorang Nazir di Kementerian Pendidikan yang memerlukan saya untuk melawat sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Bagaimanapun, dua tahun lepas, Astro menghubungi saya untuk menghasilkan beberapa buah lagu untuk penyanyi yang berada di bawah naungan mereka tanpa menyebut nama Hafiz sebagai salah seorang penyanyi tersebut.

"Saya telah mencipta empat buah lagu yang liriknya ditulis oleh isteri saya. Namun apabila mengetahui Astro mahukan sebuah lagu khas untuk Hafiz, saya menarik semula lagu-lagu yang telah dihantar dan memikirkan sebuah lagu yang sesuai untuk Hafiz memandangkan rekod cemerlang penyanyi itu.

"Maka terhasillah Bahagiamu Deritaku yang difikirkan begitu sesuai dengan kelantangan vokal Hafiz. Bukan itu sahaja, penghayatan Hafiz ketika membawakan lagu ini begitu menusuk kalbu dan berjaya meresap ke jiwa setiap orang yang mendengarnya," cerita LY pada sidang akhbar sejurus tamat AJL28.

Justeru, dengan kemenangan tersebut, ia melayakkan mereka bertiga berkongsi wang tunai RM35,000 berserta trofi AJL28, manakala Hafiz turut memenangi RM10,000 setelah turut memenangi Persembahan Terbaik pada malam itu.

Sementara itu, Hafiz ketika ditemui hanya menjelaskan bahawa dia cuma menjalankan tanggungjawab sebagai penyanyi dan begitu berterima kasih kepada LY dan Baiduri kerana menukilkan sebuah karya yang amat bagus.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan kejayaan ini adalah milik bersama. Misi saya pada malam ini adalah mahukan penonton terhibur dengan persembahan saya dan Alhamdulillah, ia tercapai," katanya ringkas.

Tapak permulaan Hyper Act

MENGUNGGULI kedudukan naib juara menerusi lagu Hanya Aku yang dihasilkan sendiri oleh Hyper Act bersama Frozen, ternyata lagu yang pernah menjadi lagu tema drama bersiri Teduhan Kasih itu berjaya menjadi fenomena yang digilai peminat muzik tempatan.

Dengan susunan muzik yang begitu ringkas, ia bukan penghalang buat lagu tersebut bermain di bibir peminat yang sering mengalunkannya disebabkan melodinya yang begitu mesra pendengar.

Vokalis Hyper Act, Roney berkata, kemenangan mendapat tempat kedua adalah permulaan bagi kumpulan itu untuk mendapat tempat di persada muzik tempatan.

"Saya berterima kasih kepada pihak TV3 yang bersetuju menjadikan lagu ini sebagai lagu tema drama Teduhan Kasih dan ia adalah platform yang memperkukuhkan nama Hyper Act selaku pendatang baharu dalam industri muzik tempatan.

"Kemenangan ini juga memberi makna bahawa kehadiran kami diterima oleh peminat muzik tempatan dan sekali gus mewujudkan persaingan sihat kepada penyanyi sedia ada," katanya.

Sejarah untuk Hip Hop

Altimet yang sebelum ini agak kecewa dengan penerimaan orang industri terhadap karya muzik Hip Hop begitu gembira apabila lagu Kalau Aku Kaya yang ditulisnya bersama komposer Omar K dan Audi Mok berjaya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Menurut Altimet, lagu nyanyiannya bersama Awi Rafael itu mencipta sejarah tersendiri dalam penganjuran AJL apabila ia merupakan lagu Hip Hop pertama yang memenangi antara kedudukan utama dalam pertandingan berprestij itu.

"Ini adalah kejayaan untuk seluruh penyanyi Hip Hop di negara ini. Kemenangan ini diharap berjaya membuka mata semua pihak terhadap kewujudan muzik Hip Hop yang turut mempunyai kehebatannya yang tersendiri.

"Saya berharap, akan ada lebih ramai lagi penggiat muzik Hip Hop menghasilkan muzik berkualiti dan mengulangi kejayaan lagu Kalau Aku Kaya tidak kira dalam majlis anugerah apa sekalipun," katanya yang dilihat melonjak kegembiraan setelah keputusan diumumkan oleh pengacara AJL28, AG dan Scha Alyahya.

Jac akui sukar

Akhirnya, dominasi tiga tahun berturut-turut trofi Vokal Terbaik yang dimenangi oleh Hafiz sebelum ini berjaya dipecahkan Jaclyn Victor yang mengakui begitu tertekan ketika membawakan lagu rancak ciptaan sepenuhnya Edry Abdul Halim.

Jaclyn yang sebelum ini pernah memenangi kategori sama menerusi lagu duet, Ceritera Cinta bersama Lah Ahmad pada edisi AJL22 pada 2007 berkata, walaupun ia merupakan lagu rancak, tidak semestinya mudah untuk dibawakan kerana terpaksa berhempas pulas menyusun pernafasan.

"Tidak dinafikan, kebanyakan pemenang kategori ini menyanyikan lagu balada kecuali Hazami pada 2005 yang membawakan lagu Kata yang berentak laju.

"Namun, semua perlu tahu bahawa tidak semua lagu rancak itu mudah dinyanyikan dan saya begitu gembira apabila juri sedar akan kesukaran saya untuk membawakan lagu ini.

"Walaupun mengakui vokal Hafiz sangat mantap ketika membawakan lagu Bahagiamu Deritaku, tetapi saya yakin tahap kesukaran lagu ini memberi saya kelebihan untuk memenanginya.

"Sejujurnya, saya hanya mahu berikan persembahan terbaik dan tidak mengharap untuk memenangi anugerah ini tetapi juri amat menghargai usaha saya dan saya amat teruja," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.