saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/01/2014

Kecundang dalam pertarungan

LAKON layar dan suntingan filem ini dikatakan agak bercelaru.

Saya mahu menyukai Laga. Membaca sinopsis dan melihat senarai barisan pelakonnya di poster, saya berharap filem arahan Ismail Yaacob (Lenjan, 1998) ini sekurang-kurangnya memberikan sesuatu yang berlainan dari lambakan filem Melayu yang lebih kurang sama saja temanya, inti pati dan jalan cerita.

Laga mengisahkan senario di sebuah kampung yang menggilai permainan sabung ayam. Hassan (Wan Hanafi Su) merupakan jaguh laga yang tidak pernah kalah, tetapi seluruh hidupnya didedikasikan dengan berjudi sebagai mata pencarian. Dia menikahi seorang wanita muda bernama Ayu (Marsha Milan).

Hassan mempunyai sistem sokongan yang kuat iaitu rakan-rakannya yang juga suka bersabung ayam seperti Seman (Eman Manan) dan Sabri (Syazwan Zulkifli). Kekuatan mereka dicemburui musuh tradisi, orang kaya Dasuki (Nasir Bilan Khan) dan konco-konconya yang sering membuat kacau dalam kampung.

Saya dapat mengikuti apa yang Ismail ingin ceritakan pada 15 minit pertama. Bagaimanapun selepas itu, konsentrasi saya terganggu kerana beberapa faktor.

Sabri jatuh cinta dengan seorang gadis dari Jakarta bernama Maya (Tyas Mirasih) yang datang melawat neneknya di kampung itu. Dalam masa yang sama, Dasuki yang cemburui Hassan mendesak lelaki itu mempertaruhkan Ayu sebagai hadiah kemenangan dalam satu perlawanan sabung ayam.

Saya tidak mempunyai masalah jika Ismail mahu mewujudkan seberapa banyak konflik pun. Asal saja penceritaannya tersusun dan motif untuk setiap satu peristiwa atau babak itu mempunyai signifikan dan penjelasan. Sayangnya, saya menjadi celaru seperti mana celarunya lakon layar dan suntingan filem ini.

Secara dasarnya, saya memahami keseluruhan plot Laga kerana ia bukanlah tentang sains roket. Namun, itu bukan alasan untuk Ismail, selaku pengarah dan penulis skrip mengambil mudah kefahaman penonton.

Saya menyanjungi ideanya untuk membawakan kisah dan permainan tradisi ini ke layar perak. Ia sesuatu yang amat menarik, apatah lagi apabila Ismail mengaitkan metafora itu dengan sifat manusiawi yang gemar melaga-lagakan orang lain demi kepentingan sendiri.

Bagaimanapun, babak-babak sabung ayam itu tidak memberi sebarang makna kerana saya tidak memahami peraturan atau mekanismenya. Saya hanya perlu menerima ayam mana yang menang dan kalah berdasarkan dialog pelakon. Saya tidak dapat menyertai keterujaan ketika babak sabung ayam berlangsung.

Saya percaya dengan kepakaran kesan khas yang kita ada, babak itu boleh jadi lebih menarik. Lebih dari itu, babak tersebut sebenarnya adalah babak yang amat penting yang dianggap seperti perlawanan ‘antara hidup dan mati’.

Sayangnya, saya merasakan ia sama seperti babak-babak lain yang tidak mencengkam perasaan penonton atau sekurang-kurangnya memberi kesan.

Lebih aneh, selepas perlawanan berakhir, Dasuki dan konco-konconya yang kalah terus hilang dari cerita ini. Kelibat mereka langsung tidak muncul sehingga penamat sedangkan filem baru setengah berputar. Barangkali mereka benar-benar insaf dan tidak mahu bersabung ayam lagi.

Justeru, Ismail mendedikasikan separuh lagi filem ini untuk mengangkat kisah cinta terhalang antara Sabri dan Maya. Juga niat buruk Hassan yang menyebabkan perbalahan di antara Sabri dan Seman.

Kasihan kepada Ayu, karakternya tidak lebih sekadar objek seks. Marsha diminta untuk berkemban dalam beberapa babak; sama ada di sungai, di bilik air mahupun di atas katil tanpa pengisian sebenar.

Masih beginikah mentaliti pembikin filem kita yang menjadikan wanita sekadar satu perhiasan?

Saya kurang mengerti mengapa Hassan tiba-tiba bersikap dingin dan mengesyaki isterinya menaruh hati kepada Sabri. Seingat saya, tiada dialog atau babak yang menunjukkan Ayu bermain kayu tiga atau Sabri cuba memikat Ayu. Mengapa Hassan secara drastik berasa cemburu dan ingin menghapuskan Sabri?

Kisah asmara Sabri dan Maya tidak mendalam. Saya tidak merasai sebarang ikatan perasaan, malah tidak mempercayai mereka dilamun cinta. Bukan kerana saya tidak yakin dengan cinta di antara dua darjat, tetapi penulisan lakon layarnya untuk dua karakter ini terasa seakan dipaksa-paksa dan dibuat-buat.

Sebagai pelakon dengan kredibiliti hebat, saya yakin Wan Hanafi Su, Eman Manan, Nasir Bilan Khan, malah Rosyam Nor sudah melakukan apa yang biasa dilakukan iaitu memainkan watak sebaik mungkin. Namun, kekuatan yang mereka ada itu tidak dapat menyelamatkan Laga untuk menjadi filem yang baik.

Saya mahu menyukai Laga. Namun dengan beberapa kelemahan yang dinyatakan tadi; termasuk babak komedi yang tidak kena masa serta skor muziknya yang janggal, saya mohon maaf kepada Ismail. Laga kecundang dalam pertarungannya sendiri.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.