saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 09/02/2014

Sara Ali buang 'diva'

BERLAGAK diva.

Perkara itu bukan sahaja sinonim dengan pelakon Sara Ali malah penulis sendiri mempunyai pengalaman yang sama ketika berhadapan dengannya sewaktu pelakon ini mempromosikan Songlap, filem yang telah melonjakkan namanya di persada seni beberapa tahun lalu.

Ketika itu sepatah ditanya, sepatah yang keluar daripada mulutnya. Dan perkara itu diakui sendiri oleh si empunya diri.

Namun tegas anak jati Johor ini, sikap buruk itu sudah dibuang jauh-jauh.

Tiga tahun meniti perjalanan seninya, Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali kini sudah jauh berubah.

Sara Ali hari ini bukan lagi seorang yang sombong, jauh sekali bersikap ego seperti mula-mula dia melangkah ke dunia glamor.

Apakah ini jelmaan barunya? Kerana ternyata Sara Ali atau lebih senang disapa Sara ini cukup berbeza jika dibandingkan ketika kali pertama penulis bertentangan mata dengannya.

"Saya akui sebelum ini memang saya sedikit ego, orang selalu cop saya diva. Semua itu saya tahu dan perasan tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa kerana saya sememangnya begitu sebelum ini.

"Tetapi itu dulu. Saya sekarang sudah berbeza," tegasnya. Sangat berterus terang.

Menurutnya, beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini telah membuatkan dia sedar diri tentang perangai kurang eloknya itu.

"Alhamdulillah saya cepat sedar... Beberapa perkara berlaku kepada diri saya - saya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan kereta saya rosak teruk. Mujur saya masih hidup.

"Kemudian saya dijangkiti pula penyakit radang paru-paru sehingga menyebabkan lebih seminggu terlantar di hospital.

"Malah ayah saya sendiri pernah menasihati saya agar tidak terlalu ego. Saya cuba untuk berubah perlahan-lahan.

"Kini saya bukan seperti Sara Ali yang dulu. Saya betul-betul sudah berubah," jelasnya.

Bagaimanapun kata Sara dia agak terkilan dengan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan dia tidak melayan media pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria.

Ini kerana katanya, dia tidak menolak pelawaan pihak media untuk menemubual dirinya pada malam berkenaan lebih-lebih lagi kerana berita dirinya sudah lama tidak keluar.

"Saya tidak tahu apa masalah wartawan tersebut kerana setahu saya tiada wakil daripada akhbar itu datang untuk menemubual saya.

"Sepatutnya dia (wartawan) perlu mengenali dulu saya serta artis-artis lain sebelum buat cerita.

"Apa yang saya tengok sekarang, ramai wartawan baru tidak kira daripada media cetak atau elektronik serta bloger-bloger hiburan menulis cerita tanpa menemuramah artis atau selebriti terlebih dahulu.

"Jangan hanya syok sendiri untuk menulis berita kerana itu hanya akan merosakkan nama mereka," tegas Sara.

Malah dia mengaku sekiranya perkara itu terjadi ketika dia baru bergelar pelakon, dia tidak begitu kisah kerana masih naif dan belajar tentang kehidupan dunia glamor.

Namun kini perkara sebegitu menjadi antara yang dielakkan dalam usaha menjaga nama baiknya di dalam bidang seni.

Nasihat Khir Rahman

Berkisah tentang perubahan sikapnya pada hari ini kata Sara, selain kehendak diri sendiri serta nasihat ayahnya, insan yang turut banyak membuka matanya untuk berubah adalah pelakon serta pengarah berbakat, Khir Rahman.

Menurut Sara, Khir banyak memberi nasihat kepadanya terutama apabila dirinya semakin tidak bersemangat untuk meneruskan kerjaya di dalam lakonan.

"Abang Khir cukup banyak mengajar saya di dalam selok belok dunia seni ini. Sebelum ini memang saya sudah tidak mahu lagi meneruskan kerjaya bidang lakonan.

"Namun disebabkan nasihat dan tunjuk ajarnya saya kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini.

"Daripada nasihatnya itu timbul pula minat untuk mengarah filem selepas ini. Itu cita-cita saya. Saya mahu hasilkan sebuah filem hebat tidak seperti filem-filem yang ada sekarang.

"Saya mahu cabar diri saya untuk menjadi seorang pengarah satu hari nanti," ujarnya.

Ditanya mengenai jodoh, tanpa berselindung Sara mengakui bahawa dia sudah berpunya namun pada usia yang baru menjangkau 24 tahun ini, dia tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya.

"Kita tidak boleh hanya menunggu jodoh datang dan tidak perlu juga kita mengejar jodoh itu.

"Apa yang penting kita perlu buka hati untuk menerima jodoh kita kerana Dia telah pilih yang terbaik untuk kita. Saya tidak mahu tergesa-gesa di dalam soal ini.

"Biarlah saya mengejar cita-cita saya terlebih dahulu. Saya mahu impian untuk jadi pengarah filem tercapai sebelum saya fikirkan soal kahwin.

"Dapat mengarah sebuah filem pun dah cukup. Saya memang cukup berminat untuk mengarah filem dan itu adalah impian terbesar saya," ujar Sara.

Tiada niat bersaing

Setelah lama tidak muncul di layar perak, ramai yang menganggap dia sudah tidak laku namun perkara itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Sara.

"Memang tahun lepas saya agak jarang muncul sama ada di dalam filem mahupun drama namun itu bukan bermakna saya tidak laku.

"Sebenarnya saya banyak menjalani penggambaran filem serta drama tahun lepas dan kebanyakan produk itu akan ditayangkan tahun ini.

"Kerana itu nampak seolah-olah saya jarang keluar," katanya yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Nur Kasih, Penunggu Istana dan Klip 3GP.

Ditanya tentang kemunculan ramai pendatang baru yang boleh menenggelamkan namanya jelas Sara, perkara tersebut tidak pernah timbul dan tidak akan berlaku.

"Bagi saya itu rezeki masing-masing. Sekiranya nama artis baru tersebut semakin dikenali, itu rezeki mereka. Tuhan telah menetapkan setakat mana rezeki kita cuma kita mestilah rajin untuk mencari di mana letaknya rezeki tersebut.

"Ternyata persaingan memang hebat ketika ini namun perasaan dengki atau ingin bersaing memang tidak pernah saya fikirkan.

"Memang sekarang saya lihat ramai artis yang mengejar nama dan mahu bersaing dengan artis-artis lain. Paling penting bagi saya adalah artis baru ataupun lama perlu kerja bersama-sama."Jangan ada niat dengki atau ingin bersaing kerana yang penting adalah kita perlu sama-sama berusaha menaikkan industri filem kita. Jika pelakon sendiri ada sikap itu maka industri kita tidak akan kemana," jelasnya.

CABAR DIRI

Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria yang kini telah ditayangkan jelas Sara, filem ini merupakan filem yang cukup sesuai dengan tahun ini.

"Kami Histeria cukup berlainan. Filem ini ‘melanggar’ konsep filem Melayu yang biasa kita tonton selama ini.

"Filem ini untuk semua lapisan masyarakat tidak kira remaja, kanak-kanak serta orang dewasa dan saya pasti semua penonton akan hilang stress apabila menontonnya.

"Kalau saya bukan pelakon di dalam filem ini sekali pun saya akan ajak penonton menyaksikan filem ini. Ia mampu memberi makna kepada penonton," jelasnya.

Akui Sara, melalui filem ini juga dirinya mula rapat dan berkawan baik dengan para pelakon lain antaranya Fazura, Nad Zainal, Diana Danielle dan Umie Omar.

"Sebelum ini memang kami semua sudah kenal antara satu sama lain namun selepas selesai sahaja penggambaran filem ini kami semua bertambah rapat.Kami ibarat sebuah keluarga bahagia," kata Sara.

Dalam pada itu Sara turut mengakui melalui filem ini berjaya mencabar dirinya apabila perlu bermain gitar ketika membawakan watak Bad.

"Sepanjang hayat saya tidak pernah memegang apalagi bermain gitar. Sebagai Bad, pemain gitar utama kumpulan saya dituntut untuk bermain gitar.

"Saya berjaya melakukannya. Daripada tidak tahu apa-apa mengenai gitar sekarang saya boleh bermain alat itu. Walaupun hanya untuk tiga lagu, saya seronok melakukannya," katanya lagi.

Foto NOOR AZLINA JAAFAR Solekan Syedewa Busana House of Dolls

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.