saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 19/02/2014

Daripada indie ke arus perdana

KHIR Rahman (kiri) dan Nam Ron, masing-masing mempunyai matlamat tersendiri dalam bidang seni.

BERKECIMPUNG dalam bidang seni bebas yang lebih dikenali sebagai independent atau indie dan arus perdana adalah dua dunia yang tidak sama. Malah, ia juga menjanjikan kepuasan yang berbeza-beza bagi para penggiatnya termasuklah buat Nam Ron dan Khir Rahman.

Dua anak seni ini mula dikenali ramai menerusi pementasan teater, drama dan filem pendek dalam ruang lingkup dunia indie. Namun, pembabitan dua sahabat ini dalam dunia indie tidak lama kerana mereka kini lebih dikenali ramai sebagai penggiat seni arus perdana.

Justeru, ramai peminat yang meragui selain kurang pasti hala tuju Nam Ron dan Khir dalam bidang lakonan tanah air sejak akhir-akhir ini. Antaranya ada yang mengandaikan dua sahabat ini sebagai penggiat seni yang kurang asli perjuangan mereka dalam bidang itu.

Tidak kurang juga yang mengatakan dua pelakon yang juga pengarah filem, drama serta teater ini beralih arah jalur perjuangan mereka semata-mata kerana tarikan nilai-nilai komersial terutamanya yang membabitkan wang ringgit dalam persada seni arus perdana.

Hits sempat berborak panjang dengan Nam Ron dan Khir bagi mengetahui hala tuju mereka dalam dunia lakonan pada suatu pertemuan di Damansara Damai, Petaling Jaya baru-baru ini. Pada pertemuan itu Nam Ron mula menjelaskan falsafahnya dalam bidang seni.

“Tidak nafikan saya memulakan kerjaya dalam bidang ini secara indie. Saya terbabit sama ada secara indie atau arus perdana kerana sebab-sebab tertentu. Kalau dalam dunia indie ia adalah tentang kepuasan diri sendiri. Ia tentang apa pemikiran yang ingin kita sampaikan.

“Kalau dalam dunia indie audiensnya berada dalam kelompok yang kecil tetapi para penggiatnya akan lebih berasa puas. Sedangkan perkongsian dalam arus perdana audiensnya lebih besar tetapi ia akan menyebabkan hilangnya kebebasan berkarya dan kepuasannya juga semakin mengecil.

“Buat masa ini memang betul saya semakin menjurus kepada dunia lakonan arus perdana tetapi pada masa sama saya juga masih bergiat secara indie terutama dalam teater yang mempunyai subjek berbeza dan kuat dengan gaya pemikiran indie di sebaliknya," kata pelakon yang nama sebenarnya Shahili Abdan.

Nam Ron, 45, mula dikenali sebagai pengarah menerusi filem arus perdana pertama arahannya berjudul Psiko pada tahun lalu. Ramai yang memerhati gaya pengarahannya dalam filem itu dan mendapati ia masih kuat dengan elemen-elemen indie di dalamnya.

Pengaruh-pengaruh itu banyak dipertonjolkannya menerusi teater-teater indie arahannya yang pernah dipentaskannya di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Mat Deris Kuala Perlis dan Laut Lebih Indah Daripada Bulan yang jelas memperlihatkan gaya pemikirannya.

Namun, apabila terjun semakin dalam ke dunia lakonan arus perdana anak seni berasal dari Kangar, Perlis ini terpaksa akur dengan kehendak semasa. Ia antaranya soal gaya lakonan serta watak-watak orang kampung yang kononnya sesuai dengan raut wajahnya itu.

“Mungkin kemasukan saya dalam lakonan arus perdana ada kena mengena dengan wajah saya dikatakan macam orang kampung. Sebab itu, kalau saya melakonkan watak seorang ahli perniagaan ia macam kurang kena di mata pengarah atau penerbit.

“Sebagai pelakon arus perdana saya akur dengan permintaan seperti itu kerana ia berdasarkan kesesuaian diri saya dan watak yang akan dilakonkan itu. Saya tidak kisah kerana berlakon bukan keutamaan saya, sebaliknya fokus saya adalah dalam bidang pengarahan.

“Saya masih ingat lagi semasa belajar di ASK (Akademi Seni Kebangsaan) dulu pensyarah saya iaitu Ahmad Yatim pernah menegur dan mengatakan saya tidak boleh berlakon. Ketika itu, saya masih baharu lagi dan kurang pula keyakinan dalam bidang lakonan," jelasnya.

Nam Ron kini sedang berdebar-debar dalam menanti kemunculan filem kedua arahannya berjudul Nur Hikmah yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara tidak lama lagi. Bukan setakat itu sahaja tetapi dia juga akan mengarah banyak lagi karya selepas ini.

Katanya semua itu akan memperkembangkan lagi kerjayanya dalam bidang lakonan selain masih aktif menulis skrip-skrip untuk teater dan drama. Secara tidak langsung ia menggambarkan pendekatan Nam Ron semakin lama semakin banyak kepada kerja-kerja belakang tabir.

“Saya akan terus berlakon dalam arus perdana dan indie seperti biasa. Tetapi pada masa sama, saya juga akan mengarah teater dan filem selain menulis skrip. Contohnya, sekarang ini saya sedang menulis skrip filem bertajuk One Two Jaga yang akan difilemkan tidak lama lagi.

“Bagi mengisi masa saya terus menerima tawaran berlakon seperti dalam filem Penculikan Amar Affendi arahan Sein Ruffedge yang akan menjalani penggambaran pada Mac ini. Semua itu saya lakukan satu persatu tetapi apa yang jelas kebanyakannya dalam arus perdana," ujarnya.

Selain berlakon dan mengarah, Nam Ron yang memiliki studionya sendiri iaitu Ayaq Hangat Studio kini sedang sibuk menyiapkan sebuah naskhah terbaharu bertajuk Hypokrite yang bakal dipentaskan pada Mac ini dengan mengenakan tiket berharga RM15.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.