saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 20/02/2014

Jangan cuak, kita masih ada harapan

Antara adegan dalam filem Cuak.

Dalam kebingungan mencari jawapan mengapa hampir tiada filem kita yang berbaloi untuk ditonton di pawagam (meskipun sekurang-kurangnya satu filem Melayu baharu ditayangkan setiap minggu), Cuak hadir memberikan harapan.

Walaupun judulnya dalam Bahasa Melayu, wajah filem ini lebih majmuk seperti mana lima pengarah yang menghasilkannya iaitu Khairil M. Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Tony Pietra dan Shamaine Othman.

Cuak berbeza dengan Kolumpo (2013) dari segi struktur dan konsepnya. Kolumpo adalah himpunan tiga filem pendek yang dikerjakan tiga pengarah untuk tiga cerita berbeza dalam satu tema. Manakala Cuak berpaksikan satu jalan cerita yang menawarkan pandangan serta stail pengarahan yang pelbagai.

Dasar cerita ialah mengenai Adam yang tiba-tiba berasa gementar sebelum diijabkabulkan dengan teman wanitanya, Brenda. Dalam perjalanan menuju ke rumah pengantin perempuan, penonton diberi penjelasan mengapa Adam masih berbelah bagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami.

Semasa parti bujang yang dianjurkan untuknya, Adam berdepan persoalan jika dia bakal berubah menjadi orang lain selepas berkahwin. Menerusi pengalaman dan pendapat rakan-rakan, Adam tidak pasti jika pernikahan adalah perkara terbaik untuknya dan Brenda.

Adam juga harus melalui beberapa ujian tersembunyi yang dilakukan oleh ibu bapa Brenda sebelum dia diterima sebagai menantu. Menyifatkan keluarga Brenda sebagai aneh, beberapa insiden lucu berlaku ketika dia melalui ‘sesi temu duga’ yang terakhir.

Brenda pula ketika disolekkan mak andam mengimbas detik-detik bagaimana Adam sebelum ini bercinta dengan teman baiknya, Nurul. Brenda juga mengingati saat-saat mereka berbalah di dapur berkenaan isu agama.

Perhubungan Adam dan Brenda menjadi lebih dramatik apabila nyawa mereka hampir diragut pembunuh bersiri. Mereka menjadi sasaran kerana pembunuh tersebut mendendami abang tiri Adam, Mikail iaitu seorang pegawai kastam berjawatan tinggi.

Setiap pengarah membawakan gaya garapan masing-masing dengan cubaan memasukkan genre noir/thriller serta ‘found footage’ dalam ruang lingkup romantik komedi dan drama. Digerakkan secara non-linear, kelima-lima segmen itu dicantumkan menerusi suntingan yang kemas tanpa mengelirukan penonton.

Biarpun setiap segmen diarahkan secara berasingan, jalinan cerita berlangsung lancar hasil kesefahaman barisan penulis lakon layarnya. Mereka memahami latar belakang watak Adam dan Brenda dengan begitu baik dan ini dapat dilihat menerusi pembinaan karakter yang konsisten.

Bagaimanapun, saya mempunyai sedikit masalah dengan segmen ‘pembunuh bersiri’ yang bersifat gelap. Bukan tidak memahaminya, tetapi saya merasakan ia sedikit janggal dan terasing apabila disatukan dengan empat segmen yang lain.

Dalam saya mempercayai setiap krisis serta konflik yang dihadapi Adam dan Brenda, tiba-tiba segmen ini seolah membawa saya ke dunia fiksyen ala Hollywood. Ia seperti sebuah cerita pendek yang mampu berdiri sendiri dan saya tidak pasti jika itu adalah perkara yang baik untuk konsep filem sebegini.

Apatah lagi terdapat satu babak yang menggambarkan Adam dan Brenda hampir ditembak di kepala. Pada saya, adegan ini memberikan implikasi yang sangat besar kepada keseluruhan cerita.

Jika ia benar-benar berlaku kepada saya dan pasangan, kemudian kami terselamat, saya tidak akan cuak langsung untuk segera berkahwin. Saya merasakan ‘drama’ sebesar itu, momen di antara hidup dan mati, adalah dugaan terhebat dan kami berjaya mengatasinya bersama. Mengapa mesti was-was lagi?

Pelakon utama, Ghafir Akbar tidak mengecewakan. Walaupun Cuak filem cereka pertamanya, pengalaman yang ditimba bertahun-tahun di pentas teater diguna pakai. Ghafir berjaya mengawal pergerakannya agar tidak terlalu ‘besar’.

Dia dipercayai sebagai Adam yang tidak perlu berusaha keras untuk membuatkan penonton menyampah dengan sikap acuh tidak acuhnya. Penonton juga percaya kesungguhannya untuk mengahwini Brenda dan memastikan perhubungan mereka kekal walau apa pun yang berlaku.

Ghafir disokong dengan lakonan yang baik dari Dawn Cheong yang dapat memberikan variasi ekspresi untuk setiap tindakan dan pertuturan. Saya paling menyukai babak konfrontasi di antara mereka ketika di dapur dan menyifatkannya sebagai segmen terbaik dari keseluruhan filem ini.

Segmen yang diarahkan oleh Shamaine itu menjentik pemikiran penonton dengan isu yang provokatif tetapi relevan. Meskipun saya percaya sesetengah pihak menganggapnya sebagai sensitif kerana ia berkaitan agama, Shamaine berupaya menulisnya dengan penuh halus tetapi dalam nada tegas dan wajar.

Bagaimanapun, terdapat beberapa dialog yang ‘dibisukan’ yang membuatkan penonton tertanya-tanya. Tidak mencacatkan persembahan, ia barangkali jalan terbaik daripada babak itu terus dibuang.

Watak-watak sokongan dari setiap segmen memberikan keadilan untuk kewujudan mereka terutamanya karakter Patrick Teoh dan Kuah Jenhan yang sangat melucukan. Begitu juga dengan Ani Juliana Ibrahim yang memainkan babak tegang pertengkaran di antara Nurul dan Adam dengan baik.

Dihasilkan dengan bajet kecil, Cuak tiada kurangnya dari aspek teknikalnya jika dibandingkan dengan filem-filem tempatan pasaran massa. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan pembikinannya lebih nampak serius dan bersungguh.

Syabas buat Khairil selaku Pengarah Kreatif dan penerbit Michael Chen yang memastikan Cuak menjadi sebuah cereka yang ‘solid’ dan tidak tersasar.

Secara peribadi, saya mengharapkan filem-filem kecil seperti ini mendapat lebih ruang di pawagam dan tidak hanya untuk tontonan terhad. Jika inilah contoh generasi pembikin dan pengkarya yang akan berjuang untuk masa depan industri filem Malaysia, saya tidak akan cuak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.