saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 23/02/2014

Usung tilam ke pejabat

SEBUT sahaja nama Habsah Omar pasti ada yang mengerutkan dahi namun jika disebut nama Abby Fana sudah tentu sebahagian besar peminat terbayangkan celoteh tanpa henti penyampai radio ini.

Ramai beranggapan Abby Fana sudah memiliki segala-galanya. Sementelah namanya bukan sahaja dikenali ramai tetapi juga sudah sinonim dengan stesen radio Sinar FM.

Namun kejayaan yang dikecapi hari ini sebenarnya menyimpan seribu satu cerita yang tidak diketahui umum.

Ini kerana bagi Abby kejayaan hari ini merupakan kepayahan masa lalu malah dia tidak pernah terbayang berada pada kedudukan ini.

Siapa sangka pelajar yang pernah gagal mata pelajaran Bahasa Inggeris ketika berada di sekolah menengah satu ketika dahulu akan dikenali ramai hari ini.

Membesar di dalam persekitaran masyarakat Singapura merupakan pengalaman yang terindah untuk dikenang. Dia masih ingat ketika menuntut di New Town Secondary School sewaktu berusia 13 tahun.

"Saya ini jenis pelajar yang baik. Tak ada nakal-nakal dan tak ada banyak cerita sangat pun. Cuma yang paling saya ingat apabila gagal mata pelajaran Bahasa Inggeris sehingga menyebabkan saya terpaksa mengulang semula subjek berkenaan.

"Orang lain sudah sambung pelajaran tapi saya kena ulang lagi setahun. Nak kata malu itu tak juga sebab waktu itu tak semua orang pergi ke sekolah," kata Abby memulakan cerita.

Sebelum itu Abby pernah bersekolah rendah di Jurong Town Primary School dan Kim Seng East School. Abby juga sempat mengambil A-Lavel di Raffles College.

Dibesarkan di Singapura, keluarga Abby sebenarnya berasal dari Muar, Johor. Namun bapanya mengambil keputusan berpindah ke Singapura untuk bekerja sebagai askar British.

Walaupun begitu Abby menyimpan impian untuk menyambung pelajaran dan mengambil SPM di Malaysia dan berkali-kali meminta izin ayahnya untuk kembali ke Malaysia bagi melunaskan impiannya namun tidak kesampaian.

Hijrah

Sekitar tahun 1986 ketika berusia 20 tahun, Abby akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur (KL). Tanpa memberitahu ahli keluarganya, dia mengutus surat kepada saudaranya yang berada ibu kota.

"Dulu mana ada telefon atau SMS. Kena karang surat untuk memberitahu apa sahaja. Saya ingat lagi pengalaman naik bas ke Kuala Lumpur.

"Di sebelah saya seorang lelaki yang sama-sama nak ke KL. Dia sangat ramah sehingga saya rasa pelik. Bila saya tanya nak pergi mana, dia jawab nak melawat kawan yang kena penjara akibat membunuh.

"Ketika mendengar tentang itu saya punya takut dan risau diapa-apakan. Saya pula masih muda dan baru pertama kali nak ke sini. Mujur tak ada apa-apa yang buruk berlaku," katanya mengingat kenangan lalu.

Setelah dua bulan berada di rumah ibu saudaranya akhirnya Abby menerima pelawaan sepupunya yang merupakan seorang pensyarah untuk menyambung pengajian di Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mengambil bidang pemasaran (Chartered Institut of Marketing CIM) nasibnya mula berubah apabila dia aktif di dalam bidang kebudayaan.

Bersama rakan-rakan ketika itu Abby pernah mewakili negara di dalam bidang tarian dan menyertai World Folk Festival yang diadakan di Portugal, Sepanyol dan Russia pada tahun 1988.

Pengalaman berada di tempat orang benar-benar berbekas di hatinya. Sebaik sahaja pulang daripada menyertai festival berkenaan minatnya terhadap bidang seni semakin menebal.

Ketika itu Abby memberanikan diri mengikut rakannya menghadiri uji bakat sebagai juruhebah intisari rancangan stesen RTM ketika itu.

Nasibnya baik apabila dia diterima bekerja manakala rakannya itu gagal di dalam uji bakat yang sama.

Hampir dua tahun menjadi penyeri stesen televisyen RTM akhirnya Abby diberi peranan yang lebih besar untuk menjadi pengacara rancangan Nada Budaya.

Ketika itu kebanyakan lepasan SPM di Malaysia berpeluang cerah untuk menyambung pengajian di luar negara. Sudah pasti peluang itu tidak mahu dilepaskannya begitu sahaja.

Namun sebagai anak dia akur apabila bapanya tidak mengizinkannya berbuat demikian.

Berkahwin & bercerai

Sebaik sahaja tamat pengajian Abby akhirnya memilih untuk menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihan hati pada tahun 1989.

Dia kemudiannya berhijrah ke United Kingdom (UK) mengikut suaminya (ketika itu) menyambung pelajaran. Hampir tiga tahun menetap di sana, lahirlah dua permata hati yang diberi nama Muhd. Afiq dan Muhd. Adli. Mereka sekeluarga pulang ke Malaysia pada 1992 dan bercerai pada 1993.

"Dulu saya ingat impian nak sambung belajar ke luar negara dah berkubur rupa-rupanya kena kahwin dulu barulah saya dapat duduk di sana seperti yang saya impikan.

"Saya sendiri tak pernah menyangka perjalanan hidup saya seperti diatur-atur. Belajar, berkahwin dan akhirnya bercerai selang beberapa tahun sahaja. Itu semua merupakan pengalaman berharga buat saya," jelas wanita yang dilahirkan pada tanggal 28 Ogos 1966 ini.

Mac ini genap 21 tahun wanita ini bergelar ibu tunggal dan pada tempoh masa berkenaan hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki lagi.

"Tak ada istilah serik atau takut untuk berkahwin lagi. Cuma saya selalu fikir panjang bila nak memulakan kembali kehidupan berumah tangga. Sudah pasti soal anak menjadi keutamaan berbanding perkara lain.

"Nak cari lelaki yang boleh terima saya dan anak-anak bukan perkara senang. Perkara itu yang selalu saya fikirkan sehinggalah hari ini. Seperti kata ustaz, jodoh Allah yang tentukan. Tak ada istilah serik sebab perkara itu tak patut wujud.

"Kalau ditakdirkan saya tak bertemu jodoh lagi sampai akhir hayat pun saya reda. Tapi apabila anak-anak semakin membesar saya mula rasakan kekosongan," katanya yang kini memelihara anak angkat Azra Qalilah, tiga tahun.

Keperitan

Membesarkan anak-anak bersendirian merupakan cabaran terbesar di dalam hidup juri program Pencetus Ummah ini. Walaubagaimanapun segala kepahitan berbayar apabila melihat anak-anak membesar di depan mata.

Dia masih ingat selepas fasa penceraian, hidupnya sedikit bergelora. Pernah bekerja dengan sebuah syarikat pengiklanan, Abby menerima bayaran sebanyak RM1,200 sahaja.

"Itulah duit nak beli susu anak, nak bayar sewa rumah dan nak hidup. Mujur keluarga bekas suami banyak membantu ketika saya menyewa rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Tak lama pun kerja di situ kemudian saya kerja juru alih bahasa rancangan kartun Jepun dengan syarikat Filem Karya Nusa pada tahun 1995. Waktu tu saya usung tilam dan botol susu ke pejabat sebab anak-anak ikut sama.

"Gaji waktu itu RM50 sehari. Nak buat alih bahasa bukan senang sebab perlu buat beramai-ramai sekali gus. Apabila salah kena ulang balik sebab teknologi tak canggih macam hari ini," jelasnya mengingat cerita lalu.

Tiada siapa menyangka akhirnya Abby memberanikan diri ke uji bakat stesen televisyen Metrovision (TV4) pada tahun yang sama.

Ketika itu dia begitu teruja apatah lagi menerima gaji bulanan secara tetap. Paling diingati apabila melihat slip gaji yang bakal memudahkan segala-galanya.

Di situlah kerjaya seninya berkembang apabila diterima sebagai wartawan penyiaran seterusnya menjadi penerbit sebelum stesen berkenaan gulung tikar dua tahun kemudian.

Kesinambungan

Untuk meneruskan hidup akibat tiada pekerjaan Abby pernah terlibat di dalam beberapa iklan termasuklah Campbell’s Soup, Taza Chicken dan banyak lagi.

Kemudian Abby mengorak langkah sebagai pembaca berita di stesen radio THR sebelum dipaksa menjadi penyampai radio bergandingan bersama Din Beramboi ketika itu.

"Sebenarnya saya tak ada keyakinan diri. Boleh ke saya buat? Tapi apabila keadaan memaksa dan terdesak semuanya perlu dilakukan. Saya beranikan diri hanya kerana anak-anak.

"Kalau tak kerana dipaksa oleh bos ketika itu tak mungkin saya menjadi penyampai radio. Paksaan itu yang akhirnya menjadi langkah pertama saya di dalam bidang ini," katanya.

Mengendalikan segmen Cik Seri Pagi (2000 -2004) ketika bersama THR, Abby sebelum itu pernah mengendalikan rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM) selama lima tahun.

Dia kemudian menjadi hos rancangan Malaysia Hari Ini (TV3) bermula tahun 2002 hinggalah 2011. Pada tahun 2006 dia bergelar penyampai radio Sinar FM sehingga hari ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.