saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 31/03/2014

Senario masih wujud

Senario

KALAU diperhatikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bidang komedi tanah air dilihat semakin berkembang pesat dengan hadirnya barisan para pelawak baru yang dilahirkan menerusi pelbagai program.

Lalu ini mengheret pemerhatian Pancaindera terhadap kumpulan Senario yang satu ketika dahulu mencetuskan fenomena dan populariti tersendiri. Ya, cuma dengan melawak dan menghiburkan masyarakat.

Menjadi antara produk paling laris di TV3, Senario cukup disayangi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. Baik kanak-kanak sehingga golongan dewasa. Tak pernah gagal menarik perhatian ramai.

Namun ada yang mendakwa sejak kebangkitan ramai pelawak baru, Senario seakan-akan sudah terkebelakang dan tidak relevan lagi. Berbanding dahulu, populariti mereka juga sudah berkurangan.

Menyatukan ketiga-tiga mereka dalam satu sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini, Senario yang dianggotai oleh Azlee, 47, Lan Pet Pet, 44, dan Wahid, 39, bagaimanapun tidak melihat situasi itu sebagai satu tekanan buat mereka.

Menurut Azlee, Senario berbangga menjadi antara perintis awal membuka lembaran dunia komedi alaf baru yang kemudiannya dicontohi oleh pelapis masa kini.

Tidak merasakan bahawa mereka tidak popular, Senario bagi Azlee, sudah ada tempat di hati masyarakat dan peminat masing-masing.

“Sama ada generasi lama atau baru, kami sudah bertapak di hati mereka. Saya tak rasa orang sudah lupakan Senario. Malah kalau ke mana-mana, masih ada orang kenal kami. Itu bermakna kami masih diterima ramai. Alhamdulillah, sudah 18 tahun kami bersama," katanya.

Kongsi Azlee dia percaya, nilai persahabatan yang terjalin antara mereka bertiga adalah penguat kepada jenama Senario itu sendiri selain kelebihan dan bakat yang mereka miliki.

“Tipulah kalau kami ini tak pernah bergaduh. Macam adik-beradiklah, kalau bergaduh pun tak lama. Biasanya kami bergaduh untuk benda-benda yang baik.

“Namun saya, Lan dan Wahid sebenarnya berterima kasih kepada pihak TV3 kerana percaya dengan kebolehan kami. Kebajikan kami dari dahulu sehingga sekarang terbela," katanya yang mengaku tidak akan dapat melupakan tuah menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan suatu ketika dahulu.

Pelawak sekarang beruntung

Menyifatkan generasi pelawak sekarang beruntung, menurut Lan Pet Pet, dia melihat situasi ini sebagai satu peluang yang baik buat pelapis baru.

Kata Lan, tugas melawak bukan senang kerana tanpa bakat dan kebolehan, agak sukar untuk menarik minat orang ramai.

“Pendek kata, pelawak kena faham apa itu komedi. Macam mana kita nak tarik hati pelbagai lapisan masyarakat? Macam kami ini cuba beritahu, apa saja watak yang kami belum pernah buat? Daripada jadi budak sehingga orang tua, daripada jadi manusia sampai pernah jadi binatang.

“Begitulah pengorbanan kami sepanjang karier. Namun apa yang penting, kalau nak masyarakat sayangkan kita, jangan pernah malu untuk mendekati dan bermesra dengan mereka. Ikhlas dan bukan berpura-pura," katanya.

Senang melihat perkembangan industri komedi tanah air yang disifatkannya sebagai satu persaingan yang sihat malah kata Lan, pelapis baru amat beruntung kerana seringkali mendapat habuan yang banyak menerusi kemenangan pada pertandingan yang disertai.

“Apa yang penting, saya harap pelapis pelawak baru kena pandai jaga hati masyarakat. Sebab kena ingat, kita naik juga kerana ada sokongan daripada peminat dan masyarakat," katanya.

Senario Toons

Membuktikan bahawa mereka mahu sentiasa terus berada di hati masyarakat menurut Wahid pula, Senario akan hadir dengan buah tangan baru untuk penonton dan peminat mereka.

Menerusi sebuah program animasi berjudul Senario Toons, Wahid, Azlee dan Lan Pet Pet akan dipaparkan dalam bentuk animasi seperti Upin dan Ipin yang mampu menarik seisi keluarga untuk menonton program baru TV3 itu nanti.

“Senario Toons akan memaparkan kami dalam bentuk kartun. Mengambil latar belakang kami semasa kecil, kami akan ‘kembali’ ke zaman kanak-kanak kami dengan suasana kampung dan penonton akan menyaksikan bagaimana gelagat saya, Lan dan Azlee semasa kecil.

“Kalau ditanya, untuk karakter Lan yang paling susah untuk dilakukan kerana semua orang tahu, Lan punya keunikan meniru bunyi trompet dan tak ada orang yang boleh lakukan itu selain dia sendiri.

“Bagi saya ini satu idea yang baik. Malah kami berbangga kerana TV3 memberi penghargaan sebegini kepada kami dalam memastikan jenama Senario sentiasa dikekalkan," katanya.

Bakal ditayangkan di TV3 pada pertengahan tahun ini kata Wahid, Senario Toons ini dijangka akan menjadi produk baru mereka selepas seringkali tampil dengan siri sitkom dan lebih kurang 11 buah filem sebelum ini.

“Ini satu perkembangan yang positif buat Senario kerana kita tak mahu orang bosan kami tampil dengan sitkom sahaja. Maknanya selain sitkom, kami juga ada produk animasi untuk tontonan seisi keluarga sekali gus boleh menarik lebih ramai peminat generasi muda terutamanya kanak-kanak, " katanya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.