saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 08/05/2014

Kaki Hamid kena potong

HAMID (kanan) menunjukkan kaki kanannya yang menggunakan kaki palsu di samping Ramli Sarip selepas Konsert Blues Buat Teman Tour 2014 baru-baru ini.

PADA usia 63 tahun, Hamid Ahmad seperti tidak dimamah usia. Malah, angka itu juga seakan-akan tidak sepadan dengan raut wajah dan staminanya sebagai pemuzik handalan di mata para peminat.

Pemain gitar bass kumpulan Black Dog Bone (BDB) ini misalnya, kelihatan sentiasa muda dan bertenaga. Paling ketara sewaktu dia beraksi di atas pentas-pentas persembahan sejak dari awal tahun 1970-an sehinggalah ke hari ini.

Bagaimanapun, bak kata pepatah, malang tidak pernah berbau. Pada masa sama, Hamid juga tidak boleh menduga pada suatu hari dia akan diuji dengan dugaan yang besar dalam hidupnya.

Dalam hal ini, pemuzik berasal dari Geylang Serai, Singapura ini tentunya sukar melupakan tarikh 2 April lalu. Ini kerana, pada tarikh itulah bermulanya suatu episod yang baharu dalam hidupnya apabila sebelah kakinya terpaksa dipotong.

Menurut Hamid, kaki kanannya terpaksa dipotong atas nasihat doktor kerana dijangkiti kuman sekembalinya dia dari mengadakan persembahan di China pada pertengahan Mac lalu.

“Saya tiada pilihan lain. Kalau tidak dipotong kuman yang ada di kaki kanan saya itu kata doktor akan merebak ke bahagian-bahagian lain. Kesannya akan lebih membahayakan kerana ia akan membabitkan bahagian badan yang lain.

“Difahamkan jangkitan kuman pada kaki saya itu berlaku sewaktu saya berada selama hampir dua minggu kerana mengadakan persembahan di Chengdu, wilayah Sichuan, China.

“Dalam kunjungan itu, saya mengadakan persembahan bersama beberapa orang pemuzik dari Singapura. Saya pun kurang pasti bagaimana jangkitan kuman itu berlaku. Dua hari sebelum balik ke Singapura barulah ia dapat dikesan.

“Ketika itu, saya dapati jari-jari kaki kanan saya mula bertukar ke warna kemerah-merahan dan kehitam-hitaman. Selepas menjalani pemeriksaan doktor kata kaki saya kena jangkitan kuman.

“Atas nasihat doktor itulah maka saya tiada pilihan lain dan kaki kanan saya daripada bahagian lutut dan ke bawah telah pun dipotong bagi mengelakkan kuman itu melarat ke anggota badan yang lain," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Kurang upaya, ganggu persembahan

Bapa kepada seorang anak perempuan, Tamara, 32, ini mengakui dia kini bukan sahaja berada dalam kategori warga emas, malah pada masa sama boleh dikategorikan sebagai golongan orang kurang upaya ataupun OKU.

Setelah lebih sebulan menjalani pembedahan bagi memotong bahagian bawah kakinya itu, Hamid mula merasai keperitan untuk bergerak ke sana ke mari dalam menjalani kehidupannya seharian.

“Walaupun baru sebulan lebih saya tiada kaki sebelah tetapi saya dapat rasakan kesukarannya untuk bergerak.Saya sudah tidak boleh aktif macam dulu lagi. Sekarang ini, kalau mahu berjalan jauh saya terpaksa menggunakan tongkat.

“Mujurlah saya ada sebuah motosikal yang telah diubah dengan ditambah lagi dua roda menjadikannya empat roda. Motosikal itu saya gunakan di Singapura setiap kali saya mahu menunaikan solat Jumaat di Singapura.

“Selepas 63 tahun hidup di dunia ini, barulah hari ini saya dapat rasakan sendiri betapa susahnya berjalan dengan sebelah kaki. Apapun saya tetap bersyukur sebab masih ada lagi sebelah kaki.

“Cuma saya ada sedikit masalah kalau mahu berjalan jauh kerana terpaksa menggunakan tongkat. Pada masa sama, ia juga menyebabkan saya cepat berasa penat apatah lagi pada usia sebegini," ujarnya dalam nada perlahan.

Sungguhpun dalam kategori OKU tetapi itu semua tidak mematahkan semangat Hamid. Dia boleh dikategorikan berjiwa kental kerana muzik adalah sebahagian daripada hidupnya.

Justeru, biarpun hanya mempunyai sebelah kaki, namun pemuzik yang masih mengekalkan rambutnya yang panjang sehingga ke paras bahu sejak tahun 1975 hingga kini itu masih bersemangat untuk bermain muzik.

Sebab itu, tidak hairanlah walau ke hujung dunia mana sekalipun Hamid tidak keberatan untuk menyertai BDB dalam persembahan pentas yang diadakan sejak kebelakangan ini.

“Memanglah kekurangan saya ini sedikit sebanyak akan mengganggu persembahan bersama BDB. Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengadakan persembahan termasuklah di luar negara seperti di Malaysia.

“Contohnya baru-baru ini, saya telah mengikuti BDB mengadakan persembahan di Bintulu, Sarawak walaupun terpaksa bergerak ke sana dengan menggunakan kerusi roda.

“Saya memang boleh bermain bass di atas pentas walaupun terpaksa bertahan dengan kaki palsu. Cuma saya tidak boleh berdiri lama-lama di atas pentas dan terpaksa bermain bass dengan duduk di atas kerusi kalau terlalu penat," jelasnya.

Kata Hamid, mujurlah isterinya, Masrinah Ahmad, 53, memahami keadaan dirinya yang begitu komited sebagai bassis BDB meskipun bersimpati dengan keadaan fizikal dirinya itu.

Terharu diberi penghargaan

Selain menjadi pemain bass BDB, Hamid juga sebenarnya merupakan pemuzik yang cukup versatil kerana dia turut menyertai beberapa buah kumpulan pelbagai genre muzik di Singapura.

Dia yang dilahirkan pada 20 September 1950 misalnya, juga merupakan pemain bass jemputan kumpulan rock Sweet Charity yang diterajui oleh Datuk Ramli Sarip dalam banyak persembahan yang mereka adakan sebelum ini.

Sebagai vokalis utama kumpulan rock legenda dari Singapura itu, Ramli tetap tidak melupakan sumbangan Hamid dalam menghidupkan persembahan kumpulan tersebut.

Lantaran itulah, pada Konsert Blues Buat Teman Tour 2014 yang diadakan di Persada Johor, Johor Bahru minggu lepas, Papa Rock itu telah menjemput Hamid sebagai khasnya pada konsert selama hampir dua jam itu.

“Saya jemput Hamid menyaksikan konsert ini sebagai tanda penghargaan untuk Hamid kerana dia pernah menjayakan persembahan-persembahan saya bersama-sama Sweet Charity sejak dari dulu lagi.

“Selain Hamid, saya juga tujukan konsert ini untuk kawan-kawan saya yang lain termasuklah Allahyarham Samad Mian iaitu bekas gitaris kumpulan Lefthanded dan Yazit Search.

“Sebab itulah, saya gunakan judul konsert ini Blues Buat Teman yang mana Hamid adalah salah seorang yang saya tujukan untuk konsert ini. Mereka juga pernah terbabit dalam pembikinan album saya suatu ketika dulu," ungkapnya.

Hamid yang telah bermain muzik sejak 45 tahun lalu duduk makan semeja dengan Ramli selepas konsert itu tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya akan penghargaan tersebut yang begitu bermakna dalam kerjayanya.

Menurut rocker warganegara Singapura itu, pada konsert itu dia telah melelong beberapa barangan peribadinya kepada para penonton termasuklah potret dan tamborin yang mana sebahagian daripada hasil jualan itu akan disumbangkan kepada golongan terbabit.

“Tamborin itu saya jual dengan harga RM1,500 walaupun harga asalnya jauh lebih rendah daripada itu. Cuma pada tamborin itu saya suruh pelukis lukis gambar dengan corak-corak tertentu agar ia nampak lebih menarik.

“Begitu juga dengan sekeping potret lukisan gambar saya yang saya jual dengan harga RM700 serta potret anggota The Beatles, John Lennon yang juga saya jual dengan harga RM350 dalam lelongan selepas konsert itu," ujarnya.

Kata Ramli, pada konsert anjuran syarikatnya, Rasa Muzik Sdn. Bhd. yang menampilkan Ayai Ilusi itu, dia telah menyediakan tempat khas bagi Hamid dan Yazit bersama ahli-ahli keluarganya menyaksikan konsert tersebut.

Kehadiran pemain bass dan dram terkenal itu sebagai tanda penghargaannya atas sumbangan mereka yang telah turut sama-sama berjuang dalam bidang muzik tempatan sejak lebih 30 tahun yang lalu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.