saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 13/05/2014

Shiro rindu kerja lama

SAUDARA sepupu yang satu 'kepala' sedari kecil.

TAHNIAH, anda berjaya ke pusingan seterusnya! Itu ungkapan yang masih terngiang-ngiang di minda dua anggota kumpulan Shiro iaitu Shahrol dan Ajak selepas mereka dipilih untuk menyertai sebuah program realiti lawak.

Kehadiran mereka di pentas komedi telah mewujudkan fenomena. Ternyata gabungan idea dua anak muda ini berjaya meletakkan elemen lawak di suatu tahap yang tinggi sehingga mendapat tempat di hati peminat.

Gabungan Shiro yang disepakati daripada Shahrol dan Ajak meledakkan nama mereka sebagai pelawak baharu di persada seni sehingga kedua-duanya begitu sinonim dengan nama itu pada setiap kemunculan.

Mengecapi populariti hasil daripada kemantapan lawak secara duo, dua lelaki kelahiran Johor ini sebenarnya tidak pernah menyesal tentang peralihan mereka daripada pekerjaan tetap kepada dunia yang lebih mencabar - berlakon dan berlawak.

“Hari ini, rasanya tidak ada sebab untuk saya menyesal. Apa yang saya peroleh hari ini juga sudah cukup untuk membahagiakan diri sendiri dan keluarga.

“Lagipun, isteri saya banyak memberi sokongan selepas mengambil keputusan untuk berhenti daripada menjadi anggota tentera," tutur Ajak yang pernah menjadi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Begitu juga dengan Shahrol yang pernah bekerja sebagai pegawai imigresen, dia mengakui selesa dengan dunianya sekarang dan berjanji untuk meneruskan perjuangan seni bersama Ajak.

Katanya, itu pilihan yang sudah diambil demi meneruskan cita-cita sebagai seorang pelawak.

Cuma, ada satu benda yang masih lagi menjadi 'mimpi' dan 'igauan' pada mereka iaitu kerinduan. Ya, rasa rindu kepada pekerjaan lama.

Sudah setahun melepaskan kerja masing-masing, Shahrol mula menitipkan rasa rindunya terhadap tugas lama tatkala menyambung bicara.

“Saya meletakkan jawatan sebagai seorang pegawai imigresen sejak pertengahan tahun lalu. Sebenarnya saya sedih kerana terpaksa meninggalkan kawan-kawan seangkatan. Sebelum ini, semasa menyertai Raja Lawak 6, kami sebenarnya mengambil pelepasan cuti tiga bulan tanpa gaji.

“Habis sahaja program tersebut, kami menyambung kembali tugas dan hanya menerima tawaran persembahan pada hujung minggu tetapi merasakan terlalu banyak beban yang perlu ditanggung sehingga mengambil kata putus untuk meletak jawatan.

“Bohong kalau kata saya tidak rindu. Saya rindu suasana kerja dan gelagat serta telatah kawan-kawan yang sudah saya kenali lima tahun sejak menyertai Jabatan Imigresen pada 2007," katanya.

Bagi Ajak pula dia juga sebenarnya sayang akan pekerjaan lamanya. Lapan tahun menyertai TLDM, Ajak sememangnya menyimpan pelbagai kenangan yang tidak boleh dilupakan sehingga sekarang.

“Tempoh lapan tahun berada di TLDM memang satu jangka masa yang sangat lama. Sudah banyak perkara yang saya lalui bersama rakan-rakan.

“Menyertai TLDM mengajar saya erti kesabaran. Ingat lagi apabila saya mula menyertai latihan selama lebih enam bulan saya tidak berhubung dengan dunia luar. Tidak boleh mempunyai sebarang alat komunikasi. Masa itulah saya seakan-akan tidak mengenali siapa yang berada di luar sana.

“Pengalaman itu menjadi bekalan saya ketika sudah melibatkan dalam dunia hiburan," jelasnya yang menyertai TLDM sejak usia 18 tahun.

Tanggung risiko

Tidak pernah meletakkan dirinya untuk menjadiorang lain, Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanffi Razak, 28, berani untuk menanggung risiko dengan pilihan yang yang diambilnya sekarang.

“Bergelar pelakon atau pelawak bukan kerja yang mudah. Kita perlu sentiasa ada cara tersendiri dalam mengekalkan momentum untuk memberikan persembahan berkualiti kepada penonton.

“Puaskan hati penonton itu yang penting. Saya berani ambil risiko ini kerana ini minat saya. Saya sertai Raja Lawak dulu pun bukan kerana paksaan," kata bapa kepada Jadthaqif, 3, dan Hadthaqif, 1.

Sedar dan tahu apa yang dipilih, Ajak juga berkata, apa yang dibuatnya adalah khas buat keluarganya dan meletakkan kesibukan bukan penghalang untuknya sentiasa bersama isteri dan anak.

“Sebelum ini, memang saya selalu berpisah dengan isteri semasa menjadi anggota tentera. Saya akan belayar jauh sehingga sebulan meninggalkan isteri dan anak pertama ketika itu.

“Rasanya kesibukan itu tidak menjadi alasan kerana saya akui meletakkan diri sebagai pelakon juga membuatkan saya sentiasa sibuk. Apabila memilih dunia lakonan, saya ingatkan masa yang diluangkan bersama isteri akan banyak, rupa-rupanya sama juga seperti sebelum ini.

“Tapi semua itu, tidak akan saya abaikan, saya tetap akan mencuri masa seketika untuk bersama isteri dan anak-anak. Nasib baik isteri saya faham apa yang saya lakukan," tuturnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.