saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 25/05/2014

Abang Long Fadil sentuhan ala Hollywood

Antara babak menarik di dalam filem kedua arahan Syafiq Yusof ini.

SELEPAS meraih kejayaan dari segi kutipan menerusi filem KL Gangster 1 dan 2, Skop Production tampil pula dengan filem Abang Long Fadil. Filem ini dijangka mampu memancing penonton sekaligus mencatat kutipan besar apabila ditayangkan 29 Mei ini.

Walaupun filem-filem Skop Production diperdebatkan tahap kualitinya tetapi dari sudut perniagaan, Skop Productions telah membuktikan kejayaan.

Filem Abang Long Fadil sekual KL Gangster yang diarahkan oleh Syafiq Yusof ini bagaimanapun tidak lagi menempatkan Aaron Aziz sebagai pelakon utama. Sebaliknya ditampilkan watak Fadil lakonan Zizan Razak.

Filem ini yang turut dibintangi oleh Syamsul Yusof, Kamal Adli, Soffi Jikan, Tauke Raja Lawak, Yassin Senario, Arman Graseka dan Harun Salim Bachik ini digarap dalam bentuk komedi aksi dan satu kelainan kalau dibandingkan dengan KL Gangster. Namun naratifnya tidak lari daripada KL Gangster yang berpusat kepada dunia gelap gangster.

Difahamkan Abang Long Fadil menyelitkan elemen Hollywood yang diharap mampu menarik penonton ke panggung walaupun bukan genre gangster seperti Hollywood.

Penonton tempatan yang tidak terdedah dengan filem gangster Hollywood sudah pasti menerima baik filem ini yang ringan apa lagi diselitkan dengan komedi.

Sedia disaman Michael Bay - Syafiq

Filem ini merupakan arahan kedua Syafiq selepas Saya Amat Mencitaimu (S.A.M) pada tahun 2012. Dia mendakwa penyampaiannya lebih kepada gaya Hollywood yang disuntik ke dalam filem ini.

Memasukan visual CGI memang menjadi fenomena filem tempatan. Filem ini juga tidak terkecuali malah ada elemen Bumblebee (Transformers) dan Iron Man misalnya memberikan kejutan dalam filem tempatan.

"Ada yang bertanya, tak bimbangkah jika saya disaman oleh Michael Bay sebab gunakan idea Tranformers dalam filem ini. Saya rasa kalau ia berlaku, menarik juga. Kiranya dia pun tengok filem Melayu, " jawab Syafiq.

Wow Michael Bay menonton filem Melayu, pandai Syafiq membuat kelakar.

"Sebenarnya paparan Transformers atau Iron Man dalam filem ini diubahsuai dan ia tidak 100 peratus sama dengan yang asal. Ia dipaparkan untuk babak semasa Fadil sedang berangan beraksi melawan gengster," katanya.

Menggunakan hampir 40 peratus visual CGI, menurut Syafiq , ini dihasilkan berdasarkan inspirasinya menerusi filem-filem seperti Bad Boys, Kung Fu Hustle dan Padayappa.

Selain itu, menurut Syafiq, filem ini juga menggunakan sepenuhnya kamera digital yang dikatakan lebih menjimatkan belanja dan masa penggambaran.

Dengan belanja hampir RM3 juta, Syafiq bagaimanapun tidak menyentuh soal pulangan kerana baginya ini adalah usaha untuk menyajikan filem yang lebih berkualiti dengan idea baru dan menarik.

"Saya tak letak sasaran pulangan pun. Yang penting, saya boleh sajikan kepada penonton filem yang bermutu dan orang kenal filem saya. Kalau dapat pulang modal sahaja pun saya sudah bersyukur," katanya.

Aaron Aziz

LPF? Fikirlah sendiri - Yusof Haslam

Di sebalik kegembiraan melihat Syafiq tampil dengan filem terbaru, penerbit filem ini Yusof Haslam tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) gagal memberi klasifikasi yang tepat kepada filem tersebut.

Bercakap di atas kapasiti sebagai Presiden Persatuan Pengeluar Filem (PFM) , Yusof ternyata kesal dengan tindakan LPF yang telah meletakkan filem ini di bawah klasifikasi 18PL atas alasan yang tidak relevan.

"Saya tak faham apa yang mereka fikirkan kerana menurut hemat saya filem ini tidaklah mengandungi babak ganas yang melampau. Kalau kita lihat filem luar contohnya Godzilla, lebih banyak babak ganas dimasukkan tetapi boleh lepas pula.

"Dalam keadaan filem tempatan yang merudum sekarang, saya rasa perkara ini tidak sepatutnya berlaku. LPF kononnya bertegas tetapi seperti tidak kena pada tempat. Kalau betul nak bantu membangunkan industri filem tempatan, bukan begini caranya. Fikirlah sendiri.

"Saya difahamkan mereka dah tiga kali menonton dan meneliti filem ini dan klasifikasi itu yang dikatakan sesuai untuk Abang Long Fadil. Saya dah tak kuasa nak naik turun jumpa LPF di Putrajaya untuk merayu perkara yang sama. Saya cuma berharap agar perkara ini diteliti dengan sebaik mungkin," katanya.

Kata Yusof, sebagai orang lama dalam industri, dia tahu babak mana wajar atau tidak wajar dalam sesebuah filem yang dihasilkan dan bukannya bersikap lepas tangan.

"Sayang sekali bila mana ada sembilan babak dalam filem ini telah dibuang sedangkan babak-babak itu bagi saya cukup melucukan dan menghiburkan. Tetapi, pihak LPF berpendapat ia mengandungi unsur jenaka 'double meaning' . Kita tak boleh nak buat apa melainkan terpaksa akur dengan keputusan mereka itu.

"Padahal kalau kita lihat ada sesetengah drama TV bahkan di laman sosial juga secara terbuka memaparkan unsur-unsur lucah yang melampau tidak pula disekat dan boleh pula terlepas," katanya kecewa.

Kamal Adli selesa

Memegang watak sebagai Adam dalam filem ini, pelakon Kamal Adli mendakwa dia memberi persembahan yang baik dalam aksi-aksi yang ditonjolkan.

Mengaku selesa membawa watak sebegitu, kata Kamal, dia berbangga kerana diberi peluang untuk menonjolkan kebolehannya melakonkan babak aksi .

"Bekerja dengan pengarah muda seperti Syafiq tidak sukar kerana dia memang ringkas sahaja orangnya namun tahu apa yang dia mahukan dalam pengarahannya.

"Untuk filem ini kalau dilihat ada sentuhan Stephen Chow, macam dalam Kungfu Hustle. Tapi watak saya tidaklah meniru seratus peratus aksi Stephen dalam filem itu. Kita cuma ambil moodnya sahaja.

"Dalam filem ini saya pun ada buat lawak juga, tetapi tak boleh melebih-lebih sebab watak utamanya adalah Zizan. Kalau saya pun buat lawak sama naik dengan Zizan, tak kena pula. Namun, apa pun, saya puas hati dalam terlibat dalam filem ini," katanya.

Kamal yang turut dikenali dengan drama aksi , Jiwa turut bersyukur kerana diberi peluang muncul di layar perak.

"Saya dah lama menunggu watak begini di layar perak. Akhirnya diberi peluang dan lepas ni kalau orang kenal saya degan watak Adam pun saya tak kisah. Sebelum ni pun saya dah biasa orang panggil saya Jiwa penangan drama itu yang baru sahaja tamat pada minggu lepas," katanya yang pernah mengalami kecederaan lutut semasa menjalani penggambaran Abang Long Fadil.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.