saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 06/07/2014

Raja Azura Dipukul dengan palang pintu

KALAU sudah dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai ramai anak lelaki, adik yang perempuan sedikit sebanyak terpengaruh untuk menjadi seorang yang aktif dan lasak.

Itu kebiasaan senario yang berlaku dan diakui sendiri oleh pelakon, pengacara dan penyampai radio popular tanah air, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin.

Ketika diminta untuk berkongsi cerita tentang pengalaman masa kecilnya, wanita yang mesra disapa Kak Engku atau KE ini segera tertawa tatkala mengingat segala keletah dan gelagatnya di zaman kanak-kanak.

"Saya ini buas!" ujarnya ringkas cukup untuk menggambarkan bagaimana nakalnya KE ketika kecil.

Menyorot kembali zaman kanak-kanaknya kata KE, dia cenderung untuk melakukan aktiviti budak lelaki. Baginya itulah yang memberikan keseronokkan sebenar berbanding melakukan semua yang lazim dilakukan budak perempuan sebayanya.

Lupakan saja permainan seperti pondok-pondok, anak patung dan sebagainya. Anak kecil ini mahu yang lebih ekstrem!

"Namakan apa sahaja panjat pokok, main tanah, main dalam perigi, semua saya pernah buat. Kalau ikutkan memang nakal sungguh saya ini.

"Saya masih ingat satu ketika, saya pernah ikut abang yang sulung main di perigi. Kami siap potong batang pisang dan jadikan pelampung. Perigi itu bukan milik kami tetapi jiran punya.

"Bukan main seronok tunggang terbalik dalam itu, tak sedar waktu sudah lewat. Cepat-cepat kami berlari ke rumah. Tetapi tak tahu pula ‘bala’ sudah sedia menunggu di pintu rumah.

"Rupanya mak dapat tahu yang kami pergi ke perigi itu. Jadi apalagi sampai sahaja di rumah saya dan abang kena bantailah (pukul). Nak tahu mak pakai apa? Palang pintu rumah. Habis berbirat badan," katanya.

Kenakalan KE semasa kecil tentu sekali tidak terhenti di situ malah anak keempat daripada lima beradik ini sudah tahu untuk hidup berdikari. Pendek kata semua perkara hendak dilakukannya sendiri tanpa mahu dibantu orang.

"Pernah satu ketika, semasa itu (esoknya) semua umat Islam nak sambut raya Aidilfitri. Saya dah cakap dengan mak, mahu potong rambut. Tetapi kerana tak sabar, saya masuk dalam bilik, ambil gunting dan gunting rambut sendiri.

"Bayangkan apalah yang budak seusia saya tahu. Dalam fikiran kononnya sudah rasa hebat sangatlah dengan gaya rambut macam itu.

"Saya tunjuk pada mak ‘rambut’ baru saya. Mak punyalah terkejut dan kemudian orang tua itu pun naik hantu. Mana taknya, rambut saya tobek sana sini. Dah tak ada rupa rambut.

"Mak tak cakap banyak terus heret saya ke kedai gunting. Esoknya saya beraya dengan rambut pendek. Sebiji macam budak lelaki," katanya yang pernah bersekolah di Sekolah Rendah Teluk Gadong, Klang, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam, Selangor.

Kata pelakon yang berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor ini, mujurlah sikap degil dan kenakalannya itu tidak diwarisi oleh tiga anaknya, Megat Muhammad Raziq, 11, Megat Luqman Hakim, 10 dan Puteri Mkia Maizurah, 7.

lengkapkan diri

Ketika ditanya saat bilakah kali pertama dia mula jatuh hati dalam dunia lakonan, wanita itu mengakui bahawa minatnya sudah bercambah sejak kecil.

KE memberitahu, dia sering kali terpesona dengan cara dan gaya lakonan pelakon zaman dahulu yang baginya lebih asli dan mengesankan.

"Selalu melihat cara mereka berlakon, saya tanam minat untuk menjadi seorang pelakon satu hari nanti. Bukan untuk glamor tetapi mahu tunjuk bakat.

"Menjadi anak saudara kepada Allahyarham Raja Ismail Raja Saat juga memberi kelebihan kepada saya. Dia seorang pengarah terkenal waktu itu. Dia tahu saya minat dengan dunia lakonan maka dialah antara orang pertama yang bertanggungjawab menggilap bakat saya.

"Dia rajin bawa saya ke set penggambaran. Memberi peluang kepada saya untuk memerhati dengan terperinci apa yang orang belakang tabir lakukan. Satu demi satu saya perhatikan sehinggalah saya akhirnya diberi peluang untuk berlakon dalam filem pertama saya.

"Di bawah pengarahan Raja Ismail, saya mula dikenali menerusi filem berjudul Ragam Pemandu pada 1989. Semasa itu umur saya baru 17 tahun. Saya masih ingat bertapa terujanya saya dapat berlakon dengan pelakon Aznah Hamid. Dia popular tahu!" katanya yang kemudian hebat beraksi untuk filem Riang Tirana (1990), Juara (1991), Pemburu Bayang (1993), Jimi Asmara (1995) dan Debu-Debu Kasih (1995).

Selain itu filem lain yang menyaksikan bakat lakonan hebat KE ialah Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), filem animasi Putih (2001), Cinta 200 Ela (2002) dan Pontianak Harum Sundal Malam 2 (2005).

Kongsi KE lagi, menanam hasrat untuk menjadi seorang pelakon yang serba boleh, dia mula berjinak-jinak dengan dunia nyanyian selepas selesa berlakon.

Album pertama yang memperkenalkan KE sebagai penyanyi adalah menerusi penghasilan album berkonsep pop malar segar berjudul Dan Bunga-Bunga Berguguran pada 1997.

Paling mengujakan waktu itu apabila dia dapat menyanyikan semula lagu berjudul Kalau Rindu nyanyian idolanya, Datin Rafeah Buang.

"Pernah orang tanya kenapa saya berlakon, kemudian menyanyi dan menari. Pendek kata semua saya buat. Satu jawapan saya, kalau mahu jadi orang seni, kena tahu semua.

"Tengok artis dulu-dulu, semua boleh buat. Berlakon, menyanyi, menari. Itu kualiti yang perlu ada dalam setiap artis. Tak ada siapa yang suruh saya buat begitu tetapi kesedaran itu datang dengan sendiri," katanya.

Menganggap pelakon generasi kini perlu ada kualiti yang serupa, kata pemegang watak Dewi Bencana dalam Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad ini, dia juga terkilan memerhatikan senario dalam dunia lakonan sekarang yang lebih mementingkan rupa paras berbanding mutu lakonan.

Dalam pada itu kata KE, karakter humor, bersahaja dan sentiasa melucukan itu juga diwarisi daripada arwah bapa saudaranya itu yang juga merupakan seorang pelawak terkenal satu ketika dahulu.

Tiada istilah berhenti

Mengorak langkah dan berjaya mencipta populariti sebagai pengacara dan penyampai radio Sinar FM, KE mengakui dua bidang ini paling melekat di hatinya sebagai anak seni berbanding nyanyian dan lakonan.

Kata bekas pengacara Melodi ini, sesuai dengan faktor usia, dia menganggap kerjayanya sebagai seorang penyampai radio lebih menepati waktunya memandangkan dia juga dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai ibu.

"Lagi satu jadi penyampai radio ini, saya tak perlu nak fikir perlu bersolek atau tidak. Tiada siapa nak tengok saya di konti pun," ujarnya berseloroh.

Meluahkan rasa hati kata KE lagi, dia tahu ada yang mungkin bertanya sampai bila dia mahu terus berada dalam industri sedangkan semakin ramai pendatang baru yang cuba meloloskan diri dalam dunia penuh persaingan ini.

Baginya selagi dia ikhlas untuk bekerja, langsung tidak terfikir untuk berhenti dan melupakan dunia seni.

"Tak ada istilah berhenti. Selagi saya masih diperlukan, selagi saya mahu terus bekerja, saya akan terus bekerja. Saya buat demi mencari rezeki yang halal. Untuk saya, untuk keluarga, untuk anak-anak.

"Saya percaya, kalau kita ikhlas, rasa nak berhenti itu tak akan pernah wujud. Mungkin pelapis pelakon sekarang boleh tanamkan hal yang serupa agar boleh maju jaya dan terus bertahan dalam dunia hiburan," katanya yang sering dijemput untuk menjadi pengacara di majlis-majlis besar dan berprestij tanah air.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.