saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 30/07/2014

Ceritera Aidilfitri Celepets

MEREKA menggelarkan diri mereka Celepets (selebriti yang memelihara haiwan). Peluang untuk mengumpulkan mereka ini memang satu momen yang cukup indah.

Bila bertemu, ada sahaja cerita yang dikongsi oleh kumpulan selebriti ini. Tidak kering gusi apabila bersama mereka. Biar sesunyi mana pun tempat itu, pasti akan dimeriahkan dengan gelak tawa masing-masing.

Atilia, Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Yasmin Hani, Daphne Iking, Dynas dan Serina C adalah sahabat ketika suka dan duka yang bersatu dalam Celepets. Namun, hanya lima daripada tujuh ahli kumpulan tersebut dapat dirakamkan gelagat mereka semasa sesi fotografi sempena Hari Raya diadakan.

Tanpa kehadiran Atilia (kini berada di Thailand) dan Serina C (dalam pantang), keakraban dan kemesraan mereka sebagai sahabat baik tidak berkurang.

Itu yang melahirkan rasa kekaguman apabila bersama mereka. Apa yang pasti, kesemua mereka mengakui hubungan kawan lebih daripada lima tahun itu pastinya dizahirkan melalui sikap toleransi. Biarpun setiap kali Hari Raya, kumpulan ini tidak dapat bertemu dan mengunjungi rumah sesama mereka, namun semuanya ada cerita Aidilfitri menarik yang dapat dikongsi.

Dynas sambut orang baharu

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, pelakon Dynas Mokhtar,31, akan pulang ke kampung di Tapah, Perak bagi menyambut hari raya bersama keluarga tercinta.

Paling istimewa, kepulangannya ke kampung halaman kali ini cukup meriah apabila keluarga mereka menyambut dua orang baharu.

Pertama, kata Dynas, adik lelakinya baru sahaja menimang seorang bayi perempuan, manakala kakaknya pula menunggu masa untuk bersalin.

"Kelahiran dua anak saudara yang baru itu akan menambahkan lagi keceriaan keluarga kami. Ahli keluarga makin bertambah, keluarga kami pastinya semakin bahagia.

"Saya adalah orang yang paling gembira sekali selain ayah dan ibu. Saya suka jaga budak-budak. Tentu sekali saya akan menjaga mereka (anak saudara) ketika ada yang sibuk di dapur.

"Tapi, saya sendiri juga akan membantu. Kadang-kadang saya juga akan menggunakan alasan menjaga budak kecil untuk tidak memasak di dapur," katanya berseloroh sambil memberitahu persiapan raya kali ini sangat sederhana.

Ibu kepada dua orang anak ini turut melahirkan rasa rindunya kepada nenek yang sudah meninggal beberapa tahun lalu setiap kali di Hari Raya.

"Nenek adalah orang paling rapat dengan saya. Tahun ini sekali lagi tiada kuih tradisional di rumah saya. Kalau sebelum ini nenek masih ada, dialah orang yang paling rajin membuat bahulu berbentuk ikan," katanya yang juga pergi berkelah bersama keluarga di air terjun berdekatan kampungnya pada hari raya lalu.

Nilai hari raya Yasmin

Tahun sebelum ini, Yasmin Hani hanya beraya bersama suami, Sha’arin Razali tetapi tahun ini raya akan disambut bertiga apabila hadirnya seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Ismail Wong yang kini berusia sembilan bulan.

"Pastinya setiap tahun raya saya semakin meriah selepas berkahwin tiga tahun lalu. Dulu seorang, lepas tu bersama berdua dan sekarang bertiga. Apa-apa pun kami raikan Syawal itu dengan sederhana.

"Tiada baju-baju mahal yang disediakan. Untuk anak, saya hanya sediakan sepasang baju Melayu dan sepasang jubah. Bukan apa, saya tidak suka membazir ketika beraya.

"Cukuplah ia disambut dengan ala kadar. Pagi tu pergi masjid lepas tu ada majlis makan-makan bersama keluarga yang berkumpul. Itu sudah memadai. Lepas tu bagi lagi duit raya kepada budak-budak kecil.

"Semua itu adalah kewajipan di hari raya. Tidak perlu besar-besar. Buat apa nak mahal-mahal. Bagi, saya saya tidak sabar untuk makan ala-ala (sejenis rendang) yang dimasak oleh emak," kata Yasmin yang menyambut raya lalu di kampungnya di Jeram, Kuala Selangor.

Beraya kampung suami

Jika pada hari raya pasti pasangan suami isteri akan berebut-rebut untuk balik ke kampung masing-masing tetapi raya lalu, Sazzy Falak terpaksa akur apabila mereka sekeluarga beraya di kampung suaminya, Nazril Idrus di Port Dickson.

"Setiap tahun, kami akan bergilir-gilir untuk sambutan hari raya di kampung masing-masing. Memang sudah ditetapkan perkara itu, jadi saya dan suami tidak perlu bergaduh.

"Raya tahun ini saya sendiri yang menyiapkan baju-baju raya untuk suami, anak kembar kami, termasuk diri sendiri. Memang suami berikan kepercayaan itu untuk saya uruskan semuanya," kata ibu kepada pasangan kembar, Lilly dan Tiara Rose, 3.

Bercerita mengenai makanan kegemaran di hari raya, pengacara dan pelakon popular ini berkata, sebolehnya dia mahu mengelak mengambil makanan berasaskan daging.

"Saya hanya akan makan sayur dan semua keluarga tahu mengenai perkara itu. Setiap hari raya juga saya yang akan membeli kuih-kuih raya.

"Kalau di hari raya juga, suasana rumah nenek di Ampang memang meriah. Kami akan masak bersama dan mengadakan rumah terbuka. Sebelum itu, kami akan mengacau dodol bersama-sama. Ada juga yang akan memasak rendang," katanya.

Jahit baju sendiri

Lima tahun sudah memeluk agama Islam, Daphne Iking menganggap sambutan hari raya ada keistimewaannya tersendiri.

"Memang meriah sambutan raya. Semua sanak-saudara sama-sama berkumpul bagi meraikan Aidilfitri. Paling penting, memohon keampunan pada pagi raya daripada orang yang lebih tua. Itu juga yang saya ajar kepada anak saya.

"Untuk raya tahun ini, saya jahit baju saya sendiri. Ada juga yang dibeli. Tidak seperti orang lain, saya tidak gemar untuk membeli berpasang-pasang baju kurung.

"Ini kerana saya hanya akan memakai baju kurung pada pagi raya sahaja," tutur wanita berketurunan Kadazan Dusun ini.

Beraya di kampung saudara suaminya di Kuala Kangsar pada 1 Syawal lalu, Daphne sebenarnya penggemar biskut-biskut raya.

"Saya memang suka makanan manis. Jadi, segala jenis kuih raya akan saya makan dan paling saya suka ialah kuih makmur," katanya yang sedang menikmati percutian bersama rakan baik Yasmin Hani di Pulau Redang pada hari ini.

Tunggu kepulangan abang

Satu sahaja yang dipinta wanita kelahiran Ipoh, Perak ini. Kehadiran abang tercinta di pagi Syawal adalah sesuatu yang dinantikan. Pelakon dan pengacara Aishah Sinclair mengakui dia setia menanti kepulangan abangnya, Ashraf Sinclair dari Indonesia.

"Lebih lima tahun dia menetap di Indonesia setelah berkahwin dengan wanita di sana. Namun, saya tahu kesibukan kadang-kadang juga membataskan kami untuk berjumpa. Tapi, kami tidak pernah putuskan hubungan adik-beradik itu kerana masih berhubung dengan adanya teknologi terkini. Dia juga ada datang ke Kuala Lumpur tetapi bukan waktu perayaan.

"Tahun ini, dia pulang pada raya pertama. Memang seronok sangat memandangkan tahun lalu dia tidak dapat pulang ke Malaysia semasa Aidilfitri atas urusan tertentu.

"Untuk tahun ini, keadaan lebih ceria kerana dia bersama isteri (Bunga Citra Lestari) dan anak saudara saya (Noah Sinclair) bagi sama-sama meraikan sambutan Aidilfitri di kampung kami," katanya.

Bakal menginjak usia 34 tahun Oktober ini, wanita berdarah campur (Irish-English-Scottish) ini memberitahu dia tidak pernah merasa suasana sebenar beraya di kampung.

"Ada kampung di Ipoh pun terletak di kawasan perumahan. Memang teringin sangat hendak beraya di kawasan kampung yang terletak di sawah padi macam orang lain.

"Raya juga membuatkan saya teringat akan rendang tok yang dibuat oleh arwah nenek. Menjelang hari raya juga keluarga kami biasanya yang terawal sekali sampai di kampung," kata ibu kepada Soraya Ann, 4, dan Aina Elisabeth, tiga bulan.

Lokasi:

KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.