saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 17/08/2014

Nam Ron minyak hitam, jadi bintang

“SAYA seorang pemalu dan penakut pada zaman kanak-kanak tapi cukup menggemari pentas," kata Shahili Abdan atau Nam Ron menyingkap cerita.

Kata lelaki berusia 45 tahun ini, entah mengapa dia cukup gembira apabila berada di atas pentas. Mungkin kerana di situ tempat yang paling mudah untuk meraih perhatian rakan-rakan.

Biarpun dia mengetahui bahawa dirinya tidak punya keistimewaan khusus yang melayakkan untuk berada di atas pentas namun kata Nam Ron, impian yang dipendamkan itu menjadi kenyataan apabila berpeluang untuk melakonkan satu watak untuk persembahan Hari Guru di sekolahnya, Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Perlis, Kangar, Perlis.

Meskipun watak peminta sedekah yang dilakonkan itu tiada dialog kata Nam Ron, peluang itu sudah cukup menggembirakan hatinya.

“Saya dibesarkan oleh ibu dalam kehidupan serba sederhana. Ada adik beradik yang lain tapi saya berada dalam dunia saya yang boleh dikatakan agak sunyi.

“Sifat merendah diri juga agak menebal dalam diri sebab itu saya suka membuat hal sendiri sepanjang zaman kanak-kanak saya," kata anak bongsu daripada lima beradik ini lagi.

Dek sifat kenegerian yang menebal juga kata Nam Ron, dia tidak berminat untuk keluar dari zon selesanya. Mudah kata, Nam Ron memilih untuk tinggal di Kangar, sehingga ke hari tuanya.

Prinsip hidupnya itu terus dipegang sehingga dia mengambil kursus Sijil Mengetuk dan Mengecat Kenderaan di IKM selama dua tahun.

Jika rakan-rakan lain memasang niat untuk bekerja dengan syarikat jenama kenderaan seperti Proton Holdings Sdn. Bhd. (Proton) namun kata Nam Ron, dia rela bekerja di negeri sendiri.

Walaupun dengan gaji bulanan sebanyak RM300 berbanding bayaran lumayan yang ditawarkan oleh syarikat kereta pada waktu itu, Nam Ron tetap memilih untuk bekerja di Perlis.

Justeru selepas tamat belajar di IKM pada 1988 kata Nam Ron, dia terus pulang ke kampung halaman dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di sana.

Selama tiga tahun Nam Ron mengumpul pengalaman makan gaji akhirnya Nam Ron mengambil keputusan untuk menguruskan bengkelnya sendiri.

“Masa awal-awal bekerja dengan pemilik bengkel orang, saya beria-ia mahu memiliki bengkel sendiri. Tapi apabila sudah ada bengkel sendiri, rupa-rupanya saya tak cukup persediaan.

“Saya tak ada ilmu pengurusan bengkel secara formal selain dana kewangan yang cukup, akhirnya tak sampai setahun bengkel saya ditutup," ceritanya.

Mengulas tentang perkara yang membuatkan dia memilih untuk hidup di negeri kelahirannya sendiri, pelakon drama bersiri Warkah Terakhir-Rosli Dhobi ini ada alasan tersendiri.

Katanya yang pernah bekerja sebagai penarik kabel, penternak ayam, pekebun kecil dan penjual air minuman dan pisang goreng sepanjang tinggal di Perlis, dia tidak mampu untuk menampung kehidupan di bandar besar yang ternyata jurang perbezaannya terlalu jauh berbanding di desa.

“Saya memang tak berhajat pun nak keluar dari Perlis. Kerja apa saja, terima berapa juga bayaran walaupun tak tinggi, bersyukur saja," kata Nam Ron yang aktif dalam dunia pementasan teater di Perlis sekitar 1989.

Dicabar dan tercabar

Minat yang mendalam dalam bidang teater menyebabkan hatinya meronta untuk ke Akademi Seni Kebangsaan (ASK) atau kini dikenali Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi mendalami ilmu.

Biarpun hajat tersebut dibangkang oleh salah seorang daripada kakaknya yang menganggap kerjaya pelakon teater tiada masa depan namun Nam Ron tidak peduli. Dia membulatkan tekad mahu mengenggam Diploma Pengajian Teater ASK.

“Memang hati saya berat untuk meninggalkan Perlis pada waktu itu. Pada masa yang sama, saya nekad tidak akan kembali sehingga mendapat sesuatu yang boleh membanggakan mereka.

“Saya nak membuktikan bahawa orang yang berusia 25 tahun mampu belajar dengan baik walaupun saya antara ‘senior’ di situ.

“Buktinya saya menubuhkan syarikat Alternative Stage, sebuah rumah teater yang bersifat komuniti pada 1995 dan pernah membuat persembahan sehingga ke Sarawak," kata Nam Ron yang bertindak sebagai pengarah artistik di syarikat tersebut.

Biarpun berdepan dengan masalah kekurangan bajet, usaha itu dibuat memandangkan pada waktu itu tiada platform bagi pelajar lulusan teater untuk meneruskan minat dan mengembangkan bakat yang ada.

Begitu juga saat Nam Ron menubuhkan Rumah Anak Teater (RAT) pada 2008, dia juga menjadi penaung kepada graduan daripada ASWARA untuk terus berkarya.

Antara karyawan muda teater yang pernah bernaung di RAT ialah Ayam Fared, Zahiril Adzim, Khairunazwan Rodzy, Khairil Ridzuan yang kini mula mencipta nama dalam industri lakonan tanah air.

Selain itu Nadiya Nisaa, Beto Khusairy dan Dira Abu Zahar antara artis yang pernah dijemput untuk sama-sama terlibat dengan aktiviti pementasan di bawah penganjuran RAT.

Lima tahun di Jepun

Melalui bakat yang hebat dalam pementasan teater Nam Ron juga telah dipilih untuk mewakili Malaysia sebagai jawatankuasa penganjuran Lohan Journey Theatre Organisation di Jepun pada 2003.

Bersama-sama pengiat teater Loh Kok Man, Jo Kukathas dan 10 orang lagi dari Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand mereka kemudiannya menghasilkan satu teater yang menggambarkan Asia.

Dalam tempoh dua tahun mereka memerah idea dan akhirnya terciptalah teater berjudul Hotel Grand Asia yang hanya menggunakan gerak tubuh dipentaskan di Setagaya Public Theatre pada 2005.

Persembahan eksperimen itu kemudiannya membuahkan usul untuk mengadakan satu lagi teater pada 2008. Kali ini hanya membabitkan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina di lokasi yang sama.

Teater berjudul Breaking atau Kasi Pecah itu ternyata berjaya membuka mata peminat teater di negara matahari terbit tersebut untuk menilai kehebatan penggiat seni Malaysia.

“Orang kata pelakon teater lebih hebat berbanding pelakon filem atau drama. Namun itu bergantung kepada penghayatan masing-masing.

“Saya memandang serius terhadap kerjaya saya. Jadi setiap tawaran diberikan, saya tidak pernah buat dengan sambil lewa. Saya kaji setiap watak dengan sedalam mungkin.

“Mungkin itu rahsia bertahan dalam industri selain tidak pernah mengenal erti putus asa," kata pemilik rumah teater Ayaq Hangat Entertainment yang berorientasi perniagaan ini.

Kini Nam Ron boleh berbangga atas setiap usahanya. Selain berjaya dalam pementasan teater, Nam Ron juga dilihat aktif dalam kerja-kerja pengarahan drama selain bertindak sebagai penulis skrip.

Tidak lokek untuk berkongsi ilmu kejayaannya dengan mana-mana artis kata Nam Ron, dia juga tidak kisah tentang glamor dan populariti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.