saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 21/09/2014

Kurang bergaul, gemar menyendiri

BANYAK ciri-ciri seorang seniman sudah ditonjolkan M. Nasir sewaktu zaman kanak-kanaknya.

Paling jelas komposer berusia 57 tahun ini gemar membuat haluan sendiri biarpun ketika bermain dengan lapan orang adik beradiknya.

M. Nasir auat nama sebenar Mohamad Nasir Mohamad sering beranggapan minat yang dilontarkan itu tidak senada, itu yang membuat anak keempat ini ‘hidup’ dalam dunianya sendiri.

Satu perkara lagi M. Nasir seorang yang gemar berimaginasi dan memendamkan perasaannya. Apa saja yang berada di sekelilingnya itu terus dirakam dalam ingatan.

Semuanya bertitik tolak daripada sikap berdikarinya sejak berusia 10 tahun. Pada waktu itu M. Nasir gemar merayau secara bersendirian.

Jika sendirian kata M. Nasir lagi, dia boleh menikmati perjalanan di Kampung Bukit Panjang, Singapura berbanding secara berkumpulan yang disifatkan mempunyai banyak karenah.

Justeru langkah kaki M. Nasir menjadi semakin panjang dan dia boleh berjalan dari kampungnya sehingga menjelajah ke kampung lain berjam-jam lamanya.

Mengetepikan langsung soal penat dan takut kata M. Nasir, apa yang paling penting pada waktu itu adalah memenuhi perasaan ingin tahu itu terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.

“Masa zaman sekolah rendah dulu fizikal saya kecil saja. Saya tak aktif bermain sukan. Jadi aktiviti kegemaran saya ialah melihat permandangan di sekitar kampung saya.

“Sepanjang perjalanan itu, saya akan memerhatikan betul-betul suasana di sekeliling. Mana tempat yang menarik, saya akan duduk lama di situ.

“Kalau hari ini tak puas melihat, saya akan sambung keesokan harinya. Janji tiap-tiap hari keluar rumah," kata bekas pelajar Sekolah Rendah Bukit Panjang, Singapura ini berhubung aktiviti hariannya selepas tamat sesi persekolahan.

Menyifatkan aktiviti merayau sebagai satu perkara yang cukup menyeronokkan, M. Nasir juga mempunyai hobi lain pada masa yang sama.

Seperti kebanyakan kanak-kanak lelaki, M. Nasir juga seorang yang gemar aktiviti lasak. Dia menjadikan kawasan belukar berhampiran rumahnya itu sebagai tempat permainannya.

Kata M. Nasir, dia gemar mencari serangga pada peringkat awal namun minatnya beralih kepada aktiviti lebih lasak iaitu bermain pedang dan melastik binatang.

“Saya juga gemar mengejar layang-layang. Pada masa itu ada pertandingan layang-layang paling lama bertahan. Saya boleh berlari mengejar layang-layang semata-mata untuk mengetahui juara permainan itu," katanya tentang aktiviti kesukaan sewaktu berusia 12 tahun.

M. Nasir meneruskan minat yang sama sewaktu dia belajar di Sekolah Menengah Bukit Panjang, Singapura. Bagaimanapun disebabkan tubuhnya sudah tegap timbul keyakinan untuk aktif dalam acara sukan.

Antara jenis sukan yang diceburi M. Nasir pada waktu itu ialah sofbal, sepak raga dan hoki.

Keperibadian M. Nasir yang dilihat cukup misteri di mata dalam kalangan peminatnya mendorong Pancaindera mengetahui sifat sebenar M. Nasir.

Mengakui dia bukan jenis yang gemar bercakap banyak M. Nasir menambah, dia juga akan sentiasa berfikir sebelum berkata-kata.

“Saya hanya bercakap apabila perlu. Kalau bercakap mesti ada maksud tertentu. Bukan sambil lewa. Mungkin juga apabila saya mengeluarkan kata-kata, ada orang yang terasa," ujarnya.

Justeru kata M. Nasir, dia menggunakan kelebihannya itu untuk ciptaan lagu kerana di situ dia boleh menyampaikan kata-katanya dengan lebih baik menggunakan garapan ideanya yang bernas.

Memang misteri Jadi artis

M. Nasir memberitahu dia sendiri tidak mengetahui kebolehannya dalam bidang seni. Dia sendiri tidak tahu pengertian artis itu sendiri kerana sasarannya pada waktu itu mahu menjadi seniman.

Justeru selepas mengikat kontrak menjadi artis PolyGram Records atas saranan salah seorang saudaranya pada awal 80-an kata M. Nasir, dia kemudiannya dipertemukan dengan individu sealirannya.

Mula mengenali individu bernama A.Ali (Hamdan Atan) yang pernah menjadi anggota kumpulan Sweet Charity M. Nasir menambah, mereka kemudiannya berfikir untuk mencari seorang lagi ahli kumpulan.

“A. Ali mencadangkan untuk mencari seorang lagi ahli kumpulan. Ada beberapa nama disebut tapi kami lebih terarah kepada bakat S.Sahlan (Roslan Tajuddin).

“Jadi kami ke sebuah kelab malam di Johor Bharu, Johor untuk menjemput S. Sahlan ke menyertai kumpulan kami yang dinamakan Kembara," ujarnya.

Dan kini selepas 28 tahun membuat haluan masing-masing M. Nasir bersyukur apabila mereka bakal bersatu dalam Konsert Hati Emas Kembara di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 hingga 23 November ini.

Himpunan lagu nostalgia seperti Ekspres Rakyat, Hati Emas, Keroncong Untuk Ana, Duit, KepadaMu Kekasih, Impian Seorang Nelayan, Perhentian Puduraya dan Senandung Buruh Kasar bakal didendangkan di pentas berprestij itu.

Sejak ditubuhkan, Kembara sinonim dengan genre pop, folk dan rock serta mengangkat konsep buskers atau pemuzik jalanan sebagai satu cara mendekati peminat.

Kembara generasi pertama yang dianggotai M. Nasir, A. Ali dan S. Sahlan memiliki tiga album iaitu Kembara pada 1981, Perjuangan (1982) dan Generasiku (1983).

A. Ali dan S. Sahlan kemudian meninggalkan Kembara dan M. Nasir merekrut Zoul yang juga adiknya, Cheman, Md. Shah dan Shahrom sebagai anggota Kembara generasi kedua.

Mereka menghasilkan empat album iaitu Seniman Jalanan pada 1984, 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).

Minat lukisan

MENGULAS tentang minatnya dalam bidang lukisan kata M. Nasir, dia hanya mempelajarinya sewaktu mata pelajaran Pendidikan Seni di peringkat sekolah rendah.

Bagaimanapun minatnya ke arah itu semakin menjadi-jadi sewaktu mengikuti pelajaran di Sekolah Seni Nanyang, Singapura pada 1973.

Di situ M. Nasir mempelajari secara formal teknik lukisan secara mendalam selama tiga tahun. Banyak lukisan sudah dihasilkan pada waktu itu. Kebanyakannya disimpan di rumahnya.

Minat melukis semakin menjadi-jadi apabila dia mengikuti jurusan Diploma Seni Halus seawal usia 19 tahun.

Kata M. Nasir, fokusnya pada waktu itu adalah lukisan semata-mata biarpun dia turut didedahkan dengan cabang seni lain seperti membuat arca.

“Masa inilah saya menzahirkan semula rakaman permandangan yang disimpan dalam ingatan dalam bentuk lukisan. Saya melukis daripada hati berdasarkan imaginasi.

“Masih saya ingat lagi, lukisan pertama saya dalam bentuk potret menarik perhatian seorang pembeli. Ceritanya sewaktu saya sedang melukis tiba-tiba ada orang meminta saya menjual lukisan saya.

“Yang kelakarnya saya menjual lukisan itu dengan harga RM50 (pada waktu itu) tetapi si pembeli menempah bingkai dengan harga RM100," katanya yang pernah mengikiti pelajaran tidak sampai setahun di Sekolah Vokasional Boys Town, Singapura pada 1972.

Menjadikan bakat yang dimilikinya itu sebagai mata pencarian hidup M. Nasir mengakui pernah menjadi guru lukisan kepada golongan ekspatriat ketika usianya 18 tahun.

Mengajar teknik lukisan batik kepada beberapa individu di satu sudut di Wisma Indonesia, Singapura kata M. Nasir dia memilih tempat itu kerana suasana premis itu penuh dengan eleman seni.

“Selama dua tahun saya ‘berkampung’ di sini. Melihat dan mengkaji seni lukisan sebelum bermula episod cabang dalam bidang muzik pula," katanya lagi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:18
Asar 4:44
Maghrib 7:27
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.