saya nak baca ..

HIBURAN


ARKIB : 15/10/2014

Papar kehidupan masyarakat Asia

GRACE memaparkan perkara-perkara seram yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat Asia dan setiap pelakon berjaya membawa peranan masing-masing dengan berkesan.

PADA kebiasaannya ada yang berpendapat bahawa genre seram pasti memaparkan adegan-adegan mistik selain kesan bunyi yang menyeramkan bagi mewujudkan satu elemen yang cukup mendebarkan.

Justeru itu kebanyakan karya-karya cerita seram terus diangkat menjadi satu naskhah terbaik dalam penceritaan baik di dalam drama mahupun filem.

Namun lain pula garapan yang cuba diketengahkan oleh sebuah produksi yang berpangkalan di Singapura dan bakal ditayangkan menerusi slot saluran HBO Asia.

Produksi ini memberikan sebuah kelainan dalam menghasilkan satu nilai seram tanpa ada sedikit pun dibayangi dengan adegan hantu yang begitu mengerikan. Itulah yang cuba diterapkan dalam mini siri Grace yang mempunyai empat episod secara keseluruhannya.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan drama bersiri ini, pengarahnya, Tony Tisle menerangkan perkara utama yang cuba ditekankan dalam drama arahannya itu adalah lebih kepada mainan emosi dan jiwa dalam apa yang dilakonkan setiap pelakon.

“Zaman sekarang kebanyakan penonton sering dimomokkan dengan kisah seram yang dilihat memberikan sifat takut dalam diri penonton.

“Masyarakat sering disajikan dengan cerita seram yang sangat klise dan akhirnya penonton akan tahu sendiri pengakhiran cerita tersebut biarpun tidak menonton sehingga habis," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran mini siri Grace di Hotel Conrad Continental, Singapura, baru-baru ini.

Tisle mengambil penekanan tersebut sebagai perkara penting dan cuba menampilkan sisi lain genre seram dan hanya mengambil berat dari sudut emosi yang dipaparkan oleh pelakon.

“Saya sangat pentingkan emosi dan jiwa setiap pelakon. Ia sama sekali tidak dibayangi entiti yang begitu menggerunkan.

“Kita hanya mahu wujudkan perasaan takut berasaskan psikologi sahaja," katanya lagi.

Grace mengambil pendekatan barat dalam menggambarkan seram di sekitar benua Asia, turut menyatukan aspek-aspek mitologi ghaib dan tradisi Asia dengan senario kehidupan moden yang sebenar.

Meskipun gambaran sebenar cerita tersebut memaparkan latar tempat tanpa nama, namun begitu apa yang cuba diketengahkan dalam jalan cerita drama ini banyak menyelitkan unsur-unsur karut seperti azimat dan tangkal.

Biarpun Tisle yang berpangkalan di Australia, dia senantiasa memperbanyakkan ilmu tentang perkara paranormal yang melibatkan masyarakat di serantau Asia.

“Saya mengambil kira juga keadaan sekeliling dan sensitiviti masyarakat Asia supaya jalan cerita tersebut tidak menyinggung perasaan penonton Asia.

“Sebelum memulakan pengarahan, saya banyak melakukan beberapa kajian mengenai adat-adat dan kepercayaan mistik masyarakat Asia dari dahulu hingga ke hari ini. Inilah yang cuba saya tonjolkan dan tidak mahu lari dari landasan yang sebenar," kata Tisle yang pernah mengarahkan drama Serangoon Road menerusi HBO Originals, tahun lalu.

Ketika ditanya pihak media sewaktu sesi persidangan meja bulat berlangsung mengenai pemilihan pelakon dalam memegang mandat sebagai pelakon Grace, Tisle memberitahu bahawa kesemua pelakon tersebut telah menepati cita rasanya dan hasilnya juga menakjubkan.

“Saya kagum dengan semua pelakon sebab nyata telahan saya terhadap mereka semua nyata memberikan kesungguhan dalam menghidupkan watak masing-masing. Saya tidak perlu banyak memberikan arahan kepada mereka kerana kesemuanya sudah tahu peranan sendiri.

“Russell Wong merupakan orang yang sesuai untuk bawa watak seorang lelaki yang merupakan ketua keluarga dalam mini siri ini. Perwatakan dan susuk tubuhnya juga sesuai. Begitu juga dengan lakonannya," tuturnya lagi memuji semua komitmen yang diberikan oleh para pelakon dan krew produksi.

Jelas Tisle lagi, sama seperti mana-mana pengarah, dia turut merasakan begitu banyak cabaran yang dialami bagi menjadikan drama arahannya itu diterima ramai biarpun hanya empat episod, tetapi ia nyata memberikan impak yang eksklusif.

Sementara itu, majlis pelancaran yang cukup istimewa itu turut diserikan dengan tunggak utamanya iaitu pelakon yang cukup terkenal di Hollywood dan berbangsa Cina-Amerika, Russell Wong.

Bukan mudah untuk dirinya menerima berlakon dalam Grace, namun apa yang membuatkan dia berbesar hati untuk bersetuju ialah tatkala melihatkan skrip cerita yang ada menyelitkan elemen kehidupan masyarakat tempatan.

“Saya bersetuju kerana teruja dengan plot ceritanya ada menerapkan pengisian tempatan dan ia berbahasa Inggeris. Itulah buatkan saya sangat tidak sabar untuk beraksi dalam drama ini.

“Saya tak mahu bersifat skeptikal dan mahu cuba sesuatu genre lain seperti drama ini (seram). Selalunya saya hanya menjadi penonton drama seram sahaja, kini saya pula yang melakonkannya," kata Wong dengan nada teruja dan tidak sabar dengan mendengar komen penonton selepas Grace ditayangkan nanti.

Ujar pelakon berusia 51 tahun ini lagi, dia jarang sekali menerima drama atau filem yang memerlukan dia berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, namun dek kerana Tisle sudah memberikan tawaran tersebut, dia sama sekali tidak mahu menolak peluang keemasan yang sudah terbentang luas di hadapannya.

Bercerita lanjut tentang wataknya, Wong menganggap tugas memikul tanggungjawab sebagai Roy Chan menerusi drama tersebut bukanlah hal yang perlu dipandang enteng, kerana dia sendiri beberapa kali menghayati dan merasai watak tersebut bagi memberikan kesan sebenar.

“Cerita ini perlukan saya bermain dengan banyak emosi selain ada babak-babak seram dan mistik. Di situ saya perlu berikan ekspresi muka yang pelbagai,"kata Wong menceritakan tentang wataknya itu.

Selain Wong, tiga lagi barisan pelakon yang bergandingan sama dengannya ialah Constance Song yang memegang watak sebagai Angela Chan, Pamela Chee (sebagai Ya Yi), Jean Toh (Lisa Chan) serta George Young (Charles Lau).

Sedikit sinopsis mengenai drama siri ini, ia berkisarkan tentang seorang lelaki, Roy Chan yang menyimpan terlalu banyak kesalahan hitam daripada pengetahuan keluarganya yang akhirnya turut menghantui seluruh ahli keluarganya akibat kesan dari kesalahannya sendiri.

Grace akan menemui penonton 17 Oktober ini pada pukul 9 malam selama sejam menerusi saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431). Bagi dua episod terakhir pula ia akan ditayangkan pada 31 Oktober depan atau pada hari perayaan Halloween.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.