saya nak baca ..

IMPAK ALAM


ARKIB : 12/05/2012

Kanyon Imbak khazanah alam berharga

Air terjun yang menarik terdapat di Kanyon Imbak.

Khazanah alam yang sungguh berharga, itulah yang dapat ditafsirkan bagi Kawasan Konservasi Kanyon Imbak, yang terletak di Ulu Kinabatangan di tengah Sabah.

Kawasan terbesar tinggalan hutan tanah pamah rendah dipterokarpa dengan berkeluasan 30,000 hektar itu terbentang luas antara dua lagi hutan simpan dara iaitu Lembah Danum dan Lembangan Maliau.

Seseorang mungkin terfikir sama ada landskap di sini menyerupai Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat.

Tidaklah sebegitu, namun perkataan ‘kanyon’ pada namanya lebih merujuk kepada kedalamannya 750 meter dan lebar tiga kilometer dari paras laut dengan cerunan batu yang diukir dari landskap oleh Sungai Imbak, yang menjadikannya seperti kanyon.

Kanyon Imbak yang dikelilingi tiga sisi cerunan batu mencapai ketinggian 1,127 meter (3,700 kaki) adalah kawasan hutan hujan dan kaya dengan flora, fauna serta memiliki biodiversiti yang tinggi.

Untuk sampai ke Kanyon Imbak, kita boleh menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu yang mengambil masa lima jam perjalanan atau dari Sandakan, empat jam perjalanan.

Kanyon Imbak diuruskan oleh Yayasan Sabah (YS), yang terlibat dalam kerja-kerja pemuliharaan, penyelidikan, latihan, pendidikan dan rekreasi alam semula jadi.

Kawasan tadahan

Kanyon Imbak adalah kawasan tadahan bagi Sungai Imbak dan seterusnya bagi Sungai Kinabatangan, dua sungai yang memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi menyediakan bekalan air, malahan sebagai pengangkutan dan sumber makanan kepada kehidupan penduduk kampung di sepanjang sungai itu.

Kawasan ini juga memainkan peranan penting dalam koridor hidupan liar yang menghubungkan Lembangan Maliau dan Lembah Danum, jelas Ketua Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar YS, Dr Waidi Sinun.

Melalui tiga ekspedisi saintifik yang dijalankan sejak 2000, 2004 dan 2010 masing-masing berjaya merungkai sebahagian kecil khazanah alam yang terdapat di Kanyon Imbak, mengenal pasti dan merekod 312 spesies tumbuhan dan daripada jumlah itu, 32 adalah spesies endemik di Borneo termasuk enam lagi hanya ditemui di Sabah.

Mengenai fauna, Dr Waidi berkata, lebih 200 spesies burung tinggal di Kanyon Imbak, dengan lima daripadanya adalah endemik di Borneo yang hanya ada di kawasan konservasi itu.

Ekspedisi ini juga mencatatkan kehadiran hidupan liar lain yang mendiami kawasan itu antaranya gajah Pygmy Borneo, harimau bintang, beruang, pelanduk serta badak Sumatra.

“Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) itu juga mempunyai landskap yang unik dari segi muka bumi yang berbentuk lembah dalam bentuk kanyon di dalam hutan hujan," kata Dr Waidi pada program pecah tanah Pusat Maklumat dan Jeti Ulu Kinabatangan di Kampung Imbak baru-baru ini.

Kanyon Imbak juga memiliki banyak air terjun yang menarik dan dua daripadanya berjaya ditemui yang mempunyai panorama yang menarik iaitu Air Terjun Imbak dan Air Terjun Lapan Tingkat.

Usaha konservasi

Dalam usaha konservasi Kanyon Imbak, YS telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Petronas pada 2009 bagi menjadikan kawasan konservasi itu sebagai pusat pembelajaran dalam pemuliharaan biodiversiti dan tabung genetik serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

Menurut Waidi, pelbagai manfaat akan dinikmati masyarakat tempatan melalui pelaksanaan program kemasyarakatan, kesedaran awam, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Kanyon Imbak.

“Penglibatan penyelidik dalam dan luar negara dapat membuka peluang serta meluaskan kerjasama komuniti tempatan dalam aktiviti ekonomi yang bermatlamat mempertingkatkan taraf hidup mereka tanpa menjejaskan alam sekitar," katanya.

Antara projek yang dilaksanakan dalam program kemasyarakatan di bawah kerjasama itu adalah pembinaan Pusat Maklumat dan Jeti Ulu Kinabatangan di Kampung Imbak.

Pusat maklumat itu akan dilengkapi dengan pameran berbentuk poster yang memberi maklumat tentang Ulu Kinabatangan, Kanyon Imbak serta model tiga dimensi (3D) Kanyon Imbak. Ia akan menjadi pusat hentian setempat untuk orang ramai serta masyarakat tempatan mendapatkan maklumat mengenai Ulu Kinabatangan dan Kanyon Imbak.

Persatuan pengangkut barang (porter) dan pemandu pelancong Kanyon Imbak yang menyediakan perkhidmatan untuk pelawat ke Kanyon Imbak akan menggunakan pusat maklumat itu sebagai stesen mereka, selain digunakan penduduk tempatan untuk menjual hasil kraftangan.

Waidi menyifatkan kewujudan pusat maklumat dan penubuhan persatuan porter dan pemandu pelancong itu selari dengan landasan untuk membabitkan masyarakat setempat dalam usaha memulihara Kanyon Imbak kerana mereka adalah komuniti yang hidup berhampiran kawasan konservasi itu.

“Dalam mengurus kawasan ini, penduduk kampung diharap dapat lebih menghargai Kanyon Imbak yang terletak bersebelahan dengan kawasan kediaman mereka.

“Jika mereka dapat mengekal dan menilai kawasan itu (Kanyon Imbak), kerjasama ini boleh menjadikan kawasan ini kekal dan tidak perlu kepada usaha mewujudkan satu polisi yang ketat dalam menjaga kawasan konservasi ini.

“Apa yang penting mereka sedar bahawa khazanah ini begitu tinggi nilainya dan dengan sendirinya mereka akan menjaga kawasan ini sebagaimana masyarakat di sekeliling Gunung Kinabalu menjaga kawasan itu," kata Waidi.

Pembabitan Petronas

Bagi Petronas, pembabitan syarikat petroleum negara itu dalam pemuliharaan Kanyon Imbak selari dengan sokongan terhadap banyak usaha untuk melindungi alam sekitar bagi generasi akan datang.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat (Kumpulan) Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, selain mewujudkan pusat maklumat dan jeti di Kampung Imbak, menerusi kerjasama dengan YS, sebuah pusat penyelidikan akan didirikan di Kanyon Imbak.

Pusat itu kelak akan dilengkapi dengan kemudahan makmal untuk menjadi hab kepada penyelidikan dan kajian mengenai alam sekitar dan biodiversiti di kawasan itu.

"Kerjasama dengan YS dalam konservasi Kanyon Imbak akan menyediakan peluang pendidikan kepada rakyat di negara ini terutama di Sabah untuk menerokai lebih dalam lagi dari segi memungut pengetahuan dan kepakaran di kawasan konservasi Kanyon Imbak.

“Pelaksanaan Projek Kanyon Imbak juga menzahirkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Kerangka Kelestarian Petronas yang bertujuan melindungi sebaik mungkin ekosistem daripada pelbagai kesan buruk yang boleh memudaratkan manusia, haiwan, mahupun alam sekitar," katanya.

Menurutnya, pembabitan Petronas dalam pemuliharaan Kanyon Imbak adalah penting kepada usaha menjaga khazanah semula jadi yang berharga itu, yang menjadi nadi utama kepada negeri ini dan penduduk yang tinggal di sekitarnya.

Tahun ini adalah tahun kedua pembabitan Petronas di Kanyon Imbak melalui memorandum persefahaman yang terjalin dengan YS, yang dijangka memberi kesan yang berpanjangan kepada rakyat Sabah, terutama penduduk setempat di Ulu Kinabatangan.

Penduduk di Kampung Imbak, salah sebuah kampung yang terletak berhampiran Kanyon Imbak antara yang mendapat manfaat daripada usaha pemuliharaan kawasan itu.

Penglibatan komuniti

Ketua Kampungnya, Samiun Bungias berkata sejak dari awal usaha menerokai Kanyon Imbak, penduduk di kampung itu sudah dilibatkan dalam ekspedisi yang dijalankan sebagai pekerja sokongan iaitu penunjuk arah dan porter.

Katanya, penduduk kampung itu menghargai usaha pemuliharaan Kanyon Imbak yang dilakukan oleh YS dan Petronas kerana kawasan hutan itu mempengaruhi kehidupan mereka.

“Kami menyedari, kerjasama daripada penduduk kampung yang tinggal di kawasan berhampiran Kanyon Imbak adalah penting kepada usaha memulihara kawasan itu," kata Samiun.

Beliau berkata peluang pekerjaan dan aktiviti yang mampu menjana pendapatan penduduk sudah tentu akan wujud daripada usaha konservasi Kanyon Imbak.

Menurutnya, pengwujudan pusat maklumat Kanyon Imbak dan Jeti itu sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk kampung termasuk dalam menjana ekonomi setempat yang berteraskan eko pelancongan.

Kekayaan flora dan fauna serta biodiversiti yang terdapat di Kanyon Imbak sememangnya tidak ternilai harganya dan usaha memulihara yang dijalankan oleh YS dengan kerjasama agensi lain juga bertepatan kepada generasi akan datang untuk menikmati khazanah alam kawasan itu.

- BERNAMA

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:14
Asar 4:37
Maghrib 7:10
Isyak 8:25



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.