saya nak baca ..

IMPAK ALAM


ARKIB : 29/09/2014

Bisikan alam Kinabatangan

Raja udang antara spesies burung yang terdapat di hutan Kinabatangan.

Tepat jam lima petang, kami telah bersedia untuk menaiki bot dari jeti Resort Myne yang terletak di Kampung Bilit di Sabah untuk menyusuri Sungai Kinabatangan Hilir.

Sebaik sahaja juru pandu alam membelokkan arah bot menghala ke sungai, tidak semena-mena seekor buaya bersaiz kira-kira dua meter timbul dari dalam sungai pada jarak tidak sampai 15 meter dari kedudukan bot kumpulan berkenaan.

Kehadiran reptilia itu membuatkan kami panik seketika, tetapi pada masa yang sama, segera berubah menjadi teruja kerana itulah kali pertama masing-masing melihat buaya liar di hadapan mata.

Beberapa saat kemudian, buaya itu beredar sebelum kami meneruskan perjalanan petang itu ke salah satu cabang sungai iaitu Sungai Tenigang.

“Buaya sebenarnya lebih takutkan bunyi bising enjin bot dan jika diberi pilihan, haiwan ini tidak mahu pun bertembung dengan manusia," kata juru pandu alam.

Rombongan kami amat bertuah dapat menyusuri sungai dengan Tom, 18, salah seorang pekerja Myne Resort Kinabatangan yang bukan sahaja cukup mahir dengan selok belok sungai, malah mempunyai mata yang sangat tajam.

Misalnya, dia dengan mudah ternampak seekor biawak besar yang sedang diam di atas sebatang dahan pokok dan segera memperlahankan bot, sedangkan kami perlu mengambil masa untuk memerhati dan mencari kedudukan tersembunyi biawak yang sama warna kulitnya dengan dahan itu.

Kemahiran itu pastinya berkat pengalaman anak muda dari suku kaum Orang Sungai itu yang telah dibiasakan diri turun ke sungai sejak masih bayi lagi.

Sepanjang tempoh perjalanan kurang dua jam pada petang itu, kami berjaya menemukan 18 kumpulan monyet liar, yang mana 11 daripadanya ialah jenis monyet belanda atau probosis monkey, dan selebihnya monyet jenis Macaque ekor panjang dan Macaque ekor melengkung.

“Biasanya pelancong yang bernasib baik juga dapat melihat Orang Utan liar.

“Bagaimanapun kali ini kita hanya dapat melihat kesan sarang besar primat itu," kata Tom sambil menunjukkan sarang yang terletak tinggi di atas pokok.

Hakikatnya, Kinabatangan merupakan salah satu daripada lokasi dunia yang didiami oleh primat terbanyak, iaitu sebanyak 10 jenis yang berbeza termasuk primat endemik yang hanya wujud di Kepulauan Borneo iaitu Orang Utan, Langur Maroon, Gibon Borneo dan Probosis monkey.

Petang itu rombongan media juga berpeluang melihat pelbagai jenis burung sama ada berterbangan bebas dalam kawanan seperti burung layang-layang atau terbang secara solo termasuk dua spesies berbeza burung Raja Udang, Murai dan beberapa ekor burung helang termasuk Helang Merah.

Kami juga ternampak sekawan burung Enggang Merantua (Wrinkled Hornbill), sepasang Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill), tiga ekor Enggang Jambul Putih (White-crowned Hornbill) dan seekor Enggang Kelinking (Oriental-pied Hornbill).

Paling mudah dilihat di sepanjang sungai sudah tentulah beberapa ekor bangau besar berparuh kuning dan bangau kecil berparuh hitam di tebing sungai.

Sepanjang perjalanan, kami berselisih dengan belasan bot pelancong lain yang mana semuanya membawa pelancong asing sama ada berkulit Kaukasia atau Jepun dari berbelas rumah inap pengembara bajet (backpackers lodge) di sekitar sungai Kinabatangan Hilir itu.

Menariknya, semua tekong bot mengenali satu sama lain dan saling membantu bertukar-tukar maklumat mengenai pemandangan menarik haiwan liar yang dilihat.

Dalam perjalanan pulang ke Resort Myne, kami bukan saja diujakan oleh pemandangan senja jingga yang amat indah tetapi juga oleh sepasang buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter yang sedang berehat di atas beting pasir berhampiran kawasan tebing sungai yang dipenuhi rumput.

Kami diberitahu pengalaman menyusuri sungai pada waktu pagi berkemungkinan memberi peluang melihat spesies haiwan yang berbeza berbanding pemandangan pada waktu petang.

Lantas mengambil keputusan untuk menaiki bot pada keesokan harinya dan bertolak tepat pukul enam pagi, bersama Tom sekali lagi sebagai juru pandu alam.

Suasana pada awal pagi itu yang amat hening, dingin dan berkabus sepanjang sungai, tidak menghalang penglihatan untuk menyaksikan pelbagai hidupan liar termasuk primat Probosis dan Macaque, serta burung seperti enggang, bangau dan raja udang.

Nyata kekayaan biodiversiti tebing sungai itu sangat menakjubkan, termasuk pemandangan berwarna-warni dari puluhan rama-rama pelbagai spesies dengan saiz daripada sebesar syiling lima sen sehingga sebesar tapak tangan yang tidak pernah kami lihat sebelum ini.

Antara yang menarik perhatian, ialah sekumpulan rama-rama putih kecil yang mengerumuni sebatang pokok sederhana besar, sehingga ia kelihatan seakan-akan dipenuhi bunga kecil yang sentiasa beralun ditiup angin kencang.

Kali ini, Tom membawa rombongan menuju ke arah Sungai Menanggol.

Ketika sedang asyik menyaksikan sepasang monyet Macaque dewasa bergantungan di atas titian gayut getah yang sengaja dipasang bagi menghubungkan kawasan di antara dua tebing sungai, Tom mengarahkan supaya semua diam.

Dia kemudiannya meneliti tebing sebelah kiri dan memperlahankan bot menuju ke arah itu sambil membuat isyarat senyap.

Rupa-rupanya, lokasi itu baru sahaja dilawati oleh spesies mamalia terancam Kinabatangan yang amat popular, iaitu gajah pigmy.

Sayang sekali, kami terlewat beberapa saat sahaja untuk menyaksikan keajaiban gajah pigmy Sabah itu meneguk air sungai di lokasi berkenaan.

Pada mulanya, rombongan kami menyangka hanya perlu berpuas hati dengan melihat bekas tapak kaki gajah yang bersaiz pinggan makan.

Bagaimanapun apabila memasang telinga, kami dapat mendengar dengan jelas bunyi desiran pokok yang ditempuh oleh gajah itu serta bunyi laungan suaranya yang semakin sayup menghilang.

Kekecewaan tidak dapat melihat gajah unik itu bagaimanapun segera terubat apabila kami ternampak seekor burung Kinabatangan spesies terancam yang biasanya sukar dilihat iaitu Oriental Darter.

Burung itu berupa seakan-akan bangau tetapi pelepah berwarna hitam dengan kaki seperti itik.

Bahagian kepala serta lehernya berwarna kelabu, dan apabila ia mengepakkan sayap, kelihatan jalur-jalur putih memanjang pada pelepah hitamnya.

Pada mulanya, ia dilihat bertenggek di atas ranting kayu kira-kira dua meter dari arah bot.

Bagaimanapun kelakukan burung itu mengejutkan apabila tiba-tiba menjunam masuk ke dalam sungai dan tidak timbul walaupun selepas sekitar satu minit.

Hanya selepas beredar dari situ barulah burung itu muncul semula bersama seekor ikan kecil di paruh kuningnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:44
Maghrib 7:28
Isyak 8:43



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.