saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 04/08/2012

Bercinta, bernikah di Belgium

HANS Amin Rostenberghe Luc Aster dan Maraina Hussin bersama dua anak lelaki ketika ditemui di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

PERKENALAN yang bermula pada sesi pembelajaran bahasa Belanda di Universiti of Ghent, Belgium, telah mempertemukan Prof. Hans Amin Rostenberghe Luc Aster, 48, dengan isterinya, Prof. Madya Dr. Maraina Hussin, 49.

Ketika itu, Dr. Maraina merupakan antara sekumpulan 20 pelajar Malaysia yang terpilih bagi mengikuti pengajian dalam kursus perubatan di universiti berkenaan pada 1983 atas tajaan kerajaan.

Kisah mereka berdua bermula apabila Dr. Maraina dan rakan-rakannya masih belum mampu menguasai bahasa Belanda yang merupakan bahasa pengantar di universiti itu, walaupun setelah enam bulan berada di sana.

Bagi membantu beliau dan rakan-rakannya, pihak universiti telah memperkenalkan program god father and god mother yang turut disertai oleh Prof. Hans bersama seorang rakan, Catherine.

"Mungkin kerana setiap kali pertemuan, timbul keserasian antara kami berdua yang akhirnya membuka hati saya untuk menjadikannya sebagai suri di hati saya," katanya ketika ditemui S2 di pejabatnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Mengulas lanjut, Prof. Hans memberitahu, mereka bagaimanapun hanya mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lapan tahun mengenali antara satu sama lain, disebabkan terpaksa memberi tumpuan penuh terhadap pengajian masing-masing.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu dan loghat Kelantan, mengakui berhadapan banyak cubaan untuk memenuhi hasratnya mengahwini Dr. Maraina dengan panggilan manjanya Wiezike, iaitu panggilan sayang dalam bahasa Belanda.

Selain latar belakang agama yang berbeza, beliau turut berhadapan halangan daripada mendiang ibunya, Mariet Heyse yang merupakan seorang penganut Kristian yang kuat, manakala bapanya, Romain Van Rostenberghe serta kakak tunggalnya, Anne Marie, tidak pula menentang.

"Saya sayang kedua-duanya dan mahu mereka menerima satu sama lain sebelum berkahwin. Saya memujuk ibu dan menceritakan pelbagai perkara termasuk mengenai agama Islam yang sangat menitikberatkan soal kasih sayang kepada ibu bapa," katanya.

Prof. Hans bersyukur usahanya itu berhasil apabila mendiang ibunya akhirnya terbuka hati untuk menerima Dr. Maraina sebagai bakal menantunya.

Malah katanya, apa yang paling menggembirakan beliau adalah apabila mendiang ibunya dan Dr. Maraina menjadi akrab sebelum ibunya meninggal dunia pada 1995 akibat barah payu dara.

Berikutan itu, kata Prof. Hans, beliau mula mendekatkan diri dengan ajaran agama Islam dengan mengikuti kelas pengajian di Masjid Brussel yang terletak berhampiran rumahnya.

Malah, setelah berhijrah ke Malaysia, arwah bapa mertuanya, Hussin Ab. Rahman, banyak membantunya mendalami agama Islam dan budaya masyarakat tempatan.

Anak lelaki tunggal dalam keluarga Romain Van Rostenberghe, pemilik sebuah syarikat percetakan di Belgium itu turut mengakui, pertemuan beliau dengan Dr. Maraina adalah ketentuan takdir.

Ini kerana, katanya, sejak berusia 16 tahun lagi, beliau telah menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor dan memberi sumbangan kepada penduduk di negara dunia ketiga atau membangun.

"Saya tertarik dengan penglibatan seorang doktor dan ahli falsafah Belgium, Dr. Albert Schweitzer yang menyumbangkan harta dan tenaga membantu membina sebuah hospital di Afrika serta menghabiskan usianya dengan merawat pesakit di sana," jelas Prof. Hans.

Katanya lagi, beliau juga tertarik dengan sebuah dokumentari mengenai kisah seorang doktor, juga dari Belgium yang memberi perkhidmatan di sebuah perkampungan miskin di Thailand, sehingga meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

"Saya bersyukur perkahwinan saya dengan Dr. Maraina membolehkan saya mencapai impian tersebut iaitu memberi khidmat bakti di Malaysia," jelas bapa kepada dua anak remaja lelaki berusia belasan tahun itu.

Selepas lebih 20 tahun berkahwin dan kini menyandang jawatan Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Kanan (Neonatalogist) di Universiti Sains Malaysia, Prof. Hans banyak melibatkan diri dalam bidang perawatan bayi.

Prof. Hans juga mengetuai Unit Rawatan Rapi Neonatal di HUSM sejak 1996. Malah, atas inisiatif beliau, unit subkepakaran dalam bidang nefrologi kanak-kanak berjaya ditubuhkan di hospital berkenaan.

Beliau juga telah dipilih menerima Anugerah Sanggar Sanjung pada 2010 hasil kejayaan cemerlangnya dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, Dr. Maraina yang kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Immunologi Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian memberitahu, beliau telah mendapatkan pandangan keluarganya mengenai hasrat mereka untuk berkahwin.

Beliau bersyukur apabila arwah bapanya, tidak membantah hasrat tersebut tetapi mensyaratkan bakal menantunya mestilah memeluk agama Islam.

"Saya terharu dengan tindakan Prof. Hans menulis surat kepada arwah ayah dan menceritakan keikhlasannya untuk menjadikan saya isterinya," katanya yang malu-malu untuk berkongsi kisah tersebut.

Menurut Dr. Maraina lagi, mereka dinikahkan oleh Imam Masjid Brussel dikenali sebagai Abdullah pada tahun 1991 dengan dihadiri pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di Brussel serta rakan-rakan, manakala ahli keluarga tidak dapat hadir.

Dr. Maraina anak ketiga daripada lima beradik memberitahu, beliau dan suami kembali ke Malaysia pada 1994 selepas Prof. Hans menamatkan latihan kepakaran dalam bidang pediatrik di University of Ghent.

"Apabila sampai di kampung di Bachok, semua ahli keluarga dan sanak-saudara menerima kehadiran Prof. Hans yang merupakan satu-satunya menantu dalam kalangan 'orang putih'," katanya.

Sepanjang perkahwinan, Dr. Maraina yang memanggil Prof. Hans dengan panggilan manja Bolleke (panggilan sayang dalam bahasa Belanda), menyifatkan suaminya itu seorang yang romantik selain gemar menghabiskan masa lapang di rumah dengan menulis puisi.

Setakat ini jelas beliau, suaminya itu telah menghasilkan lebih 20 puisi yang kebanyakannya berkisar tentang alam semula jadi dan pesakit yang dirawatnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:42
Zohor 1:03
Asar 4:26
Maghrib 7:00
Isyak 8:14



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.