saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 22/02/2014

Kekalkan tradisi

Sekumpulan wanita Mah Meri berpakaian tradisional menanti kehadiran pengunjung di perkampungan Orang Asli ,Kampung Bumbun, Pulau Carey, di sini hari ini.

GENERASI muda (Gen-Y) bertanggungjawab untuk meneruskan usaha kerajaan melonjakkan pembangunan dan kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi, selain memastikan Malaysia sentiasa dihormati di persada antarabangsa.

Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tanggungjawab generasi muda kini bukan sekadar meraih ilmu di pusat pengajian tinggi tetapi perlu mempunyai misi untuk menjadi generasi penyambung yang akan meneruskan usaha generasi sedia ada bagi mempertingkatkan lagi kejayaan dan kemakmuran negara.

Komited menyediakan masa depan lebih baik kepada pewaris negara, golongan Gen-Y yang terdiri daripada kalangan belia Orang Asli tidak ketinggalan mengecapi kemajuan serta kemakmuran negara sebagai rakan kongsi dalam menjayakan usaha ke arah mencapai Wawasan 2020.

Remaja Orang Asli daripada pelbagai suku seperti Semang, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Lanoh, Mendriq, Senoi, Che Wong, Jah Hut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri, Temiar, Jakun, Semelai dan Temuan kini sudahpun menunjukkan kematangan dan kepimpinan bagi melaksanakan tanggungjawab itu .

Kehidupan warga pribumi itu sudahpun memberikan impak positif dalam pelbagai bidang dan bersedia untuk bersaing dengan masyarakat lain.

Jika ada yang mengatakan bahawa masyarakat Orang Asli di negara ini masih ketinggalan jauh berbanding kaum lain, maka tafsiran tersebut tidak tepat kerana Orang Asli di Malaysia kini hidup dalam persekitaran baharu yang lebih moden serta tidak pernah ketinggalan dalam agenda pembangunan negara di abad ke-21 ini.

Istimewanya walaupun mereka hidup dalam persekitaran baharu, namun nilai-nilai tradisi yang diterapkan sejak berzaman masih lagi dikekalkan. - SYAHRIL/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

Tonjol budaya melalui tarian

Tarian tradisional merupakan sejenis seni gerak tari yang mempamerkan keindahan bahasa tubuh melalui irama yang disampaikan.

Berbeza dengan tarian Sewang yang merupakan tarian tradisional bagi masyarakat pribumi Orang Asli, pada asalnya tarian itu dilakukan untuk merawat mereka yang sakit atau cedera. Namun kini, ia sudah berevolusi sehingga menjadi tarian yang menghiburkan pelancong apabila berpeluang menari dalam bulatan sambil muzik dimainkan daripada buluh dan kayu.

Seorang penari tradisional masyarakat Mahmeri dari kumpulan Jo’oh, Rosikartini anak Zuli, 20, berkata, pendekatan baharu dalam penyampaian tarian tradisional masyarakatnya masih dikekalkan dengan unsur lama tetapi diperbaharui bersesuaian mengikut keadaan semasa.

"Inilah cabaran masa depan untuk golongan seperti kami sambil menghiburkan orang ramai, kami juga berpeluang menyampaikan dan memperkenalkan kebudayaan masyarakat Mahmeri kepada orang ramai.

"Dengan langkah tari lama dan baharu, kedua-dua generasi mampu memberi maklumat dan pengetahuan kepada orang ramai. Justeru, kami telah dibekalkan maklumat dan pendidikan secukupnya oleh generasi lama kepada kami," katanya ketika ditemui .com di Perkampungan Budaya Mahmeri, Pulau Carey, Klang, Selangor.

Biarpun segelintir golongan muda masyarakat Mahmeri dianggap sebagai sudah lupa diri dan tidak kenal asal usul, namun masih ramai dalam kalangan mereka terus berusaha mempertahankan warisan tradisi nenek moyang.

Rosikartini yang lebih mesra dipanggil Tini berkata, dia tidak janggal dikategorikan sebagai Orang Asli.

Malah, katanya, dia bangga dilahirkan sebagai generasi baharu yang mewarisi tradisi Mahmeri yang disifatkannya sangat unik dan menarik.

"Sejak dari dulu lagi masyarakat Mahmeri hidup dengan budaya yang unik tetapi saya akui, generasi baru kini banyak yang berubah," katanya.

Apabila ditanya di mana silapnya sehingga ada segelintir masyarakatnya ketinggalan menguasai ilmu tersebut, Rosikartini berkata, hidup yang semakin moden menyebabkan segelintir anak muda Orang Asli terlupa untuk menyambung warisan nenek moyang.

Sambil menunjukkan tarian tradisional, jelas kelihatan pada wajah Tini perasaan yang berbaur antara kecewa, gembira dan bangga.

"Saya bangga kerana masyarakat kami unik dan mempunyai ketinggian ilmu dari segi ukiran kayu, perikanan, pertanian dan kebudayaan sehingga hasil kerja kami dijadikan bahan kajian dan rujukan pakar akademik serta pelajar universiti tempatan mahupun dari luar negara," katanya.

Rosikartini menambah, kesan budaya dan pengaruh Barat khususnya dalam bidang muzik dan tarian telah membuatkan golongan muda menyisihkan budaya tradisi Mahmeri yang dianggap sebagai kolot serta ketinggalan zaman.

"Kamu boleh lihat sendiri berapa kerat sahaja orang muda yang terlibat dengan aktiviti kebudayaan. Jika ada pun, cuma beberapa orang sahaja yang terlibat," katanya.

Namun kata Rosikartini, dia tidak akan berputus asa dan bertekad memastikan khazanah budaya masyarakat Mahmeri dipelihara Gen-Y hari ini.

"Bagi saya, pendekatan baharu perlu diberikan kepada Gen-Y dalam menentukan kebudayaan kami terus hidup segar di muka bumi ini.

"Pendekatan lama tidak lagi digemari golongan Gen-Y hari ini kerana mereka tidak suka diberitahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebab itu kami turut menyelitkan tarian moden dalam tarian kami agar ia tidak lapuk ditelan zaman," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.