saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 02/03/2014

Nilai tinggi batik Sabah

HAZERA Sabin (kiri) pemenang tempat pertama, Norlizah Jahamin (kanan) pemenang tempat kedua dan Azmie Utoh (tengah) pemenang tempat ketiga bagi Anugerah Cemerlang Pereka Muda Batik Sabah bersama rekaan batik masing-masing.

SABAH seperti mana diketahui umum, dikenali sebagai pengeluar barang kraf berasaskan laut serta rimba selain seni pembuatan peralatan muzik tradisional. Hakikat ini tidak bererti Sabah tidak boleh menjadi salah satu negeri pengeluar batik tersohor di negara ini suatu hari nanti, yang setanding dengan keluaran batik dari Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.

Dek kerana perkembangan dan meluasnya fesyen batik yang semakin diterima pakai di seluruh dunia, pereka-pereka batik di Sabah mula mencuri tumpuan untuk membuktikan Negeri Di Bawah Bayu itu turut mempunyai penghasilan batik yang hebat.

Bagi meletakkan fabrik itu pada satu tahap yang dapat dibanggakan, kehalusan dan keunikan corak berunsurkan motif etnik yang terdapat di sana menjadi bukti bagi batik Sabah kelihatan lebih istimewa.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam penghasilan batik, Azizul Abd. Kadir, 35, salah seorang pereka batik berkata, sebagai hasil warisan agung Malaysia, batik tidak sepatutnya dipandang sepi terutamanya di Sabah kerana dengan pelbagai rekaan yang khas dan unik, ia akan menjadi lebih bernilai.

"Setiap negeri ada keunikannya sendiri. Sama juga halnya di Sabah yang mempunyai pelbagai motif corak dan ukiran lebih daripada 32 etnik."

"Bagi saya apa sahaja daripada dasar laut sehingga ke langit di bumi Sabah ini sebenarnya merupakan motif dan kelainan yang patut ditonjolkan dalam memastikan identiti batik dari Sabah terus gemilang," katanya.

Cukup mengagumi keunikan batik Sabah, jelas Azizul, setiap corak dalam suku kaum di Sabah sebenarnya membawa maksud tersendiri.

"Jangan hanya pandai melukis corak batik tetapi tidak tahu maksudnya. Maksud setiap corak batik itu sebenarnya berbeza mengikut suku kaum," tambah Azizul.

Tambah Azizul, reka corak dan motif-motif batik di Sabah biasanya diilhamkan daripada alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.

"Terlalu banyak corak motif Sabah yang ada, jadi saya akan pilih mana satu motif yang sesuai untuk dijadikan corak batik yang akan saya hasilkan," jelas Azizul lagi.

"Maskot pelancongan seperti Orang Utan di Sepilok dan bunga rafflesia merupakan trademark dalam setiap batik yang saya hasilkan. Kemudian ia digarap dan disesuaikan dengan corak-corak unik Sabah sebagai nilai tambah berbanding batik dari negeri-negeri lain," tegasnya yang mempunyai koleksi 100 corak eksklusif sepanjang pembabitannya dalam seni batik.

Ketelitian Pengolahan

Untuk memastikan nilai yang tinggi dalam batik, kata Azizul, pengolahan batik Sabah perlu dilakukan dengan teliti.

"Nilai batik itu lebih tinggi apabila ia membabitkan lukisan tangan tanpa bantuan teknologi cetak ataupun digital. Ini kerana proses penghasilan batik ini memerlukan fokus serta ketekunan yang tinggi," katanya.

"Dalam memastikan itu semua, keistimewaan dan identiti yang tersendiri mengikut sosio budaya dan daerah perlu dikekalkan. Oleh itu, pengolahan tidak perlu dibuat berlebihan untuk memastikan maksud motif yang dipilih tidak terpesong," katanya.

Selain itu, aspek tona warna memainkan peranan penting selain bentuk corak itu sendiri.

"Apabila kita bermain dengan warna, ia dapat memastikan sesuatu baju atau kain batik dihasilkan sesuai dengan pemakainya.

"Terdapat beberapa cara untuk kita melihat dan menilai hasil batik tersebut antaranya dengan melipat sehingga kecil kain batik yang diperagakan atau dijual. Cara ini membolehkan kita melihat bahagian tepi dan kanan kain tersebut dari segi corak yang dihasilkan," terangnya.

Sokongan Kerajaan

Pujian seharusnya diberikan apabila ada pihak yang terus berusaha memartabatkan batik Sabah di peringkat antarabangsa, termasuk menjengah lokasi baharu di luar negara.

Tidak mustahil andai hasil batik Sabah akan menjadi terkenal sama seperti batik Terengganu dan Kelantan. Matlamat kerajaan membela nasib rakyat khususnya di kawasan pedalaman dengan menumpukan kepada industri tertentu berjaya mencapai sasarannya apabila ramai tenaga mahir dalam industri batik muncul yang melibatkan pelatih lepasan kursus membatik di Pusat Kraftangan Sabah (PKS), Keningau, Sabah.

Hasrat Kerajaan Negeri dan Persekutuan itu sebenarnya telah direalisasikan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelaksanaan pelbagai program di peringkat zon melalui Program Pembangunan Intelek dan Minda, Program Pembangunan Sosio Budaya dan Program Pembangunan Sosio Ekonomi bagi kepentingan penduduk negeri itu.

Dalam hal ini, Pusat Kraftangan Sabah dipertanggungjawab mengendalikan Program Latihan Kraftangan. Setakat ini Kumpulan Yayasan Sabah melalui pejabat-pejabat zon dan PKS telah melatih lebih kurang 18,000 pelatih dalam pelbagai bidang seperti kursus membatik, anyaman hasil rimba berasaskan buluh, rotan, ribu-ribu, kayu, pemotongan blok kaca dan ukir kaca, hydrostone, jahitan baju tradisi, sulaman dan tenunan. Sementara itu, Kristal Handal Sdn. Bhd. sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah dipertanggungjawabkan untuk memasarkan barangan kraf yang dihasilkan.

"Idea oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman untuk membina bangunan PKS yang menelan belanja sekitar RM30 juta dan telah siap dibina di Keningau serta dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Jun 2012, adalah satu hasrat yang sangat murni," kata Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.

"Pembinaan PKS tersebut yang dibiayai sepenuhnya oleh Kumpulan Yayasan Sabah menyediakan program latihan kraftangan, aplikasi penggunaan mesin dan peralatan memproses bahan mentah, ruang latihan yang besar serta lengkap dengan pelbagai kemudahan, jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman," katanya ketika ditemui sebelum majlis penyampaian Sijil Kursus Membatik dan Anugerah Cemerlang Pereka Muda Batik Sabah yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu pada 6 Februari 2014 yang lalu.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Sabah, Datuk Siringan Gubat, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul.

Kata Sapawi, cabaran seterusnya adalah bagaimana untuk menghasilkan karya yang menggambarkan keunikan dan keindahan seni batik tempatan sebagai satu identiti negeri yang boleh dibanggakan, sekali gus menjadi tarikan pelancongan baru ke negeri ini.

"Sebab itu kami sangat mengalu-alukan pereka-pereka yang berasal dari Sabah untuk membantu PKS dari segi menyumbang tenaga sebagai tenaga pengajar atau pereka," tambah Sapawi.

"Saya yakin penduduk negeri ini mempunyai kesungguhan untuk terus meningkatkan daya kreativiti dan inovasi masing-masing dalam bidang seni batik, seterusnya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana setiap produk yang berkualiti pastinya mempunyai peminat tersendiri," jelas Sapawi.

Hasrat Pereka Muda

Menyelami isi hati pereka muda dalam industri batik di Sabah, rata-rata mereka menyimpan hasrat dan melahirkan perasaan bersemangat untuk menghasilkan batik yang berkualiti dan bersifat eksklusif.

Bagi Hazera Sabin, 20, pemenang tempat pertama Pereka Muda Batik Sabah, keistimewaan dan keunikan seni batik di negeri itu terletak pada ciri yang berlainan bagi corak dan kesan yang terhasil.

"Biarpun masih baru dalam industri ini, saya sentiasa berusaha setiap hari untuk memperbaiki kemahiran dalam menghasilkan seni batik.

"Tambahan pula, saya mempunyai impian untuk memiliki perusahaan sendiri dalam meneruskan legasi penghasilan batik khususnya dalam mempamerkan identiti batik Sabah bagi kaum saya iaitu Dusun," katanya yang berasal dari Kampung Baginda, Keningau, Sabah.

Seorang lagi pereka muda berbakat, Norlizah Jahamin, 28, berkata, sebagai seorang pereka muda dia sentiasa berusaha menarik minat rakan seusianya untuk bersama menghargai warisan batik.

"Saya optimis dan mampu melakukannya serta percaya reka corak batik berjaya menarik perhatian golongan muda. Batik kini mendapat perhatian daripada pereka dalam dan luar negara. Ramai artis dan pereka dunia kini mula menggunakan batik dalam rekaan mereka.

"Pada mulanya, saya kurang yakin dengan bakat yang saya ada kerana batik mempunyai pelbagai motif rekaan dan semuanya sangat susah. Semasa mengumpul material untuk melunaskan projek ini, saya mula sedar batik banyak menggunakan motif tumbuhan dan alam sekitar dalam penghasilan coraknya.

"Dengan keunikan negeri Sabah, saya berjaya mendapat idea untuk menghasilkan satu karya yang mudah dan senang difahami oleh semua," jelasnya.

Sementara itu, Azmie [email protected] Ismail, 29, pemenang tempat ketiga Pereka Muda Batik Sabah, memberitahu percubaan kali pertamanya dalam penghasilan batik dianggap ‘menjadi’ apabila berjaya menghasilkan rekaan batik yang berkesan.

Memilih keunikan kaum Murut dan Bajau dalam penghasilannya, Azmie berkata, dia akan terus memperkenalkan kepada umum bahawa Sabah mempunyai pelbagai motif dalam penghasilan batik.

"Saya tidak akan membiarkan batik di Sabah dipandang remeh. Saya percaya corak yang ada pada batik Sabah adalah unik," katanya sambil menjelaskan bahawa perkara paling sukar pada awalnya adalah mencanting dan mewarna setiap corak lukisan pada kain batik.

Sementara itu, PKS akan mengadakan pameran dan jualan batik di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay sempena Hari Kraf Kebangsaan 2014 yang bermula pada 26 Februari hingga 10 Mac 2014.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.