saya nak baca ..

KELUARGA


ARKIB : 10/04/2014

Ilmu perisai wanita

WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah. Hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan, malah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.

Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, usahawan produk kecantikan terkenal, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.

Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Banyak kes seperti yang dialami pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Sendayu Tinggi ini kita temui.

Rozita yang kisah hidupnya boleh dikatakan dari rags to riches, iaitu dari seorang ibu tunggal yang tidak berkemampuan, tidak berpendidikan tinggi, tidak mempunyai wang, tapi sekarang sudah bergelar jutawan kosmetik mempunyai iktibar tersendiri untuk kita semua.

Perlakuan wanita dalam banyak perkara adalah untuk meletakkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi supaya dapat membaiki taraf hidup.

Sebab itu kebanyakan wanita lebih suka keluar berurusan atau bekerjaya dengan penampilan yang menarik.

Tetapi ia tidak semudah seperti yang terpampang pada pandangan mata. Dalam setiap urusan, wanita berhadapan dengan pelbagai kemungkinan, permasalahan, kejayaan dan kegagalan.

Semua ini memerlukan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi. Tentunya, hidup akan lebih mudah jika wanita mempunyai ilmu pengetahuan bagi menghadapi cabaran yang datang tanpa diundang.

Lagi pula, wanita bukan dilihat berdasarkan berapa banyak dan betapa besarnya cabaran yang dihadapinya, tetapi dilihat daripada sejauh mana mereka menghadapi cabaran itu.

Pelakon veteran Hollywood, Loni Anderson dalam bukunya My Life In High Heels menceritakan bagaimana dia terpaksa melakukan pelbagai kerja demi menyara anak-anaknya tanpa suami di sisi.

Setelah berjaya, dia berkahwin dengan lelaki yang dicintainya tapi dia ditipu bertahun-tahun oleh lelaki yang dicintainya itu.

Si suami juga bertindak ganas atas dirinya. Namun, dia bangun dari kesengsaraan itu dan bina sekali lagi kehidupannya.

Dalam kalangan masyarakat kita sendiri, terdapat banyak aduan di pejabat-pejabat agama negeri mahupun di Mahkamah Syariah berkenaan perlakuan suami yang enggan, ingkar atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah sama ada secara sedar atau tidak. Suami sepatutnya akur akan tanggungjawab mereka itu.

Sebagai isteri pula, kaum wanita juga harus sedar akan hak mereka untuk mendapatkan nafkah zahir dalam bentuk wang ringgit adalah hak mutlak.

Ada yang tahu, namun ada juga wanita yang masih tidak tahu bahawa kegagalan suami membayar nafkah zahir tanpa kerelaan dan keredaan isteri, akan dianggap sebagai hutang tertunggak yang boleh dituntut oleh isteri jika berlaku sebarang tindakan atau tuntutan di mahkamah.

Lelaki perlu faham, walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik.

Sebab itu wanita perlu memperkasakan pengetahuan terutama dalam isu yang berkaitan dengan hak dan tanggungjawab.

Wanita kena sedar terdapat peruntukan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (WP) 1984 dan Akta Membaharui Perkahwinan & Perceraian 1976 yang membolehkan pihak Mahkamah Syariah mahupun Sivil (dalam kes bukan Islam) untuk campur tangan dan mengeluarkan perintah sewajarnya jika suami ingkar dalam menunaikan hak terhadap isteri mereka.

Lagi pula, dari segi dasarnya, kerajaan Malaysia dengan rasminya telah memberikan komitmen bahawa wanita dan lelaki itu sama taraf.

Bagaimana pula jika wanita mengalami masalah lain yang tidak melibatkan alam perkahwinan? Tahukah saluran mana untuk wanita itu mendapatkan pertolongan atau pembelaan?

Kita lihat kes Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, yang kecewa dengan tindakan doktor yang menuduhnya mengandung anak luar nikah. Sedangkan berlaku kesilapan pada ujian yang dijalankan oleh doktor itu.

Kejadian yang berlaku pada 31 Disember 2013 di Hospital Langkawi itu menyebabkan Nor Hidayah berasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga menjatuhkan maruahnya sebagai seorang yang belum berkahwin.

Senario ini hanyalah sebilangan kes-kes terpencil yang dialami wanita. Apa akan jadi jika Siti Nor Hidayah hanya mendiamkan diri dan tidak mempertahankan haknya dengan menggunakan undang-undang yang ada?

Ini jelas menunjukkan banyak kelebihan jika wanita tahu akan hak-hak mereka di sisi undang-undang dan juga hak di atas keupayaan peribadi.

Pada masa sama perlu ada usaha bersepadu untuk mendidik wanita mengenai hak-hak mereka, serta memupuk peluang supaya mereka mudah mendapatkan hak-hak tersebut.

Wanita juga harus berusaha memperbaiki diri, mempertingkatkan kebolehan minda.

Lihat pula kisah seorang wanita yang pernah mendapatkan perlindungan di Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Petaling Jaya, berikutan mengalami tekanan akibat penderaan fizikal dan mental oleh suaminya secara berterusan selama lebih 12 tahun.

Menurut wanita itu, walaupun dia ditendang, dimaki dan dihina oleh suami, tetapi dia tidak mendapatkan pembelaan kerana tiada kekuatan, kesempatan dan berada dalam keadaan terancam serta ketakutan.

Malah, pada dia walau apapun yang berlaku, isteri tetap tidak boleh keluar rumah kerana boleh dikatakan nusyuz terhadap suami.

Tambahan pula dia tidak bekerja dan kurang pengetahuan mengenai masalah berkenaan. Selepas suami menjatuhkan talak baharulah dia didorong untuk keluar mendapatkan pembelaan.

Sebab itu pengetahuan dalam undang-undang diperlukan sebagai pelindung diri atau perisai kepada wanita bagi sesuatu yang di luar jangkaan.

Ia pula bukan sekadar membabitkan soal rumah tangga dan suami isteri sahaja tetapi meliputi semua aspek.

Jika membeli baju berjenama, tetapi tidak sesuai dipakai kerana mendatangkan alahan, bolehkah pembeli menuntut ganti rugi? Jika salah potongan rambut, kasut yang dibeli bukan dari kulit asli seperti yang dijanjikan apakah tindakan kita sebagai wanita?

Ini semua merupakan permasalahan biasa yang sering dialami kaum wanita, tetapi mereka tidak mendalami jalan penyelesaiannya.

Menurut Klinik Aduan Guaman Muslimah (Kagum) yang dikendalikan oleh Yayasan Azam Wanita (YAW), perlu ada satu saluran untuk mendidik masyarakat khasnya golongan wanita memahami dan mendalami perkara yang melibatkan perundangan terutama sivil dan syariah.

Statistik menunjukkan banyak kes-kes yang dirujuk oleh wanita tidak mengikuti syarat ataupun kriteria yang dikehendaki. Lalu apabila kes tertangguh mereka menyalahkan jabatan agama. Akhirnya mereka yang menderita.

Untuk itu, wanita harus melengkapi diri dengan ilmu dunia dan akhirat agar dapat mencapai apa yang dihajati dan menjauhi perkara yang mendatangkan kesan negatif dalam hidup.

Kedudukan wanita sangat mulia dan sempurna di sisi Allah SWT. Namun wanita sendiri yang sering merendahkan kedudukan mereka kerana nafsu atau ditipu. Sering kehilangan arah ketika berhadapan dengan masalah. Sebab itu, wanita harus melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang cukup.

Seperti firman Allah dalam surah Ar-Rad ayat 11: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum, sehinggalah mereka mengubah keadaan mereka sendiri."

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:39
Zohor 1:14
Asar 4:38
Maghrib 7:22
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.